Alkitab Versi Borneo |
Kebijaksanaan Raja Salomo 16Maka datanglah dua orang perempuan sundal menghadap raja lalu berdiri di hadapannya. 17Kata perempuan yang seorang, "Ya tuanku, hamba dan perempuan ini tinggal serumah. Beberapa waktu yang lalu, hamba melahirkan anak, dan ketika itu dia ada di rumah. 18Pada hari ketiga selepas hamba bersalin, perempuan ini juga bersalin. Tiada orang lain bersama-sama kami di rumah itu. Hanya kami berdua di dalam rumah. 19Pada malam hari, perempuan ini tertindih anaknya lalu matilah bayi itu. 20Lalu pada tengah malam, ketika hambamu ini sedang tidur, perempuan ini bangun dan mengambil anak hamba daripada sisi hamba lantas dibaringkannya anak hamba dalam pangkuannya manakala anaknya yang mati itu diletakkan dalam pangkuan hamba. 21Ketika hamba bangun pada pagi hari untuk menyusui anak hamba, ternyata dia sudah tidak bernyawa. Akan tetapi, setelah hamba mengamat-amatinya pada pagi itu, tampak bahawa dia bukan anak yang hamba lahirkan." 22Kata perempuan yang seorang lagi, "Tidak! Yang hidup itu anakku dan yang mati itu anakmu." Tetapi kata perempuan yang pertama, "Tidak! Yang mati itu anakmu dan yang hidup itu anakku." Demikianlah mereka berbantah-bantahan di hadapan raja. 23Kata raja, "Yang seorang berkata, 'Anakkulah yang hidup ini dan anakmulah yang mati.' Yang seorang lagi berkata, 'Tidak! Anakmulah yang mati dan anakkulah yang hidup.' " 24Kemudian raja berkata, "Ambilkan aku sebilah pedang." Maka dibawalah sebilah pedang ke hadapan raja. 25Kata raja, "Penggallah anak yang hidup itu untuk menjadi dua. Berikan separuh kepada yang seorang dan separuh lagi kepada yang lain." 26Maka, terdorong oleh rasa hiba terhadap anaknya, ibu sebenar kepada anak yang masih hidup itu berkata kepada raja, "Ya tuanku, berikanlah anak yang hidup itu kepadanya. Jangan sekali-kali tuanku membunuhnya." Tetapi perempuan yang seorang lagi berkata, "Penggal sajalah supaya tidak menjadi milikku ataupun milikmu." 27Lalu raja berkata, "Berikanlah anak yang hidup itu kepada perempuan yang pertama. Jangan sekali-kali dibunuh. Dialah ibunya." 28Ketika semua orang Israel mendengar keputusan yang diberikan raja dalam hal itu, seganlah mereka kepada raja, kerana mereka melihat bahawa kebijaksanaan Allah ada padanya untuk menegakkan keadilan.