Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Zakharia 7

A A A
Alkitab Versi Borneo

Ibadat puasa yang baik

1Pada tahun keempat dalam zaman pemerintahan Raja Darius, tepatnya pada hari keempat dalam bulan kesembilan, iaitu bulan Kislew, datanglah firman Tuhan kepada Zakharia.

2Pada waktu itu penduduk Betel telah mengutus Sarezer dan Regem-Melekh serta orang mereka untuk memohonkan belas kasihan Tuhan 3dengan bertanya kepada para imam di Bait Tuhan alam semesta, dan kepada para nabi demikian, "Haruskah aku menangis dan berpantang pada bulan kelima, seperti yang telah kulakukan selama beberapa tahun ini?"

4Maka datanglah firman Tuhan alam semesta, kepadaku demikian, 5"Katakanlah kepada seluruh rakyat negeri dan kepada para imam, 'Ketika kamu berpuasa dan meratap pada bulan kelima dan ketujuh selama tujuh puluh tahun ini, adakah kamu sungguh-sungguh berpuasa untuk Aku? 6Ketika kamu makan dan minum, bukankah kamu makan dan minum untuk dirimu sendiri?

7Bukankah firman ini juga yang telah Tuhan serukan dengan perantaraan para nabi terdahulu ketika Yerusalem dengan kota-kota di sekelilingnya masih dihuni dan masih aman dan ketika Tanah Negeb dan kawasan tanah rendah masih dihuni orang?' "

8Firman Tuhan datang kepada Zakharia demikian, 9"Beginilah firman Tuhan alam semesta, 'Jalankanlah hukum dengan benar. Tunjukkanlah kasih dan sayang antara satu sama lain. 10Janganlah menindas balu, anak yatim, pendatang, dan orang miskin. Janganlah merancang kejahatan dalam hatimu terhadap satu sama lain.' "

11Tetapi mereka menolak untuk memberikan perhatian. Mereka membalikkan punggung sebagai pembangkang dan memekakkan telinga supaya tidak mendengar. 12Mereka menjadikan hati mereka sekeras intan supaya tidak mendengar hukum dan firman yang disampaikan Tuhan alam semesta, melalui Roh-Nya dengan perantaraan para nabi terdahulu. Oleh sebab itu datanglah murka yang besar daripada Tuhan alam semesta. 13"Jadi, sebagaimana Aku berseru dan mereka tidak mahu mendengar, demikianlah mereka akan berseru dan Aku tidak mahu mendengar," demikianlah firman Tuhan alam semesta. 14"Dengan badai akan Kucerai-beraikan mereka ke antara segala bangsa yang tidak dikenali mereka, dan negeri yang ditinggalkan mereka akan menjadi musnah tanpa ada yang lalu-lalang di sana. Mereka membuat negeri yang indah itu termusnah."