Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Nehemia 13

A A A
Alkitab Versi Borneo

Kegigihan Nehemia

1APada hari itu kitab Musa dibaca di hadapan umat yang mendengarkannya. Kemudian didapati tertulis di dalamnya bahawa tiada bani Amon atau bani Moab yang boleh masuk menyertai jemaah Allah untuk selama-lamanya, 2Batas sebab dahulunya mereka tidak menyambut orang Israel dengan roti dan air minum, tetapi mengupah Bileam untuk mengutuk orang Israel. Namun begitu, Allah kami mengubah kutukan itu untuk menjadi berkat. 3Apabila rakyat mendengar hukum Taurat itu, mereka memisahkan semua orang peranakan daripada kalangan orang Israel.

4Sebelum itu Imam Elyasib yang ada hubungan kekeluargaan dengan Tobia dilantik untuk mengawasi bilik-bilik Bait Allah kami. 5Disediakannya sebuah bilik yang besar untuk Tobia, padahal bilik itu sebelumnya tempat penyimpanan bagi persembahan bahan makanan, kemenyan, segala wadah berserta persembahan sepersepuluh berupa gandum, air anggur, juga minyak yang ditetapkan bagi bani Lewi, para penyanyi serta penjaga pintu gerbang. Persembahan khusus bagi para imam pun ditempatkan di dalam bilik itu. 6Ketika semua itu terjadi, aku tidak ada di Yerusalem, kerana pada tahun ketiga puluh dua pemerintahan Artahsasta, raja Babel, aku pergi menghadap raja. Setelah beberapa waktu, aku mohon izin daripada raja 7untuk kembali ke Yerusalem. Kemudian barulah kuketahui kemungkaran yang dilakukan Elyasib demi Tobia, iaitu menyediakan sebuah bilik baginya di laman luar Rumah Allah. 8Aku menjadi sangat kesal lagi marah, lalu kuhumban keluar semua perabot rumah Tobia dari bilik itu. 9Kusuruh orang menyucikan bilik-bilik itu, lalu kubawa kembali ke sana segala alat kelengkapan Rumah Allah dengan persembahan bahan makanan dan kemenyan.

10CKuketahui pula bahawa sumbangan untuk bani Lewi tidak diberikan sehingga mereka serta para penyanyi yang seharusnya melaksanakan tugas mereka telah kembali ke ladang masing-masing. 11Maka berbantahlah aku dengan para pemimpin, kataku, "Mengapakah Rumah Allah diabaikan?" Lalu kukumpulkan semua orang yang berkenaan itu dan kukembalikan ke tempat masing-masing. 12DSetelah itu, semua orang Yehuda membawa lagi persembahan sepersepuluh berupa gandum, air anggur, dan minyak ke dalam perbendaharaan. 13Aku mengangkat bendahara untuk mengawasi perbendaharaan, iaitu Imam Selemya dan Zadok, ahli Kitab Suci Taurat itu, serta Pedaya, seorang Lewi, sedangkan Hanan anak Zakur anak Matanya menjadi pembantu mereka kerana mereka itu dianggap sebagai boleh dipercayai dan mereka bertugas mengurus pembahagian untuk saudara-saudara mereka.

14Ya Allahku, ingatlah aku kerana hal ini. Janganlah hapuskan segala perbuatan baik yang telah kulakukan demi bait Allahku dan segala kewajipan di dalamnya.

15EPada waktu itu kulihat di Tanah Yehuda beberapa orang mengirik di tempat pemerasan anggur mereka pada hari Sabat, sementara beberapa orang mengumpulkan berkas gandum dan memuatnya di atas keldai, begitu juga air anggur, buah anggur, buah ara, dan pelbagai muatan. Semua itu dibawa mereka masuk ke Yerusalem pada hari Sabat. Aku memberikan amaran kepada mereka pada waktu mereka menjual semua bahan itu. 16Demikian jugalah orang Tirus yang tinggal di situ membawa ikan dan segala jenis barang dagangan. Mereka menjualnya pada hari Sabat kepada bani Yehuda, malahan di Yerusalem juga. 17Maka aku berbantah dengan para bangsawan Yehuda dan berkata kepada mereka, "Hal mungkar apakah yang kamu lakukan ini? Kamu menajiskan hari Sabat! 18Bukankah begitu juga dibuat oleh nenek moyangmu sehingga Allah kita mendatangkan segala malapetaka ini atas kita dan atas kota ini? Tetapi kamu mendatangkan murka yang lebih lagi atas Israel dengan menajiskan hari Sabat."

19Apabila menjelang hari Sabat dan gelap mula berbayang pada pintu-pintu gerbang Yerusalem, aku memerintahkan agar pintu-pintu itu ditutup dan tidak dibuka sehingga berlalunya Sabat. Kemudian kutempatkan beberapa orang anak buahku di pintu-pintu gerbang supaya jangan ada muatan yang masuk pada hari Sabat. 20Tetapi sekali atau dua kali, para pedagang dan penjual segala jenis barang dagangan bermalam di luar Yerusalem. 21Lalu aku mengingatkan mereka, kataku, "Mengapa kamu bermalam di depan tembok? Kalau kamu berbuat begitu sekali lagi, aku akan mengambil tindakan terhadap kamu." Sejak masa itu mereka tidak datang lagi pada hari Sabat. 22Kemudian kusuruh bani Lewi menyucikan diri lalu pergi menjaga pintu-pintu gerbang supaya hari Sabat disucikan.

Ya Allahku, ingatlah aku kerana hal ini juga. Sayangilah aku menurut kasih abadi-Mu yang berlimpah ruah.

23FPada waktu itu juga kulihat beberapa orang Yahudi telah memperisteri perempuan bangsa Asdod, Amon, dan Moab. 24Sesetengah anak mereka berbicara dalam bahasa Asdod. Mereka tidak boleh berbicara dalam bahasa Yehuda, hanya bahasa bangsa-bangsa tadi. 25Maka berbantahlah aku dengan mereka. Kukutuk mereka, kupukul beberapa orang daripada mereka, kucabut rambut mereka, dan kusuruh mereka bersumpah demi Allah, kataku, "Jangan berikan anak-anak perempuanmu kepada anak-anak lelaki mereka dan jangan ambil anak-anak perempuan mereka untuk menjadi isteri bagi anak-anak lelakimu atau bagi dirimu sendiri. 26HBukankah kerana hal itu Salomo, raja Israel, telah berdosa? Padahal antara banyak bangsa tidak ada raja sepertinya. Dia dikasihi Allahnya dan Allah mengangkatnya menjadi raja atas seluruh Israel. Namun demikian, dia terjerumus ke dalam dosa atas sebab para perempuan asing. 27Haruskah kami mendengar bahawa kamu juga melakukan segala kejahatan yang besar itu dan berbuat mungkar terhadap Allah kita dengan memperisteri perempuan-perempuan asing?"

28ISalah seorang anak Imam Besar Yoyada anak Elyasib menjadi menantu Sanbalat, si bani Horon itu. Lantas kuusir dia dari hadapanku.

29Ya Allahku, ingatlah mereka, kerana mereka mencemari jawatan imam serta perjanjian tentang keimaman dan bani Lewi.

30Demikianlah kusucikan mereka daripada semua yang asing dan kutetapkan tugas-tugas para imam serta bani Lewi dalam pekerjaan masing-masing. 31Kutetapkan juga cara penyediaan persembahan kayu api pada waktu-waktu tertentu dan juga persembahan hasil-hasil pertama.

Ya Allahku, ingatlah aku demi kesejahteraanku.