Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Mazmur 22

A A A
Alkitab Versi Borneo

Untuk pemimpin muzik. Menurut lagu "Rusa Subuh." Mazmur Daud. 1AYa Allahku, ya Allahku, mengapa Engkau meninggalkan aku?

Mengapa Engkau terlalu jauh untuk menolongku,

dan untuk mendengar kata-kata rintihanku?

2Ya Allahku, aku meratap sepanjang siang, tetapi Engkau tidak mendengar,

dan semalaman aku tidak berhenti merayu.

3Tetapi Engkau suci;

bertakhta di atas puji-pujian umat Israel.

4Nenek moyang kami percaya kepada-Mu;

mereka percaya dan Engkau menyelamatkan mereka.

5Mereka merayu kepada-Mu,

lalu mereka diselamatkan;

mereka percaya kepada-Mu, dan tidak kecewa.

6Tetapi aku makhluk melata, bukan manusia, dikeji dan dihina orang.

7BSemua yang melihatku mentertawakanku;

mereka mencaciku, menggeleng kepala, sambil berkata:

8C"Dia percaya kepada TUHAN;

biar TUHAN selamatkan dia.

Biar TUHAN lepaskan dia,

kerana TUHAN berkenan kepadanya."

9Tetapi Engkaulah yang mengeluarkan aku dari rahim;

Engkau membuat aku percaya ketika masih disusui ibuku.

10Aku diserahkan kepada-Mu sejak lahir;

semenjak di rahim ibuku lagi Engkaulah Allahku.

11Janganlah jauh daripadaku,

kerana kesusahan dekat denganku

dan tiada siapa yang menolong.

12Banyak lembu jantan mengelilingiku;

lembu jantan Basan yang kuat telah mengepungku.

13Mereka merenungku dengan mulut ternganga seperti singa yang mengaum ganas.

14Aku dicurah keluar seperti air,

dan semua tulangku terseliuh daripada sendinya.

Hatiku seperti lilin;

dan telah cair dalam diriku.

15Kekuatanku telah kering-kontang,

dan lidahku melekat ke langit-langitku;

Engkau telah membawaku ke debu maut.

16Anjing-anjing telah mengelilingiku;

gerombolan orang durjana mengepungku,

mereka telah menembusi tangan dan kakiku.

17Aku dapat membilang semua tulangku;

mereka membelalak merenungku.

18DMereka membahagikan pakaianku antara mereka

dan untuk itu mereka membuang undi.

19Tetapi Engkau, ya TUHAN, janganlah jauh daripadaku;

Ya TUHAN kekuatanku, segeralah datang menolongku.

20Selamatkan aku daripada pedang,

dan nyawaku yang satu-satunya daripada cengkaman anjing.

21Selamatkan aku daripada mulut singa;

dan daripada tanduk lembu liar.

22EAku akan mengisytiharkan nama-Mu kepada saudara-saudaraku;

di tengah-tengah perhimpunan aku akan memuji-Mu.

23Kamu yang takut akan TUHAN, pujilah Dia!

Semua kamu zuriat Yakub,

muliakan TUHAN!

Dan takutilah Dia, semua kamu anak cucu Israel!

24Kerana Dia tidak menghina atau menjijikkan derita orang yang menderita;

dan Dia tidak menyembunyikan wajah-Nya daripada dia.

Apabila dia berseru kepada-Nya,

Dia mendengar.

25Pujian-pujian aku untuk-Mu kelak di perhimpunan besar;

aku akan menunaikan sumpahku di hadapan mereka yang takut akan Dia.

26Orang miskin akan makan sehingga puas;

mereka yang mencari TUHAN akan memuji-Nya –

semoga hatimu hidup selama-lamanya!

27Setiap pelosok dunia akan ingat dan berpaling kepada TUHAN,

dan semua kaum bangsa akan menyembah-Mu,

28kerana kerajaan milik TUHAN

dan Dia memerintah segala bangsa.

29Semua orang yang makmur di bumi akan berjamu dan menyembah TUHAN;

semua yang turun ke debu akan tunduk kepada-Nya –

termasuk yang tidak dapat memelihara nyawa sendiri.

30Orang kemudian akan melayani-Nya;

perihal Tuhan akan disampaikan kepada keturunan akan datang.

31Mereka akan datang mengisytiharkan perbuatan-Nya yang benar

kepada bangsa yang akan lahir –

bahawa Dia telah melakukan ini.