Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Bilangan 20

A A A
Alkitab Versi Borneo

Orang Israel merungut-rungut lagi

1Sampailah seluruh kalangan umat Israel di Gurun Zin pada bulan pertama, lalu tinggallah umat itu di Kadesh. Di sanalah Miryam meninggal dan dimakamkan.

2APada suatu waktu, tidak ada air bagi umat itu. Maka berhimpunlah mereka menentang Musa dan Harun. 3Bangsa itu berbantah terhadap Musa dan berkata, "Kalau sahaja kami mati ketika saudara-saudara kami itu mati di hadapan Tuhan! 4Mengapakah kamu membawa jemaah Tuhan ke gurun ini? Supaya kami dan ternakan kami mati di sini? 5Mengapa pula kamu memimpin kami keluar dari Mesir dan membawa kami ke tempat buruk ini, yang bukan tempat biji-bijian, bukan tempat pokok ara, pokok anggur, atau pokok delima, bahkan air minum pun tidak ada?" 6Musa dan Harun pergi meninggalkan jemaah itu menuju pintu Khemah Pertemuan, lalu mereka pun bersujud. Kemudian kemuliaan Tuhan tampak di hadapan mereka.

7Firman Tuhan kepada Musa, 8"Ambillah tongkatmu, lalu bersama dengan Harun abangmu kumpulkanlah jemaah itu. Berbicaralah kepada bukit batu itu di hadapan mata mereka agar bukit batu itu mengeluarkan airnya. Begitulah cara kamu mengeluarkan air dari bukit batu itu bagi mereka dan memberikan minum umat itu berserta segala ternakan mereka." 9Musa mengambil tongkat itu dari hadirat Tuhan, seperti yang diperintahkan-Nya kepadanya.

10Kemudian Musa dan Harun mengumpulkan umat itu di depan bukit batu. Kata Musa kepada mereka, "Dengarlah, hai orang derhaka! Apakah kami harus mengeluarkan air bagimu dari bukit batu ini?" 11Lalu Musa mengangkat tangannya dan memukul bukit batu itu dua kali dengan tongkatnya. Maka keluarlah air dengan limpahnya, dan minumlah umat itu berserta ternakan mereka.

12Akan tetapi, Tuhan berfirman kepada Musa dan Harun, "Kerana kamu tidak percaya kepada-Ku dan tidak menyatakan kesucian-Ku di hadapan mata orang Israel, maka kamu tidak akan membawa jemaah ini masuk ke negeri yang akan Kukurniakan kepada mereka."

13Itulah mata air Meriba. Di situlah orang Israel berbantah dengan Tuhan, dan di situ pulalah Dia menyatakan kesucian-Nya dalam kalangan mereka.

Penolakan orang Edom (bani Esau)

14Musa mengirim beberapa utusan dari Kadesh kepada raja Edom dengan pesan, "Beginilah kata saudaramu Israel, 'Kamu tahu segala kesusahan yang telah menimpa kami. 15Nenek moyang kami dahulu pergi ke Mesir dan kami tinggal lama sekali di Mesir. Akan tetapi kemudian orang Mesir memperlakukan kami dan nenek moyang kami dengan jahat. 16Kami berseru kepada Tuhan, lalu Dia mendengar suara kami dan mengutus malaikat untuk membawa kami keluar dari Mesir. Sekarang ini kami berada di Kadesh, sebuah kota di tepi perbatasanmu. 17Izinkanlah kami melalui negerimu. Kami tidak akan lalu di ladang atau kebun anggurmu dan kami pun tidak akan minum air perigimu. Kami akan berjalan di jalan raya raja sahaja tanpa menyimpang ke kanan atau ke kiri, sehingga kami melalui perbatasanmu.' "

18Tetapi kata orang Edom kepada mereka, "Kamu tidak boleh lalu di daerah kami! Jangan sampai kami keluar menghadapi kamu dengan pedang!"

19Kata orang Israel kepada mereka, "Kami hanya akan berjalan melalui jalan raya. Kalaupun kami dan ternakan kami meminum airmu, kami akan membayarnya. Hanya, izinkanlah kami melaluinya dengan berjalan kaki. Tidak ada permintaan lain lagi daripada kami."

20Tetapi jawab mereka, "Kamu tidak boleh melalui jalan raya itu." Lalu orang Edom keluar menghadapi mereka dengan rakyat yang ramai dan dengan pasukan yang kuat. 21Kerana orang Edom menolak dan tidak mengizinkan orang Israel lalu di daerahnya, maka berbaliklah orang Israel meninggalkan mereka.

Kematian Harun

22Setelah seluruh kalangan umat Israel berangkat dari Kadesh, sampailah mereka di Gunung Hor. 23Kemudian di Gunung Hor itu, di perbatasan Tanah Edom, Tuhan berfirman kepada Musa dan Harun, 24"Harun akan dikumpulkan bersama-sama kaum leluhurnya. Dia tidak akan masuk ke negeri yang Kukurniakan kepada orang Israel, kerana kamu berdua telah menderhaka terhadap firman-Ku di mata air Meriba. 25Panggillah Harun dan Eleazar, anaknya, dan bawalah mereka naik ke Gunung Hor. 26Kemudian tanggalkanlah pakaian Harun dan kenakanlah pada Eleazar, anaknya, kerana Harun akan dikumpulkan bersama-sama kaum leluhurnya. Dia akan mati di sana." 27Musa melakukan seperti yang diperintahkan Tuhan. Mereka naik ke Gunung Hor di hadapan mata seluruh umat itu. 28BDi sana Musa menanggalkan pakaian Harun dan mengenakannya kepada Eleazar, anaknya. Kemudian wafatlah Harun di sana, di puncak gunung itu. Setelah itu, Musa dan Eleazar turun dari gunung itu. 29Ketika seluruh umat itu tahu bahawa Harun telah meninggal, maka seluruh keturunan kaum Israel meratap untuk Harun itu selama tiga puluh hari.