Alkitab Versi Borneo |
Kekasih yang hilang ditemui semula 1Ke mana perginya kekasihmu, wahai yang tercantik di antara perempuan? Katakan ke manakah kekasihmu pergi, agar kami dapat mencarinya bersama-samamu? 2Kekasihku turun ke tamannya, ke permatang rempah-ratusnya, untuk menggembala domba di taman dan memetik bunga-bunga bakung. 3Aku milik kekasihku, dan kekasihku milikku. Dia menggembala domba di antara bunga bakung. Mempelai laki-laki memuji mempelai perempuan 4Sayangku, engkau cantik seperti Tirza, lawa seperti Yerusalem, hebat seperti tentera yang membawa panji-panji. 5Alihkanlah matamu daripadaku, kerana aku tenggelam lemas dibuatnya. Rambutmu bak kawanan kambing yang melompat turun dari Gilead. 6Gigimu bak kawanan domba betina yang baru naik dari tempat pembasuhan, semuanya beranak kembar; tiada satu pun di antaranya yang kehilangan anak. 7Pelipismu bagaikan buah delima merkahi
di balik tudungmu. 8Ada enam puluh orang permaisuri, dan lapan puluh orang gundik, dan tidak terhingga ramainya perawan. 9Tetapi dialah satu-satunya merpatiku, kekasihku yang sempurna,
dialah satu-satunya anak ibunya,
anak kesayangan orang yang melahirkannya.
Para puteri melihatnya dan menyebutnya berbahagia,
para permaisuri dan para gundik pun memujinya. 10"Siapakah si dia yang menjenguk bagaikan fajar, cantik bagaikan bulan purnama, terang bagaikan matahari, dan hebat lagi menaikkan semangat seperti tentera pembawa panji-panji?" 11Aku turun ke dusun kacang untuk melihat kehijauan pepohon di lembah, untuk melihat sama ada pokok anggur sudah bertunas dan sama ada pokok-pokok delima sudah berbunga. 12Di bawah sedarku, angan-anganku membawa aku mengenderai rata-rata kaum bangsawan. 13Kembalilah, kembalilah, wahai gadis Sulam! Kembalilah, kembalilah, supaya kami dapat melihatmu. Mengapa perlu kamu melihat si gadis Sulam itu seperti melihat tari-tarian Mahanaim?