Alkitab Versi Borneo |
Hari penebusan 1Berfirmanlah Tuhan kepada Musa selepas kematian kedua-dua anak Harun ketika mereka mendekat ke hadapan Tuhan. 2ADemikianlah firman Tuhan kepada Musa, "Beritahu abangmu Harun agar jangan masuk pada sembarangan waktu ke dalam Tempat Suci di sebalik tabir, di hadapan penutup pendamaian yang ada di atas tabut, supaya jangan dia mati, kerana Aku menampakkan diri dalam awan di atas penutup pendamaian itu. 3BBeginilah cara bagaimana Harun harus masuk ke dalam Tempat Suci: hendaklah dia membawa seekor lembu jantan muda sebagai korban penghapus dosa, dan seekor domba jantan sebagai korban bakaran. 4Hendaklah dia mengenakan tunik linen yang suci, menutupi auratnya dengan seluar pendek linen dan selempang linen membaluti dirinya serta dengan memakai serban linen. Itulah seperanggu pakaian suci yang perlu dipakainya. Sebelum mengenakan kesemua itu hendaklah dia memandikan tubuhnya dengan air. 5Hendaklah dia mengambil dua ekor kambing jantan daripada jemaah Israel sebagai korban penghapus dosa dan seekor domba jantan sebagai korban bakaran. 6Hendaklah Harun mempersembahkan lembu jantan bagi dirinya sendiri untuk dijadikan korban penghapus dosa, untuk mengadakan pendamaian demi dirinya serta demi keluarganya. 7Setelah itu, hendaklah dia mengambil kedua-dua ekor kambing jantan tadi lalu menempatkannya di hadapan Tuhan, di depan pintu Khemah Pertemuan. 8Hendaklah Harun mencabut undi atas kedua-dua ekor kambing jantan itu, satu undi bagi Tuhan dan satu undi lagi bagi Azazel 9maka hendaklah Harun mempersembahkan kambing jantan yang terundi untuk Tuhan dan menyediakannya sebagai korban penghapus dosa. 10Akan tetapi, kambing jantan yang terundi bagi Azazel hendaklah ditempatkan hidup-hidup di hadapan Tuhan untuk upacara pendamaian, lalu dilepaskan ke gurun untuk Azazel. 11Untuk dirinya, hendaklah Harun mempersembahkan lembu jantan yang akan dijadikan korban penghapus dosa, untuk kemudian mengadakan pendamaian bagi dirinya serta demi keluarganya. Hendaklah lembu jantan itu disembelihnya sebagai korban penghapus dosa bagi dirinya. 12Hendaklah dia mengambil pendupaan yang dipenuhi bara api daripada mazbah di hadapan Tuhan serta segenggam penuh dupa harum yang ditumbuk halus, lalu membawanya masuk ke balik tabir. 13Dupa itu hendaklah diletakkannya di atas api di hadapan Tuhan, sehingga asap dupa itu menyelubungi penutup pendamaian yang ada di atas tabut loh hukum supaya dia tidak mati. 14Hendaklah dia mengambil sebahagian daripada darah lembu jantan itu lalu memercikkannya dengan jarinya ke atas penutup pendamaian itu di sebelah timur dan sebahagian lagi daripada darah itu dipercikkannya di bahagian depan penutup pendamaian itu sebanyak tujuh kali dengan jarinya. 15CSelanjutnya, hendaklah dia menyembelih kambing jantan yang dijadikan korban penghapus dosa bagi umat, lalu membawa darahnya masuk ke balik tabir. Hendaklah darah itu diperlakukan sebagaimana yang dibuat pada darah lembu jantan tadi, iaitu memercikkannya ke sebelah atas serta ke sebelah depan penutup pendamaian. 16Hendaklah dia mengadakan pendamaian demi Tempat Suci atas sebab kenajisan orang Israel dan kerana segala pelanggaran mereka yang berkaitan, apa-apa pun dosa mereka. Demikianlah harus diperlakukannya ke atas Khemah Pertemuan yang ada bersama-sama mereka di tengah-tengah kenajisan mereka. 17Tiada seorang pun boleh berada dalam Khemah Pertemuan ketika Harun masuk untuk mengadakan pendamaian di Tempat Suci, sampai dia keluar sesudah selesai mengadakan pendamaian demi dirinya, demi keluarganya, dan demi seluruh kalangan umat Israel. 18Kemudian hendaklah dia keluar menuju mazbah yang ada di hadapan Tuhan, lalu mengadakan pendamaian demi mazbah itu. Hendaklah dia mengambil sebahagian daripada darah lembu jantan dan daripada darah kambing jantan itu, lalu membubuhnya pada tanduk-tanduk di sekeliling mazbah. 19Sebahagian daripada darah itu hendaklah dipercikkannya sebanyak tujuh kali dengan jarinya ke mazbah. Demikianlah cara mazbah disucikan daripada kenajisan orang Israel. 20Setelah selesai mengadakan pendamaian demi Tempat Suci, demi Khemah Pertemuan, dan demi mazbah, hendaklah Harun mempersembahkan kambing jantan yang hidup. 21Hendaklah Harun meletakkan kedua-dua tangannya di atas kepala kambing jantan yang hidup itu dan mengakui di atasnya segala kesalahan orang Israel serta segala pelanggaran mereka, atas apa sahaja jenis dosa mereka. Hendaklah kesemuanya ditanggungkannya ke atas kepala kambing jantan itu, lalu kambing itu dilepaskan ke gurun dengan perantaraan seorang yang sudah disiapkan untuk tugas tersebut. 22Kambing jantan itu akan memikul segala kesalahan mereka ke tanah yang sunyi, dan kambing jantan itu harus dilepaskan di gurun. 23DKemudian, hendaklah Harun masuk ke dalam Khemah Pertemuan, menanggalkan pakaian linen yang dikenakannya sewaktu dia masuk ke dalam Tempat Suci sebelumnya, lalu meninggalkannya di situ. 24Hendaklah dia membasuh tubuhnya dengan air di tempat yang suci dan mengenakan pakaiannya sendiri. Setelah itu, hendaklah dia keluar dan mempersembahkan korban bakaran bagi dirinya serta korban bakaran umat, lalu mengadakan pendamaian demi dirinya dan demi umat. 25Hendaklah lemak korban penghapus dosa itu dibakarnya di atas mazbah. 26Sementara itu, hendaklah orang yang melepaskan kambing jantan bagi Azazel tadi mencuci pakaiannya dan membasuh tubuhnya dengan air. Sesudah itu barulah dia boleh masuk ke perkhemahan. 27ELembu jantan dan kambing jantan korban penghapus dosa, yang darahnya telah dibawa masuk ke dalam Tempat Suci untuk upacara pendamaian itu hendaklah dibawa ke luar perkhemahan. Hendaklah kulitnya, dagingnya, dan kotorannya dibakar habis. 28Orang yang membakar kesemua itu hendaklah mencuci pakaiannya dan membasuh tubuhnya dengan air. Sesudah itu barulah dia boleh masuk ke perkhemahan. 29FHendaklah hal ini menjadi peraturan tetap seterusnya bagi kamu, iaitu bahawa pada hari kesepuluh pada bulan ketujuh, hendaklah kamu merendahkan diri dengan berpantang dan tidak melakukan sebarang pekerjaan pun, baik warga asli mahupun pendatang asing yang menghuni di tengah-tengah kalangan kamu, 30kerana pada hari itu akan diadakan pendamaian bagi kamu, untuk menyucikan kamu. Kamu akan disucikan di hadapan Tuhan daripada segala dosamu. 31Hari itu hari Sabat bagi istirahat sepenuhnya bagimu, dan hendaklah kamu merendahkan diri dengan berpantang. Itu ialah ketetapan yang berkuat kuasa untuk seterusnya. 32Hendaklah imam yang mengadakan pendamaian itu diurapi dan ditahbiskan untuk menjalankan tugas-tugas imam bagi menggantikan ayahnya. Dengan mengenakan pakaian linen, iaitu pakaian suci, 33hendaklah dia mengadakan pendamaian demi Tempat Yang Maha Suci, demi Khemah Pertemuan, demi mazbah, demi para imam, dan demi seluruh umat, iaitu kesemua anggota jemaah. 34Hendaklah hal ini menjadi ketetapan untuk seterusnya bagi kamu, iaitu bahawa setahun sekali hendaklah diadakan pendamaian demi orang Israel atas segala dosa mereka." Maka seperti yang diperintahkan oleh Tuhan kepada Musa, itulah yang dilakukan Harun.