Alkitab Versi Borneo |
1Hati raja seumpama anak sungai di dalam tangan TUHAN,
dialirkan-Nya ke mana sahaja Dia kehendaki. 2Setiap jalan orang lurus menurut pandangannya sendiri,
tetapi TUHAN sajalah yang menimbang hati. 3Melakukan yang benar dan adil lebih disukai
TUHAN daripada korban sembelihan. 4Mata yang sombong dan hati yang bongkak, iaitu pelita orang durjana, adalah dosa. 5Rancangan orang rajin hanya mendatangkan keuntungan, tetapi setiap orang yang terburu-buru hanya akan berkekurangan. 6Harta yang diperoleh dengan lidah dusta seperti wap yang lenyap bagi orang yang mengejar maut. 7Keganasan orang durjana menyeret mereka sendiri, kerana mereka enggan melakukan keadilan. 8Jalan orang yang bersalah bengkang-bengkok, tetapi langkah orang yang ikhlas adalah lurus. 9Lebih baik tinggal di sudut bumbung rumah daripada serumah dengan isteri yang suka bertengkar. 10Hati orang durjana menginginkan kejahatan, tidak ada belas kasihan di matanya bagi jirannya. 11Jika pencemuh dihukum, si betul bendul menjadi bijaksana, dan jika orang bijaksana diajar, dia memperoleh pengetahuan. 12Yang Maha Benar memperhatikan rumah orang durjana, lalu menjatuhkan orang durjana itu ke dalam kehancuran. 13Sesiapa menutup telinganya terhadap jeritan orang miskin, tidak akan dijawab ketika dia sendiri berseru-seru. 14Pemberian secara diam-diam memadamkan amarah, rasuah secara bersembunyi-sembunyi meredakan murka besar. 15Melakukan keadilan adalah kesukaan bagi orang benar, tetapi menakutkan bagi orang yang berbuat jahat. 16Orang yang menyimpang dari jalan kebijaksanaan, akan tinggal di perhimpunan para arwah. 17Orang yang suka bersenang-senang akan menjadi si miskin, dan sesiapa menyukai air anggur serta minyak, tidak akan kaya. 18Orang durjana menjadi tebusan bagi orang benar, dan pengkhianat bagi orang yang lurus hati. 19Lebih baik tinggal di gurun daripada bersama isteri yang suka bertengkar dan pemarah. 20Ada harta yang berharga dan minyak di dalam rumah orang bijaksana, tetapi orang bodoh memboroskan hartanya. 21Sesiapa mengejar perbenaran"class="footnote footnote-btn-hover">i dan kasih akan menemukan kehidupan, kebenaran, dan kehormatan. 22Orang bijaksana dapat menyerang kota para kesateria perkasa, dan merobohkan benteng-benteng yang diharapkan mereka. 23Sesiapa menjaga mulut dan lidahnya, menjaga jiwanya daripada malapetaka. 24Orang yang angkuh dan sombong itu "pencemuh" namanya; dia bertindak amat biadab dan sangat angkuh! 25Keinginan si pemalas membunuh dirinya, kerana tangannya enggan bekerja. 26Sepanjang hari dia terus menginginkan sesuatu, tetapi orang benar terus memberi tanpa menahan dirinya. 27Korban sembelihan orang durjana adalah kekejian, apatah lagi jika dipersembahkan dengan niat jahat. 28Saksi dusta akan binasa, tetapi orang yang taat dan patuh akan terus berbicara. 29Orang yang durjana menebalkan mukanya, tetapi orang yang lurus hati mengatur jalannya. 30Tidak ada kebijaksanaan, tidak ada pengertian,
dan tidak ada pertimbangan yang dapat melawan TUHAN. 31Kuda diperlengkap untuk hari peperangan,
tetapi kemenangan berasal daripada TUHAN.