Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Kidung Agung 5

A A A
Alkitab Versi Borneo
1Aku datang ke tamanku, wahai adindaku, pengantinku.

Kukumpulkan damar wangiku dan rempah-ratusku,

kumakan sarang lebahku bersama dengan maduku,

kuminum air anggurku serta susuku.

Makanlah, wahai sahabat-sahabat, dan minumlah!

Minumlah sehingga kamu mabuk cinta!

Kerinduan mempelai perempuan

2Aku tidur, namun hatiku masih sedar.

Dengarlah, kekasihku mengetuk-ngetuk pintu.

"Bukakanlah aku pintu, wahai adindaku, sayangku,

merpatiku, kekasihku yang sempurna!

Kepalaku kuyup oleh embun

dan rambutku lebat dengan titis-titis embun malam."

3Bajuku telah kutanggalkan,

haruskah aku pakainya semula?

Kakiku telah kubasuh,

haruskah aku mengotorkannya semula?

4Kekasihku memasukkan tangannya menerusi lubang di pintu,

berdebar-debarlah hatiku kerananya.

5Aku bangun untuk membuka pintu bagi kekasihku.

Tanganku menitiskan damar wangi,

dan mengalirlah damar wangi daripada jari-jariku

ke atas pemegang di pengancing pintu.

6Kubuka pintu untuk kekasihku,

tetapi kekasihku telah berpaling dan pergi.

Hatiku terhenyak ketika dia berkata-kata.

Kucari dia, tetapi tidak kutemui;

kupanggil-panggil, tetapi dia tidak menyahut.

7Para pengawal yang meronda kota menemui aku.

Mereka memukuli aku, mereka melukai aku,

mereka merampas mantelku –

para penjaga tembok itu!

8Kumohon dengan sungguh-sungguh kepadamu, wahai para puteri Yerusalem,

jika kamu menemukan kekasihku,

sampaikanlah kepadanya

bahawa aku diserang sakit asmara!

Mempelai perempuan memuji mempelai laki-laki

9Apakah kelebihan kekasihmu daripada kekasih lain,

wahai yang tercantik di antara perempuan?

Apakah kelebihan kekasihmu berbanding dengan kekasih lain,

sehingga kaumohon sangat-sangat kepada kami?

10Kekasihku itu putih kemerah-merahan,

terkemuka di antara sepuluh ribu orang.

11Kepalanya bak emas termurni,

rambutnya ikal, sehitam sang gagak.

12Matanya bak burung merpati di tepi saluran air,

bermandikan susu, lengkap dalam kecukupan.

13Pipinya bagaikan hamparan rempah-ratus,

bak permatang pelbagai herba harum.

Bibirnya bak bunga bakung,

menitiskan cairan damar wangi.

14Tangannya bak gandar emas,

bertatahkan permata topaz.

Tubuhnya bak ukiran gading,

bertatah batu nilam.

15Kakinya bak tonggak marmar putih,

terlekap di atas alas emas murni.

Keterampilannya bak Lebanon,

terpilih sebagaimana pokok-pokok araznya.

16Mulutnya paling manis,

ya dia sama sekali mengasyikkan.

Demikianlah kekasihku, demikianlah sahabatku,

wahai puteri-puteri Yerusalem.