Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Bilangan 18

A A A
Alkitab Versi Borneo

Kewajipan para imam

1Tuhan berfirman kepada Harun, "Kamu, anak-anakmu, dan kaum keluargamu harus menanggung akibat daripada kesalahan terhadap tempat suci. Akan tetapi, hanya kamu dan anak-anakmulah yang harus menanggung kesalahan yang dilakukan dalam keimamanmu. 2Suruhlah juga saudara-saudaramu suku Lewi, iaitu suku bapa leluhurmu, datang bergabung denganmu dan melayani kamu sewaktu kamu dan anak-anakmu berada di depan khemah kesaksian. 3Hendaklah mereka bertanggungjawab kepadamu serta melaksanakan seluruh pekerjaan dalam Khemah kecuali mereka tidak boleh mendekati kelengkapan-kelengkapan tempat suci atau mazbah, supaya jangan mereka ataupun kamu mati. 4Hendaklah mereka menyertai kamu dan bertanggungjawab ke atas pemeliharaan Khemah Pertemuan, serta melakukan semua pekerjaan dalam Khemah itu. Jangan ada orang awam yang datang dekat kepadamu. 5Hendaklah kamu bertanggungjawab ke atas tempat suci dan mazbah, supaya tidak ada lagi murka terhadap orang Israel. 6Sesungguhnya, Aku telah memilih saudara-saudaramu bani Lewi daripada kalangan orang Israel sebagai pemberian untukmu. Mereka telah diserahkan kepada Tuhan untuk melaksanakan pekerjaan di Khemah Pertemuan. 7Tetapi hendaklah kamu dan anak-anakmu memegang jawatan imam dalam segala hal yang berkaitan dengan mazbah serta apa yang ada di balik tabir. Lakukanlah pekerjaan itu. Jawatan imam Kukurniakan kepadamu sebagai suatu pemberian; hendaklah orang awam yang berani mendekati Khemah itu dihukum mati."

8Firman Tuhan lagi kepada Harun, "Sesungguhnya, Aku telah memberikan kepadamu tanggungjawab untuk menguruskan persembahan khusus bagi-Ku, iaitu segala sesuatu yang disucikan oleh orang Israel. Semua itu Kukurniakan kepadamu dan kepada anak-anakmu sebagai peruntukan tetap untuk selama-lamanya. 9Itulah bahagianmu daripada persembahan teramat suci yang tidak harus dibakar, setiap persembahan mereka, iaitu persembahan bahan makanan, korban penghapus dosa, dan korban penebus kesalahan yang diserahkan mereka kepada-Ku. Itulah bahagian teramat suci yang diperuntukkan bagimu dan bagi anak-anakmu. 10Makanlah itu sebagai bahagian yang teramat suci. Semua lelaki boleh memakannya, dan bahagian itu harus kaupandang suci.

11Persembahan khusus daripada pemberian mereka, iaitu segala persembahan unjukan orang Israel, juga menjadi bahagianmu. Aku mengurniakannya kepadamu dan kepada anak-anakmu, baik lelaki mahupun perempuan, sebagai peruntukan tetap untuk selama-lamanya. Sesiapa yang suci dalam keluargamu boleh memakannya.

12Segala yang terbaik daripada minyak zaitun, air anggur, dan gandum yang dipersembahkan mereka sebagai hasil pertama kepada Tuhan, juga Kukurniakan kepadamu. 13Hasil pertama daripada semua yang ada di tanah mereka dan yang dipersembahkan mereka kepada Tuhan, juga menjadi bahagianmu. Sesiapa yang suci dalam keluargamu boleh memakannya.

14ASemua yang diwakafkan dalam kalangan orang Israel ialah bahagianmu.

15Demikian jugalah semua yang lahir pertama dari segala yang bernyawa, baik manusia mahupun haiwan, yang dipersembahkan mereka kepada Tuhan, menjadi bahagianmu. Hanya, hendaklah kamu menebus anak sulung manusia serta anak sulung haiwan yang najis. 16Semua itu harus kamu tebus sejak umurnya satu bulan bersamaan dengan nilai lima syikal wang perak menurut syikal rasmi Khemah Suci, iaitu seberat dua puluh gera.i 17Namun demikian, anak lembu, anak domba, atau anak kambing yang sulung tidak boleh kamu tebus, kerana semua itu suci. Percikkanlah darahnya ke mazbah dan bakarlah lemaknya sebagai korban bakaran, yang keharumannya diredai Tuhan. 18Dagingnya menjadi bahagianmu, sama seperti dada persembahan unjukan dan paha kanan yang juga menjadi bahagianmu.

19Segala persembahan khusus daripada barang-barang suci yang dipersembahkan orang Israel kepada Tuhan, Kukurniakan kepadamu dan kepada anak-anakmu baik lelaki mahupun perempuan sebagai peruntukan tetap untuk selama-lamanya. Itu ialah suatu perjanjian garam untuk selama-lamanya di hadapan Tuhan bagimu dan bagi keturunanmu."

20Tuhan berfirman kepada Harun, "Kamu tidak akan mendapat harta pusaka di negeri mereka dan tidak akan mendapat bahagian dalam kalangan mereka. Akulah bahagianmu dan harta pusaka milikmu dalam kalangan orang Israel.

21BBagi bani Lewi sesungguhnya telah Kukurniakan semua persembahan sepersepuluh di Israel menjadi harta pusaka mereka sebagai imbalan atas pekerjaan yang dilaksanakan mereka di Khemah Pertemuan. 22Mulai sekarang, jangan lagi orang Israel mendekati Khemah Pertemuan, supaya jangan mereka tanggung dosa lalu mati. 23Bani Lewi sahajalah yang harus melaksanakan pekerjaan di Khemah Pertemuan, dan merekalah yang harus menanggung akibat daripada kesalahan terhadap Khemah itu. Itulah suatu ketetapan yang berkuat kuasa untuk selama-lamanya bagimu turun-temurun. Mereka tidak akan mendapat harta pusaka dalam kalangan orang Israel, 24kerana persembahan sepersepuluh orang Israel yang diserahkan sebagai persembahan khusus kepada Tuhan telah Kukurniakan kepada bani Lewi menjadi harta pusaka mereka. Itulah sebabnya tentang mereka Aku berfirman bahawa mereka tidak akan mendapat harta pusaka dalam kalangan orang Israel."

25Tuhan berfirman kepada Musa, 26"Apatah lagi, hendaklah kamu berbicara kepada bani Lewi dan katakan kepada mereka, 'Apabila kamu menerima persembahan sepersepuluh daripada orang Israel, yang Kukurniakan kepadamu menjadi harta pusakamu, maka kamu pun harus mempersembahkan sepersepuluh daripada persembahan itu sebagai persembahan khusus kepada Tuhan. 27Persembahan khususmu itu akan dianggap sama dengan gandum dari tempat pembantingan serta hasil dari tempat pemerasan anggur. 28Dengan cara itu kamu pun mempersembahkan persembahan khusus kepada Tuhan daripada segala persembahan sepersepuluh yang kamu terima daripada orang Israel. Serahkanlah persembahan khusus itu kepada Imam Harun, 29dan persembahkanlah yang terbaik daripada semuanya, iaitu bahagian sucinya, daripada semua yang diberikan kepada Tuhan.' 30Oleh itu, katakanlah juga kepada mereka, 'Pada waktu kamu mempersembahkan yang terbaik daripadanya, maka bagi bani Lewi hal itu akan dianggap sama dengan hasil tempat pembantingan dan hasil tempat pemerasan anggur. 31Kamu ataupun keluargamu boleh memakannya di mana sahaja sebagai upahmu, sebagai imbalan atas pekerjaanmu di Khemah Pertemuan. 32Kamu tidak akan menanggung dosa kerananya apabila kamu telah mempersembahkan yang terbaik daripadanya. Jangan najiskan persembahan-persembahan suci orang Israel, supaya jangan kamu mati.' '