Alkitab Versi Borneo |
32Kemudian Daud berkata kepada Saul, "Janganlah ada seorang pun yang tawar hati kerana orang itu. Hambamu ini akan pergi bertarung menghadapi orang Filistin itu." 33Kata Saul kepada Daud, "Engkau tidak akan sanggup menghadapi orang Filistin itu dan bertarung dengannya. Engkau masih muda, sedangkan dia seorang pejuang sejak mudanya." 34Tetapi kata Daud kepada Saul, "Hambamu ini biasa menggembala domba-domba ayahnya. Jika singa atau beruang datang melarikan seekor anak domba daripada kawanannya, 35maka hamba akan pergi mengejarnya, lalu menyerangnya dan melepaskan domba itu daripada mulutnya. Jika dia bangkit melawan hamba, maka hamba akan merenggut janggutnya, lalu menyerang dan membunuhnya. 36Singa ataupun beruang sudah pernah hamba bunuh. Maka orang Filistin yang tidak bersunat ini pun akan menjadi seperti seekor daripada haiwan-haiwan itu, kerana dia telah mencemuh barisan perang daripada Allah yang hidup." 37Kata Daud lagi, "Tuhan, yang telah melepaskan hamba daripada cakar singa serta cakar beruang, akan melepaskan hamba daripada tangan orang Filistin ini." Kata Saul kepada Daud, "Pergilah, semoga Tuhan menyertai engkau."