Alkitab Versi Borneo |
Bani Ruben dan bani Gad menetap di Tanah Gilead 1Bani Ruben dan bani Gad mempunyai jumlah haiwan ternakan yang sangat besar dan apabila mereka melihat Tanah Yaezer dan Tanah Gilead, mereka menilai bahawa tempat itu baik untuk ternakan. 2Maka bani Gad dan bani Ruben datang kepada Musa, Imam Eleazar, serta para pemimpin umat lalu berkata, 3"Atarot, Dibon, Yaezer, Nimra, Hesbon, Eleale, Sebam, Nebo, dan Beon, 4iaitu tanah yang ditaklukkan Tuhan di hadapan umat Israel, ialah tanah yang baik untuk ternakan. Hamba-hambamu ini mempunyai banyak sekali ternakan." 5Kata mereka lagi, "Jika tuan berkenan, berikanlah kiranya tanah ini kepada hamba-hambamu ini sebagai milik. Jangan bawa kami ke seberang Sungai Yordan." 6Jawab Musa kepada bani Gad dan bani Ruben, "Patutkah saudara-saudaramu pergi berperang, sementara kamu tinggal di sini? 7Mengapakah kamu membuat orang Israel tawar hati untuk menyeberang ke negeri yang dikurniakan Tuhan kepada mereka? 8ABegitulah yang dilakukan oleh kalangan bapa kamu ketika aku mengutus mereka dari Kadesh-Barnea untuk mengamati negeri itu. 9Setelah mereka berjalan sampai ke Lembah Eskol dan mengamati negeri itu, mereka membuat orang Israel tawar hati sehingga mereka tidak mahu masuk ke negeri yang dikurniakan Tuhan kepada mereka. 10BMaka menyalalah murka Tuhan pada waktu itu dan Dia pun bersumpah demikian, 11'Sesungguhnya, tiada seorang pun daripada orang yang berumur dua puluh tahun ke atas saat keluar dari Mesir akan melihat tanah yang Kujanjikan dengan bersumpah kepada Abraham, Ishak, dan Yakub, kerana mereka tidak mengikuti Aku dengan sepenuh hati. 12Tiada seorang pun daripada mereka akan melihat tanah itu kecuali Kaleb anak Yefune, orang Kenas itu, dan Yosua anak Nun, kerana kedua-duanya mengikuti Tuhan dengan sepenuh hati.' 13Murka Tuhan menyala terhadap orang Israel sehingga dibuat-Nya mereka mengembara di gurun selama empat puluh tahun sehingga habis seluruh angkatan yang berbuat jahat di mata Tuhan. 14Sekarang kamu bangkit menggantikan kalangan bapa-bapa kamu, sekumpulan orang berdosa, untuk menambah lagi murka Tuhan terhadap orang Israel. 15Jika kamu berbalik dan tidak lagi mengikuti Dia, maka Dia akan membuat umat terlantar lagi di gurun, sehingga kamu akan menyebabkan seluruh bangsa ini musnah." 16Mereka pun tampil mendekati Musa dan berkata, "Kami akan membina kandang-kandang bagi ternakan kami dan kota-kota bagi anak-anak kami di sini. 17Namun demikian, kami sendiri akan segera mempersenjatai diri untuk maju di depan orang Israel sehingga kami membawa mereka ke tempat mereka. Sementara itu, anak-anak kami akan tinggal di kota-kota berkubu, terlindung daripada penduduk negeri ini. 18Kami tidak akan kembali ke rumah kami sampai setiap orang daripada orang Israel mendapat bahagian harta pusaka masing-masing. 19Kami pun tidak ingin memperoleh harta pusaka bersama-sama mereka di seberang Sungai Yordan sana dan sekitarnya, kerana kami telah memperoleh harta pusaka di sini, di seberang Sungai Yordan sebelah timur." 20Kata Musa kepada mereka, "Jika itu yang hendak kamu lakukan, iaitu bahawa kamu akan mempersenjatai diri untuk berperang di hadapan Tuhan, 21dan bahawa semua orang kamu yang bersenjata mahu menyeberangi Sungai Yordan di hadapan Tuhan sampai Dia mengusir musuh-Nya dari hadapan-Nya 22dan negeri itu tertakluk di hadapan Tuhan, maka sesudah itu kamu akan kembali dan bebas daripada kewajipanmu terhadap Tuhan dan terhadap orang Israel. Tanah ini pun akan menjadi milikmu di hadapan Tuhan. 23Akan tetapi, jika kamu tidak berbuat demikian, sesungguhnya kamu berdosa terhadap Tuhan dan ketahuilah, dosamu itu akan menimpa kamu. 24Bangunkanlah kota-kota untuk anak-anakmu dan kandang-kandang untuk kawanan dombamu, lalu lakukanlah apa yang telah kamu ucapkan." 25Kemudian bani Gad dan bani Ruben berkata kepada Musa, "Hamba-hambamu ini akan berbuat seperti yang diperintahkan oleh tuanku. 26Anak-anak kami, isteri-isteri kami, ternakan kami, dan segala haiwan kami akan menetap di sini, di kota-kota Gilead 27manakala hamba-hambamu ini, iaitu semua orang yang sanggup berperang, akan menyeberang di hadapan Tuhan untuk berperang, seperti yang tuanku katakan." 28CKemudian Musa memberikan perintah kepada Imam Eleazar, Yosua anak Nun, dan ketua kaum keluarga daripada suku-suku orang Israel mengenai mereka. 29Kata Musa, "Jika bani Gad dan bani Ruben, khususnya orangnya yang bersenjata, mahu menyeberangi Sungai Yordan bersama-sama kamu untuk berperang di hadapan Tuhan, dan negeri itu sudah takluk kepadamu, maka berikanlah Tanah Gilead kepada mereka sebagai milik. 30Tetapi jika orang bersenjatanya tidak menyeberang bersamamu, maka hendaklah mereka memperoleh tanah milik di tengah-tengah kamu di Tanah Kanaan." 31Jawab bani Gad dan bani Ruben, "Seperti yang difirmankan Tuhan kepada hamba-hambamu ini, demikianlah akan kami lakukan. 32Kami sendiri akan menyeberang dengan bersenjata di hadapan Tuhan ke Tanah Kanaan, tetapi bagi kami, tanah harta pusaka kami tetaplah di seberang Sungai Yordan ini." 33Lalu kepada mereka, iaitu bani Gad, bani Ruben, dan separuh suku Manasye anak Yusuf, Musa memberikan kerajaan Sihon raja bani Amori dan kerajaan Og raja Basan meliputi negeri serta kota-kotanya, termasuk kota-kota di sekeliling negeri itu. 34Kemudian bani Gad membina Dibon, Atarot, Aroer, 35Atarot-Sofan, Yaezer, Yogbeha, 36Bet-Nimra, dan Bet-Haran menjadi kota-kota yang berkubu dan tempat bagi segala kandang bagi kawanan domba mereka. 37Bani Ruben pula membina Hesbon, Eleale, Kiryataim, 38Nebo, Baal-Meon (nama-namanya diubah), dan Sibma. Lalu kota-kota yang dibangunkan mereka itu diberikan mereka nama lain. 39Bani Makhir anak Manasye pergi ke Gilead lalu merebut tanah itu dan mengusir bani Amori yang tinggal di sana. 40Musa memberikan Gilead kepada Makhir anak Manasye, dan dia pun tinggal di sana. 41Yair, seorang daripada keturunan Manasye, pergi merebut kota-kota kecilnya dan menamainya Hawot-Yair. 42Nobah pergi merebut Kenat dengan kampung-kampungnya dan menamainya Nobah, menurut namanya sendiri.