Alkitab Versi Borneo |
Pemberontakan orang Israel 1Maka berteriaklah seluruh umat dengan suara yang nyaring, dan pada malam itu umat itu menangis. 2Seluruh orang Israel, iaitu seluruh umat itu, bersungut-sungut terhadap Musa dan Harun lalu berkata kepada mereka, "Kalau sahaja kami mati di Tanah Mesir! Kalau sahaja kami mati di gurun ini! 3Mengapakah Tuhan membawa kami ke negeri ini? Supaya kami tewas oleh pedang, dan isteri serta anak-anak kami menjadi tawanan? Bukankah lebih baik kami pulang ke Mesir?" 4Kemudian mereka pun berkata antara satu sama lain, "Ayuh kita angkat seorang pemimpin lalu pulang ke Mesir!" 5Lalu Musa dan Harun menyembamkan muka mereka ke bumi di depan seluruh kalangan umat Israel yang berkumpul di sana. 6Yosua anak Nun dan Kaleb anak Yefune, yang termasuk antara orang yang mengintip negeri itu, mengoyakkan pakaian mereka sendiri 7dan berkata kepada seluruh kalangan umat Israel, "Tersangat baiknya negeri yang kami lalui untuk diintai itu. 8Jika Tuhan berkenan kepada kita, tentu Dia akan membawa kita masuk ke negeri itu serta mengurniai kita sebuah negeri yang berlimpah-limpah susu dan madu. 9AHanya, janganlah derhaka terhadap Tuhan dan janganlah kamu takut kepada rakyat negeri itu, kerana mereka itu betapa mudah kita gempurkan. Pelindung mereka sudah meninggalkan mereka, sedangkan Tuhan menyertai kita. Jadi, jangan takut kepada mereka." 10Tetapi seluruh umat itu mengancam akan merejam kedua-duanya dengan batu. Lalu tampaklah kemuliaan Tuhan di Khemah Pertemuan, di hadapan seluruh orang Israel. 11Firman Tuhan kepada Musa, "Berapa lama lagi bangsa ini menista Aku? Berapa lama lagi mereka tidak mahu percaya kepada-Ku, padahal segala tanda ajaib sudah Kulakukan dalam kalangan mereka? 12Aku akan mengazabkan mereka dengan wabak penyakit dan melenyapkan mereka, tetapi kamu akan Kubuat untuk menjadi bangsa yang lebih besar dan lebih kuat daripada mereka." 13BKata Musa kepada Tuhan, "Jika hal itu didengar orang Mesir, padahal dengan kuasa-Mu telah Kaubawa bangsa ini keluar daripada kalangan mereka, 14maka tentunya mereka akan menceritakan hal itu kepada penduduk negeri ini. Penduduk negeri ini telah mendengar bahawa Engkau, ya Tuhan, hadir di tengah-tengah bangsa ini, kerana Engkau, ya Tuhan, tampak nyata di hadapan mereka melalui awan-Mu yang berdiri di atas mereka. Dalam tiang awan Engkau memimpin mereka pada siang hari dan dalam tiang api pada malam hari. 15Jika Engkau melenyapkan seluruh bangsa ini, maka bangsa-bangsa yang telah mendengar khabar kemasyhuran tentang-Mu akan berkata, 16'Kerana Tuhan tidak sanggup membawa bangsa ini masuk ke negeri yang dijanjikan-Nya dengan bersumpah kepada mereka, maka Dia membunuh mereka di gurun.' 17Jadi, sekarang agungkanlah kuasa Tuhan seperti yang telah Kaufirmankan, 18C'Tuhan itu panjang sabar dan kasih setia-Nya berlimpah-limpah. Dia mengampunkan kesalahan serta pelanggaran, meski sekali-kali tidak membebaskan orang yang bersalah daripada hukuman, dan membalas kesalahan ayah kepada anak-anaknya, kepada keturunan yang ketiga dan yang keempat.' 19Semoga Engkau ampun kesalahan bangsa ini selaras dengan kasih-Mu yang besar, sebagaimana Engkau telah mengampuni bangsa ini sejak dari Mesir lagi sampai sekarang ini." 20Firman Tuhan, "Aku telah mengampuni mereka sebagaimana permintaanmu itu. 21DNamun demikian, demi Aku yang hidup dan demi kemuliaan Tuhan yang memenuhi seluruh bumi, 22sesungguhnya semua orang yang telah melihat kemuliaan-Ku dan tanda-tanda ajaib yang Kuadakan di Mesir serta di gurun tetapi masih juga menguji Aku sampai sepuluh kali dan tidak mahu mematuhi-Ku, 23sekali-kali tidak akan melihat negeri yang Kujanjikan dengan bersumpah kepada nenek moyang mereka! Semua yang menista Aku tidak akan melihat negeri itu. 24ETetapi hamba-Ku Kaleb, kerana jiwa lain yang ada padanya dan dia mengikut Aku sepenuhnya, maka akan Kubawa dia masuk ke negeri yang telah dimasukinya itu, dan keturunannya akan memilikinya. 25Orang Amalek dan orang Kanaan tinggal di lembah-lembah. Oleh sebab itu berbaliklah esok dan berangkatlah ke gurun melalui jalan menuju ke Laut Merah." 26Tuhan berfirman lagi kepada Musa dan Harun, 27"Berapa lama lagi umat yang jahat ini akan bersungut-sungut terhadap Aku? Telah Kudengar pelbagai sungutan yang dilontarkan orang Israel kepada-Ku. 28Katakanlah kepada mereka, 'Demi Aku yang hidup, demikianlah firman Tuhan, sesungguhnya seperti yang kamu ucapkan di hadirat-Ku, begitulah akan Kulakukan terhadapmu. 29FDi gurun ini akan bergelimpangan mayat-mayatmu, iaitu semua orang berumur dua puluh tahun ke atas yang telah dihitung dan yang bersungut-sungut terhadap-Ku. 30Tiada seorang pun daripada kamu akan masuk ke negeri yang telah Kujanjikan dengan bersumpah untuk kamu diami, kecuali Kaleb anak Yefune dan Yosua anak Nun. 31Anak-anakmulah, yang kamu katakan akan menjadi tawanan, yang akan Kubawa masuk. Mereka akan menikmati negeri yang kamu tolak itu. 32Akan tetapi bagi kamu, mayat-mayatmu akan bergelimpangan di gurun ini. 33GAnak-anakmu akan menjadi gembala di gurun empat puluh tahun lamanya dan akan menanggung kesalahan akibat kekufuran kamu, sampai mayat-mayatmu habis di gurun. 34Selaras dengan jumlah hari kamu mengintip negeri itu, iaitu empat puluh hari, demikianlah empat puluh tahun lamanya kamu akan menanggung kesalahanmu itu, satu tahun dihitung menggantikan satu hari. Kamu akan tahu bagaimana rasanya jika Aku menentang kamu. 35Aku, Tuhan, telah berfirman. Sesungguhnya, hal itu akan Kulakukan terhadap seluruh umat yang jahat ini, yang telah bermuafakat untuk melawan Aku. Di gurun ini mereka akan habis, dan di sini juga mereka akan mati.' " 36Orang yang telah diutus Musa mengintip negeri itu namun kembali dengan menyampaikan laporan buruk mengenai negeri itu sehingga seluruh umat bersungut-sungut kepada Musa, 37mati terkena wabak di hadapan Tuhan. 38Daripada mereka yang pergi mengintip negeri itu hanya Yosua anak Nun dan Kaleb anak Yefune yang terus hidup. 39Ketika Musa menyampaikan firman ini kepada seluruh orang Israel, amat berdukalah umat itu. 40Mereka bangun pagi-pagi hendak naik ke puncak gunung, dan berkata, "Memang kami telah berdosa. Sekarang kami hendak maju ke tempat yang difirmankan Tuhan." 41Tetapi kata Musa, "Mengapakah kamu mahu melanggar firman Tuhan? Kamu tidak akan berhasil! 42Jangan maju, kerana Tuhan tidak menyertaimu. Jangan sampai kamu dikalahkan musuhmu, 43kerana orang Amalek dan bani Kanaan ada di sana, di depanmu. Kamu akan tewas oleh pedang. Kerana kamu telah berpaling daripada Tuhan, maka Tuhan tidak mahu menyertai kamu." 44Meskipun begitu, mereka tetap bertekad untuk naik ke puncak gunung itu, padahal tabut perjanjian Tuhan dan juga Musa tidak berganjak dari tengah-tengah perkhemahan. 45Maka orang Amalek dan bani Kanaan yang tinggal di pergunungan itu turun menyerbu mereka dan mengejar mereka sampai ke Horma.