Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Mazmur 108

A A A
Alkitab Versi Borneo

Sebuah nyanyian. Mazmur Daud. 1Ya Allah, hatiku teguh;

aku akan menyanyi dan menggubah pujian, ya, dengan seluruh jiwaku.

2Bangunlah, gambus dan kecapi!

Aku akan membangunkan fajar.

3Aku akan memuji-Mu, ya TUHAN, dalam kalangan bangsa-bangsa;

dan aku akan menyanyi untuk-Mu dalam kalangan umat manusia.

4Kerana kasih-Mu besar menjangkau langit;

dan kesetiaan-Mu mencapai awan.

5Maha Tinggi Engkau, ya TUHAN, memerintah langit,

dan kemuliaan-Mu di atas seluruh bumi.

6Supaya orang yang Kaukasihi dapat diselamatkan,

lepaskanlah dengan tangan kanan-Mu dan dengarlah rayuanku.

7Allah telah berfirman dalam kesucian-Nya:

"Aku akan bergembira; Aku akan membahagikan tanah Sikhem dan mengukur serta mengagihkan Lembah Sukot.

8Gilead milik-Ku, Manasye milik-Ku;

Efraim juga topi besi-Ku, Yehuda tongkat kerajaan-Ku.

9Moab tempat pembasuhan-Ku,

ke atas Edom akan Kulemparkan kasut-Ku; ke atas Filistea Aku akan bersorak menang."

10Siapa akan membawaku ke dalam kota perkasa itu?

Siapa akan memimpinku ke Edom?

11Bukankah Engkau, ya Allah, yang menyingkiri kami

dan Engkau, ya Allah, yang tidak menyertai tentera kami?

12Berilah kami pertolongan daripada kesusahan,

kerana pertolongan manusia tidak berguna.

13Melalui Allah, kita akan berjuang dengan berani,

kerana Dialah yang akan menumpaskan musuh kita.