Alkitab Versi Borneo |
Bunga bakung di antara duri 1Akulah bunga mawar dari Saron, bunga bakung di lembah-lembah. 2Seperti bunga bakung di antara duri, demikianlah sayangku di antara perawan. 3Seperti pokok epal di antara pepohon hutan, demikianlah kekasihku di antara teruna. Aku gembira duduk di bawah naungannya, dan kepada mulutku, buahnya terasa manis. 4Dibawanya aku ke rumah perjamuan, dengan cogan cintanya di atasku. 5Kuatkanlah aku dengan kuih kismis, segarkanlah aku dengan buah epal, kerana asyik asmara melanda aku! 6Tangan kirinya di bawah kepalaku, dan tangan kanannya memeluk aku. 7Dengan sungguh-sungguh aku minta kepadamu, wahai para puteri Yerusalem, demi kijang-kijang dan rusa-rusa betina di padang, jangan bangkitkan dan jangan gerakkan cinta sebelum dikehendakinya. Ketibaan mempelai laki-laki 8Suara kekasihku! Lihat, datanglah dia melompat melepasi gunung-gunung, melonjak melangkau bukit-bukit. 9Kekasihku seumpama kijang atau rusa jantan muda.
Lihat, dia berdiri di balik dinding kita,
mengamat-amati melalui jendela,
mengintip-intip melalui tingkap kekisi. 10Bertuturlah kekasihku dan berkata kepadaku, "Bangunlah, oh sayangku, Juitaku, marilah! 11Lihatlah, musim dingin sudah berlalu, hujan sudah teduh dan telah pergi. 12Bunga-bunga menampakkan diri di bumi, masa berdendang telah tiba, kedengaran kini kicauan burung tekukur di bumi kita. 13Pokok ara mulai berputik, dan semerbaklah bau pokok anggur yang berbunga. Bangunlah, marilah, sayangku, jelitawanku, marilah! 14Wahai merpatiku di celah-celah bukit batu, di persembunyian pada terjal-terjal gunung, biarlah aku tatap parasmu, biarlah aku dengar suaramu, kerana merdu suaramu dan elok parasmu. 15Tangkaplah untuk kami segala rubah itu, rubah yang kecil-kecil, yang merosakkan kebun-kebun anggur, ketika kebun-kebun anggur kami sedang berbunga." 16Kekasihku milikku, dan aku miliknya; dia menggembala domba di antara bunga bakung. 17Sebelum bertiupnya angin senja dan bayang-bayang menghilang, kembalilah, wahai kekasihku! Jadilah seumpama kijang atau seumpama anak rusa di gaung-gaung Pergunungan Beter.