Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Mazmur 106

A A A
Alkitab Versi Borneo
1APujilah TUHAN!

Bersyukurlah kepada TUHAN, kerana kebaikan-Nya;

kerana kasih-Nya kekal selama-lamanya.

2Siapa yang dapat menyebutkan perbuatan-perbuatan TUHAN yang hebat,

siapa dapat mengisytiharkan seluruh puji bagi-Nya?

3Diberkatilah mereka yang menjaga keadilan,

dan orang yang melakukan apa yang benar setiap waktu.

4Ingatlah aku, ya TUHAN, dengan keredaan yang Kauberi,

selamatkan aku ketika Engkau menyelamatkan mereka,

5supaya aku dapat menikmati kemewahan orang pilihan-Mu,

supaya aku dapat bergembira dengan rasa sukacita bangsa-Mu,

supaya aku dapat merasakan kemuliaan dengan warisan-Mu.

6Kami telah berdosa bersama nenek moyang kami;

kami telah melakukan dosa, kami telah berbuat jahat.

7BNenek moyang kami di Mesir,

tidak memahami mukjizat-Mu;

mereka tidak ingat akan keihsanan-Mu yang melimpah-limpah,

tetapi telah memberontak di pinggir laut, Laut Merah.

8Namun demikian Dia telah menyelamatkan mereka demi nama-Nya,

untuk menunjukkan kuasa-Nya yang besar.

9CDia juga memurkai Laut Merah, maka laut itu kering;

lalu Dia memandu mereka menyeberangi laut seperti merentas gurun.

10Dia menyelamatkan mereka daripada tangan orang yang membenci mereka;

dan melepaskan mereka daripada tangan musuh.

11Air laut menenggelamkan musuh mereka;

tiada seorang pun yang tinggal.

12DLalu mereka percaya akan firman-Nya;

mereka menyanyikan pujian untuk-Nya.

13Tidak lama kemudian mereka melupakan perbuatan-Nya;

mereka tidak menantikan bimbingan-Nya.

14ETetapi dikuasai nafsu buas di gurun;

dan menguji Allah di tanah tandus.

15Dia memberi mereka apa yang diminta oleh mereka,

tetapi menghantar kelemahan ke dalam jiwa mereka.

16FMereka iri hati kepada Musa di perkhemahan

dan Harun, orang suci TUHAN.

17Bumi terbuka lalu menelan Datan;

dan mengambus Abiram serta para pengikutnya.

18Api dinyalakan dalam kalangan pengikut mereka;

lalu membakar orang zalim.

19GMereka membuat patung anak lembu di Horeb

lalu menyembah patung buatan mereka.

20Dengan demikian mereka menukar kemuliaan mereka

untuk patung lembu jantan yang makan rumput.

21Mereka melupakan Allah Penyelamat mereka,

yang telah melakukan perkara-perkara hebat di Mesir,

22mukjizat-mukjizat di tanah Ham;

perkara-perkara yang menakjubkan di pinggir Laut Merah.

23Oleh itu, Dia berfirman bahawa Dia akan memusnahkan mereka –

tetapi Musa, orang pilihan-Nya,

berdiri di hadirat-Nya memohon untuk mereka

bagi memalingkan kemurkaan-Nya, supaya Dia tidak memusnahkan mereka.

24HKemudian, mereka membenci tanah yang begitu baik;

mereka tidak percaya akan firman-Nya,

25sebaliknya bersungut di khemah-khemah mereka

dan tidak menghiraukan suara TUHAN.

26Oleh itu, Dia mengangkat tangan-Nya bersumpah

bahawa Dia akan membawa kekalahan kepada mereka di gurun,

27Idan kepada anak cucu mereka dalam kalangan bangsa-bangsa,

serta menyelerakkan mereka di serata negeri.

28JMereka juga menyertai Baal di Peor

dan makan korban persembahan yang dibuat kepada orang mati;

29demikianlah mereka menyakitkan hati TUHAN sehingga Dia marah dengan perbuatan mereka,

lalu berlaku wabak dalam kalangan mereka.

30Maka Pinehas tampil memohon untuk mereka,

lalu wabak itu berakhir.

31Perbuatannya itu dikira sebagai perbenarannyai

turun-temurun selama-lamanya.

32KMereka juga membuat TUHAN marah di mata air Meriba,

lalu Musa ditimpa kesusahan kerana mereka;

33kerana mereka memberontak terhadap Roh Allah,

sehingga Musa bersuara dengan gopoh.

34LMereka tidak memusnahkan bangsa-bangsa

sebagaimana telah diperintahkan oleh TUHAN kepada mereka,

35sebaliknya mereka bergaul dengan bangsa-bangsa itu

dan mempelajari amalan-amalan mereka.

36Mereka melayani berhala-berhala mereka,

yang menjadi jerat kepada mereka.

37MMalah mereka mengorbankan anak-anak lelaki

dan anak-anak perempuan mereka kepada roh-roh Iblis.

38NDan menumpahkan darah mereka yang tidak bersalah,

darah anak-anak lelaki dan anak-anak perempuan mereka,

yang dikorbankan oleh mereka untuk berhala-berhala Kanaan,

maka tanah itu dicemari darah.

39Demikianlah mereka dinodai oleh perbuatan mereka sendiri;

dan menjadi seperti pelacur dengan kelakuan mereka sendiri.

40OOleh itu, kemurkaan TUHAN dinyalakan terhadap umat-Nya,

maka Dia jijik akan warisan-Nya sendiri.

41Lalu Dia menyerahkan mereka ke tangan bangsa-bangsa asing,

dan orang yang membenci mereka memerintah mereka.

42Musuh mereka juga menindas mereka

dan mereka tunduk di bawah tangan musuh.

43Berkali-kali Dia menyelamatkan mereka,

tetapi mereka memberontak menurut rancangan sendiri lalu mereka dijatuhkan kerana dosa mereka.

44Namun demikian, Dia mengambil berat tentang derita mereka

apabila Dia mendengar seruan mereka;

45dan untuk mereka Dia ingat akan perjanjian-Nya

lalu berlembut kerana kasih-Nya melimpah-limpah.

46Dia juga menyebabkan mereka dikasihani

oleh semua yang membawa mereka pergi sebagai orang tawanan.

47PSelamatkanlah kami, ya TUHAN Allah kami,

dan kumpulkan kami daripada kalangan bangsa asing,

supaya kami bersyukur kepada nama-Mu yang suci,

supaya kami berbangga dengan pujian untuk-Mu.

48Pujilah TUHAN, Allah Israel,

dari selama-lamanya ke selama-lamanya.

Dan biarlah semua orang berkata, "Amin!"

Pujilah TUHAN!