Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

1 Samuel 25

A A A
Alkitab Versi Borneo
21Sebelumnya Daud berkata, "Sia-sia sahaja aku menjaga segala milik orang ini di gurun sehingga tidak ada sesuatu pun kepunyaannya yang hilang. Dia membalas kebaikanku dengan kejahatan. 22Sekiranya Allah menghukum musuh-musuh Daud, bahkan lebih lagi daripada itu, jika aku membiarkan hidup sampai pagi seorang lelaki sahaja pun daripada semua yang ada padanya."

23Apabila Abigail melihat Daud, dia segera turun dari keldainya, lalu sujud di hadapan Daud dan memberi hormat. 24Dia bersujud di kaki Daud lalu berkata, "Hamba sajalah, ya tuanku, yang menanggung kesalahan itu. Perkenankanlah hambamu ini berbicara kepada tuan, dan sudilah kiranya tuan mendengar kata-kata hambamu ini. 25Hamba mohon, janganlah tuanku mengambil berat orang yang rendah akhlak itu, iaitu Nabal. Kerana sebagaimana namanya, memang demikianlah dia. Namanya Nabal, dan kebodohan ada padanya. Sesungguhnya, hambamu ini tidak melihat orang muda yang diutus tuanku itu. 26Sekarang, ya tuanku, demi Tuhan yang hidup, dan demi hidup tuan yang dicegah Tuhan untuk menumpahkan darah orang dan menuntut balas dengan tangan tuan sendiri, biarlah musuh-musuh tuan dan orang yang mengikhtiarkan kejahatan terhadap tuanku menjadi seperti Nabal. 27Biarlah pemberian ini, yang dibawa hambamu bagi tuanku, diberikan kepada orang muda yang mengiringi tuanku. 28Ampunkanlah kiranya kesalahan hambamu ini. Tuhan pasti membina sebuah keluarga yang teguh bagi tuanku kerana tuanku berperang dalam peperangan Tuhan, dan kejahatan tidak akan didapati pada tuan seumur hidup tuan. 29Sekalipun manusia bangkit mengejar tuan dan mengancam nyawa tuan, nyawa tuanku akan dibungkus dalam bungkusan hidup di bawah penjagaan Tuhan, Allahmu. Sebaliknya, nyawa musuh-musuh tuan akan dilontarkan-Nya seperti dari dalam tarbil. 30Apabila Tuhan telah melakukan segala hal yang baik terhadap tuan selaras dengan yang difirmankan-Nya mengenai tuan, dan telah menetapkan tuan sebagai pemimpin atas Israel, 31maka tuan tidak akan tersandung atau berasa susah hati kerana hal ini, iaitu bahawa tuan telah menumpahkan darah dengan tidak semena-mena atau menuntut balas bagi diri tuanku sendiri. Apabila Tuhan berbuat baik terhadap tuanku, ingatlah kepada hambamu ini."

32Kata Daud kepada Abigail, "Segala puji bagi Tuhan, Allah Israel. Dia telah mengutus engkau untuk menemui aku pada hari ini. 33Terpujilah kebijaksanaan kamu dan terpujilah engkau, yang pada hari ini mencegah aku pergi menumpahkan darah dan menuntut balas bagi diriku dengan tanganku sendiri. 34Demi Tuhan, Allah Israel, yang mencegah aku daripada mencederakan engkau, jika engkau tidak segera datang menemui aku, pasti tidak ada seorang anak buah lelaki Nabal yang terselamat sewaktu fajar menyingsing." 35Lalu Daud menerima daripada tangan perempuan itu apa yang dibawanya untuk dia dan berkata kepadanya, "Pulanglah dengan selamat ke rumahmu. Lihatlah, aku telah mendengar kata-katamu dan mengabulkan permohonanmu."