Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Amsal 14

A A A
Alkitab Versi Borneo
1Perempuan yang bijaksana membina rumahnya,

tetapi yang bodoh merobohkannya dengan tangannya sendiri.

2Sesiapa yang hidup jujur, takut kepada TUHAN,

tetapi orang yang menyimpang perilakunya menghina Dia.

3Di dalam mulut orang bodoh ada rotan bagi punggungnya,

tetapi orang bijaksana dijaga oleh bibirnya.

4Jika tidak ada lembu, maka bersihlah kandang,

tetapi dengan kekuatan lembu banyaklah hasil.

5Saksi yang setia tidak akan berdusta,

tetapi saksi dusta menyampaikan pembohongan.

6Si pencemuh mencari hikmah dan tidak mendapatinya,

tetapi orang yang berpengertian mudah mendapati pengetahuan.

7Jauhilah orang bodoh,

kerana pada bibirnya tidak akan kautemukan pengetahuan.

8Hikmah orang bijaksana adalah memahami jalan hidupnya,

tetapi kebodohan orang tolol adalah tipu daya.

9Orang bodoh mencemuh korban yang menebus kesalahan,

tetapi kebajikan terdapat dalam kalangan yang tulus hati.

10Hati mengetahui kepahitannya sendiri,

dan kegembiraannya tidak dapat turut dirasakan orang lain.

11Rumah orang durjana akan musnah,

tetapi khemah orang yang jujur akan berkembang maju.

12AAda jalan yang dianggap orang lurus,

tetapi akhirnya menuju maut.

13Dalam tertawa pun hati dapat berasa sakit,

dan kesukaan dapat berakhir dengan duka.

14Orang yang hatinya menyeleweng akan mendapat balasan untuk jalannya sendiri,

dan orang yang baik untuk perbuatannya.

15Orang yang betul bendul mempercayai segala-galanya,

tetapi orang bijaksana mempertimbangkan gerak langkahnya.

16Orang bijaksana berwaspada dan menghindari kejahatan,

tetapi orang bodoh bongkak dan ceroboh.

17Orang yang lekas marah bertindak bodoh,

dan sesiapa yang merancang kejahatan dibenci.

18Orang yang betul bendul mewarisi kebodohan,

tetapi orang yang bijaksana bermahkotakan pengetahuan.

19Orang jahat tunduk kepada orang baik,

dan orang durjana di pintu gerbang orang benar.

20Orang miskin dibenci, bahkan oleh jirannya,

tetapi ramai sekali sahabat si orang kaya.

21Sesiapa yang menghina jirannya berbuat dosa,

tetapi berbahagialah orang yang mengasihani fakir miskin.

22Bukankah orang yang merancang kejahatan itu sesat?

Walhal orang yang merancang kebaikan memperoleh kasih dan kesetiaan.

23Segala penat lelah mendatangkan keuntungan,

tetapi kata-kata kosong hanya mendatangkan kemiskinan.

24Kekayaan ialah mahkota orang bijaksana,

tetapi kebodohan orang bodoh sekadar menghasilkan kebodohan.

25Saksi yang bercakap benar menyelamatkan nyawa,

tetapi orang yang berdusta ialah pengkhianat.

26Orang yang takut kepada TUHAN menampilkan keyakinan yang kuat,

dan anak-anaknya mendapat perlindungan.

27Takut kepada TUHAN ialah mata air kehidupan,

sehingga seseorang itu dapat menghindari jerat-jerat maut.

28Rakyat yang ramai ialah kemuliaan raja,

tetapi tanpa rakyat runtuhlah pemerintah.

29Sesiapa yang panjang sabar, besar pengertiannya,

tetapi orang yang lekas naik darah mempamerkan kebodohan.

30Hati yang tenteram menyegarkan tubuh,

tetapi hasad dengki mereputkan tulang.

31Sesiapa menindas orang miskin, mencela Penciptanya,

tetapi sesiapa yang mengasihani orang yang melarat, memuliakan Dia.

32Orang durjana dihempaskan kerana kejahatannya,

tetapi orang benar mendapatkan pelindung dalam kematiannya.

33Hikmah wujud dalam hati orang yang berpengertian,

bahkan dalam kalangan bodoh pun hikmah dinyatakan.

34Perbenarani meninggikan martabat sesuatu bangsa,

tetapi dosa menjadi keaiban mana-mana sahaja bangsa.

35Raja berkenan kepada hamba yang bijaksana,

tetapi dia murka terhadap orang yang membawa keaiban.