Alkitab Versi Borneo |
Mazmur Daud.
1Kepada-Mu aku berseru,
Ya TUHAN, Batu Pejalku;
janganlah berdiam diri terhadapku.
Takut nanti, jika Engkau membisu kepadaku,
aku menjadi seperti mereka yang masuk ke lubang yang dalam. 2Dengarlah suaraku merayu apabila aku berseru kepada-Mu, apabila aku mengangkat tangan ke arah khemah suci-Mu. 3Jangan singkirkan aku bersama orang zalim, dan mereka yang melakukan kejahatan, yang menuturkan kata-kata damai kepada sesama manusia tetapi kejahatan terpendam dalam hati mereka. 4AHukumlah mereka setimpal dengan perbuatan mereka sepadan dengan kedurjanaan usaha mereka; hukumlah mereka setimpal dengan apa yang dilakukan mereka; berilah mereka hukuman yang wajar. 5Kerana mereka tidak menghiraukan segala perbuatan TUHAN
mahupun segala hasil kerja tangan-Nya,
Dia akan membinasakan mereka dan tidak akan memulihkan mereka. 6Segala puji bagi TUHAN,
kerana Dia telah mendengar suaraku merayu. 7TUHAN kekuatan dan perisaiku;
hatiku percaya kepada-Nya, dan aku ditolong-Nya.
Oleh itu, hatiku amat gembira
dan dengan nyanyianku aku akan memuji-Nya. 8TUHAN kekuatan mereka,
dan Dia tempat berlindung orang yang diurapi-Nya. 9Selamatkanlah umat-Mu dan berkatilah mereka yang menjadi milik-Mu;
jadilah gembala pembimbing mereka dan teguhkan mereka selama-lamanya.