Alkitab Versi Borneo |
Elia ke Gunung Horeb 1Disampaikanlah oleh Ahab kepada Izebel perihal semua yang dilakukan Elia dan bagaimana dia membunuh semua nabi itu dengan pedang. 2Lalu Izebel mengutus seorang pesuruh kepada Elia dengan pesan, "Biarlah tuhan mengazabkan aku bahkan lebih lagi, jika esok pada waktu seperti ini aku tidak membuat nyawamu sama dengan nyawa seorang daripada kalangan mereka." 3Apabila diketahuinya hal itu, Elia bergegas pergi menyelamatkan diri. Sesampainya di Bersyeba, wilayah Yehuda, ditinggalkannya pelayannya di sana 4Asementara dia pergi seorang diri kira-kira sejauh sehari perjalanan ke gurun. Di sana duduklah dia di bawah sebuah pokok arar, dan memohon supaya dia mati sahaja, katanya, "Cukuplah! Sekarang, ya Tuhan, cabutlah nyawaku kerana aku ini tidak lebih baik daripada nenek moyangku." 5Kemudian dia berbaring dan tidur di bawah pokok arar itu. Tiba-tiba seorang malaikat menjamahnya dan bersabda kepadanya, "Bangunlah, makanlah." 6Ketika dia memandang sekelilingnya, tampaklah yang berdekatan dengan kepalanya ada sepotong roti bundar terpanggang di atas bara api dan sebuah buyung berisi air. Dia pun makan dan minum, lalu berbaring lagi. 7Lalu untuk kali keduanya malaikat Tuhan datang lagi dan menjamah dia serta bersabda, "Bangunlah, makanlah, kerana perjalanan kelak terlalu jauh bagimu." 8Maka Elia bangun lalu makan dan minum. Kemudian dengan kekuatan daripada makanan itu, dia berjalan selama empat puluh hari empat puluh malam sampai ke gunung Allah, iaitu Gunung Horeb. Allah menyatakan diri di Gunung Horeb 9Di sana dia masuk ke dalam sebuah gua lalu bermalam di situ. Tiba-tiba datanglah firman Tuhan kepadanya demikian, "Apakah yang kaukerjakan di sini, wahai Elia?" 10BJawabnya, "Aku telah berjuang penuh semangat bagi Tuhan, Allah alam semesta, kerana orang Israel telah mengabaikan perjanjian-Mu, meruntuhkan mazbah-mazbah-Mu, dan membunuh nabi-nabi-Mu dengan pedang. Hanya aku yang masih tinggal, dan mereka sedang berusaha untuk membunuhku." 11Firman-Nya, "Keluarlah dan berdirilah di atas gunung itu, di hadapan Tuhan." Kemudian Tuhan berlalu. Mendahului Tuhan ada angin yang besar dan kuat membelah gunung itu serta memecahkan bukit-bukit batu, tetapi Tuhan tidak ada di dalam angin itu. Sesudah angin itu ada gempa, tetapi Tuhan tidak ada di dalam gempa itu. 12Sesudah gempa itu ada api, tetapi Tuhan tidak juga ada di dalam api itu. Sesudah api itu ada suara yang lembut.