Alkitab Versi Borneo |
Janji tentang Bait Suci yang akan didirikan oleh Raja Salomo 1Maka setelah selesa Daud menetap dalam istananya, berkatalah dia kepada nabi Natan, "Lihatlah, aku ini tinggal di dalam rumah yang dibina daripada kayu araz, tetapi tabut perjanjian Tuhan berada di bawah khemah. 2Jawab Natan kepada Daud, "Lakukanlah segala sesuatu yang tuanku niatkan, kerana Allah menyertai tuanku." 3Pada malam itu juga, datanglah firman Tuhan kepada Natan, demikian, 4"Pergilah dan katakanlah kepada hamba-Ku Daud, 'Beginilah firman Tuhan: Bukan engkau yang akan membina bagi-Ku bait untuk didiami. 5Aku tidak pernah tinggal di dalam sebuah bait pun sejak Aku menuntun orang Israel ke mari sampai hari ini. Tetapi Aku selalu hadir dari khemah ke khemah, dari persemayaman ke persemayaman. 6Ke mana jua sahaja Aku mengembara bersama dengan seluruh orang Israel, pernahkah Kukatakan kepada mana-mana hakim yang Kuperintahkan menggembala umat-Ku Israel, 'Mengapakah kamu tidak membina bagi-Ku sebuah bait daripada kayu araz?" ' 7Sekarang, beginilah harus kaukatakan kepada hamba-Ku Daud, 'Beginilah firman Tuhan alam semesta: Aku telah mengambil engkau dari padang ragut, daripada pekerjaan menggiring kawanan domba, untuk menjadi pemimpin atas umat-Ku Israel. 8Aku telah menyertai engkau ke mana-mana pun engkau pergi dan telah melenyapkan semua musuhmu daripada hadapanmu. Aku akan membuat namamu masyhur, seperti nama orang besar yang ada di bumi. 9Aku akan menentukan suatu tempat bagi umat-Ku Israel dan menempatkan mereka di sana, sehingga mereka mendiami tempat sendiri tanpa diganggu lagi. Mereka tidak akan tertindas lagi oleh orang zalim seperti sebelumnya, 10sejak Aku melantik hakim-hakim untuk memimpin umat-Ku Israel. Aku akan menundukkan semua musuhmu. Selain itu, Tuhan pun menyatakan kepadamu bahawa Tuhan akan membina sebuah keluarga bagimu. 11Apabila umurmu telah genap dan engkau pergi menyusul nenek moyangmu, maka Aku akan membangkitkan keturunanmu kelak, seorang daripada anakmu, dan Aku akan mengukuhkan kerajaannya. 12Dialah yang akan membina bait bagi-Ku, dan Aku akan mengukuhkan takhtanya untuk selama-lamanya. 13AAku akan menjadi Bapa baginya dan dia akan menjadi anak bagi-Ku. Aku tidak akan menjauhkan kasih abadi-Ku daripadanya, sebagaimana Aku menjauhkannya daripada pendahulumu. 14Aku akan menegakkan dia dalam bait-Ku dan dalam kerajaan-Ku untuk selama-lamanya. Takhtanya akan kukuh untuk selama-lamanya.' " 15Selaras dengan semua firman dan semua penglihatan ini, demikianlah disampaikan Natan kepada Daud.