Alkitab Versi Borneo |
Nazar kaum perempuan 1Musa berkata kepada ketua-ketua suku orang Israel, "Inilah perkara yang diperintahkan Tuhan. 2AJika seorang lelaki bernazar kepada Tuhan atau mengikat dirinya dengan mengangkat sumpah, dia tidak boleh melanggar sumpahnya, tetapi hendaklah dia berbuat sebagaimana yang telah dia sendiri ucapkan itu. 3Jika seorang perempuan yang masih tinggal di rumah ayahnya pada masa mudanya bernazar kepada Tuhan lantas dirinya terikat oleh suatu ikrar, 4dan ayahnya mendengar nazar serta ikrar yang mengikat diri anaknya itu tetapi diam sahaja, maka segala nazarnya akan tetap berkuat kuasa dan segala ikrar yang mengikat dirinya akan tetap berkuat kuasa juga. 5Tetapi sebaliknya, jika ayahnya mendengar dia bernazar itu lalu melarangnya, maka tidak berkuat kuasalah segala nazar dan ikrar yang mengikat dirinya itu. Tuhan akan mengampuninya, kerana ayahnya telah melarangnya. 6Jika perempuan itu menjadi isteri seseorang ketika dia masih terikat di bawah sesuatu nazar atau kerana tidak berhati-hati dalam mengucapkan sesuatu, 7dan suaminya mendengar tentang hal itu tetapi diam sahaja, maka segala nazarnya akan tetap berkuat kuasa dan segala ikrar yang mengikat dirinya akan tetap berkuat kuasa juga. 8Tetapi sebaliknya, jika pada ketika suaminya mendengar perkara itu lantas melarangnya, maka batallah nazar yang tertanggung ke atas isterinya atau ucapan tidak berhati-hati yang mengikat isterinya itu, dan Tuhan akan mengampuni perempuan itu. 9Apabila nazar diucapkan oleh seorang janda atau seorang perempuan yang telah diceraikan, maka segala sesuatu yang mengikat dirinya akan tetap berkuat kuasa atasnya. 10Jika seorang isteri bernazar di rumah suaminya atau mengikatkan diri pada suatu ikrar dengan bersumpah, 11dan suaminya mendengar hal itu tetapi diam sahaja serta tidak melarangnya, maka segala nazarnya akan tetap berkuat kuasa dan segala ikrar yang mengikat dirinya akan tetap berkuat kuasa juga. 12Tetapi sebaliknya, jika suaminya membatalkan secara tegas ketika didengarnya hal itu, maka segala sesuatu yang diucapkan mulutnya, baik nazar mahupun ikrar yang mengikat dirinya, tidak akan berkuat kuasa. Suaminya telah membatalkannya, dan Tuhan akan mengampuni perempuan itu. 13Setiap nazar atau ikrar sumpah yang diucapkan seorang isteri untuk merendahkan dirinya dengan berpantang boleh disahkan atau dibatalkan oleh suaminya. 14Tetapi jika suaminya hanya diam sahaja dari hari demi hari, maka dengan demikian segala nazar isterinya atau segala ikrar yang tertanggung ke atas isterinya sah berkuat kuasa kerana dengan berdiam diri apabila mendengar hal itu, si suami mengesahkan berkuat kuasanya nazar dan ikrar isterinya. 15Namun begitu, jika pada kemudian hari selepas mendengar hal itu dia membatalkan nazar dan ikrar itu, maka dialah yang perlu menanggung kesalahan isterinya itu." 16Itulah ketetapan-ketetapan yang diperintahkan Tuhan kepada Musa mengenai hubungan antara seorang suami dengan isterinya, serta hubungan antara seorang ayah dengan anak perempuannya ketika anaknya itu masih muda dan masih tinggal di rumah ayahnya.