Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Mazmur 49

A A A
Alkitab Versi Borneo

Untuk pemimpin muzik.

Mazmur puak Korah. 1Dengarlah, wahai segala bangsa;

pasang telingamu, wahai semua penghuni dunia,

2baik hina atau mulia, kaya atau miskin:

3Lidahku akan menuturkan kebijaksanaan;

dan renungan hatiku akan memberi pengertian.

4Aku akan meneliti amsal;

dan menerangkan ertinya sambil memetik kecapi:

5Mengapa aku harus takut dalam masa kesusahan,

ketika kejahatan yang memburuku telah mengepungku –

6mereka yang bergantung kepada kekayaan

dan berbangga akan harta yang banyak?

7Sesungguhnya, seorang pun daripada mereka tidak berdaya menebus saudaranya

dengan membayar harga tebusannya kepada Allah –

8kerana harga tebusan jiwa mereka sungguh mahal,

maka jiwa mereka akan musnah –

9mereka tidak dapat hidup selama-lamanya

dan tidak dapat mengelakkan kubur.

10Setiap manusia melihat orang bijaksana meninggal dunia;

begitu juga orang bodoh dan orang tolol

lalu meninggalkan kekayaan mereka kepada orang lain.

11Dalam hati mereka menyangka rumah mereka akan kekal selama-lamanya,

akan menjadi kediaman zuriat mereka turun-temurun,

mereka menamakan tanah dengan nama mereka.

12Namun demikian manusia,

meskipun terhormat, tidak akan kekal;

sama seperti haiwan, dia akan mati.

13Inilah nasib orang yang bodoh,

dan keturunan mereka yang menyokong kata-kata mereka.

14Seperti domba mereka berbaring di kubur,

maut akan membaham mereka.

Orang yang tulus akan berkuasa atas mereka setelah pagi nanti;

dan jasad mereka akan dimusnahkan di kubur,

jauh dari tempat kediaman mereka.

15Kerana Allah yang akan menyelamatkanku dari kubur;

Dia akan membawaku bersama-Nya.

16Jangan runsing ketika melihat orang menjadi kaya-raya,

dan keluarganya semakin dimuliakan;

17kerana apabila dia mati,

tiada suatu pun dibawanya,

kemuliaannya tidak turut masuk ke kubur.

18Walaupun dia berasa bahagia ketika hidup –

kerana orang yang berjaya sentiasa dipuji –

19namun dia akan menyusul nenek moyangnya,

dan tidak akan melihat cahaya selama-lamanya.

20Orang yang dimuliakan tetapi tidak mengerti

samalah seperti haiwan yang mati.