Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Mazmur 56

A A A
Alkitab Versi Borneo

Untuk pemimpin muzik. Menurut lagu "Merpati Sepi di Tanah Jauh."

Mazmur Daud, pada masa orang Filistin menangkapnya di Gat. 1Kasihanilah aku, ya Allah, kerana orang hendak membinasakan aku;

sepanjang hari mereka menyerang dan menindasku.

2Musuhku memburu aku sepanjang hari;

ramai orang menentangku.

3Apabila aku berasa takut,

aku berharap kepada-Mu.

4Kepada Allah, aku memuji firman-Nya,

kepada Allah, aku meletakkan kepercayaanku;

aku tidak akan gentar.

Apakah yang dapat dilakukan oleh manusia kepadaku?

5Sepanjang hari mereka memesongkan kata-kataku;

seluruh fikiran mereka penuh kejahatan menentangku.

6Mereka berhimpun, mereka bersembunyi,

memerhatikan jejak langkahku,

lalu menghendap untuk meragut nyawaku.

7Mereka tidak patut dibiarkan berleluasa melakukan kejahatan;

binasakanlah mereka dalam kemurkaan-Mu, ya Allah.

8Engkau memerhati setiap gerak-geriku;

Engkau mengambil kira setiap titis air mataku –

tidakkah mereka itu tercatat dalam buku-Mu?

9Apabila aku berseru kepada-Mu

musuhku akan berundur.

Ini aku tahu, kerana Allah memihak kepadaku.

10Kepada Allah, aku memuji firman-Nya,

kepada TUHAN, aku memuji firman TUHAN –

11kepada Allah kuletakkan kepercayaanku; aku tidak akan gentar.

Apakah yang dapat dilakukan oleh manusia kepadaku?

12Aku akan menunaikan segala janjiku kepada-Mu, ya Allah;

aku akan bersyukur memuji-Mu.

13Kerana Engkau telah menyelamatkan aku daripada maut

dan mengelakkan kakiku daripada tergelincir,

supaya aku dapat melangkah di hadapan Allah dalam cahaya orang yang hidup.