Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Imamat 15

A A A
Alkitab Versi Borneo

Lelehan tubuh lelaki

1Tuhan berfirman kepada Musa dan Harun, 2"Beritahu orang Israel, 'Apabila seseorang lelaki mengeluarkan lelehan daripada tubuhnya, maka lelehan itu najis. 3Lelehan itu najis sama ada alirnya berterusan atau telah berhenti, dia tetap najis. 4Setiap tempat tidur orang yang mengeluarkan lelehan itu menjadi najis dan setiap barang yang didudukinya juga menjadi najis. 5Hendaklah sesiapa sahaja yang menyentuh tempat tidur orang itu mencuci pakaiannya, membasuh dirinya dengan air, dan dia menjadi najis sampai waktu maghrib. 6Sesiapa sahaja yang duduk di tempat yang telah diduduki orang itu hendaklah mencuci pakaiannya, membasuh dirinya dengan air, dan dia menjadi najis sampai waktu maghrib. 7Hendaklah sesiapa yang menyentuh tubuh orang itu juga mencuci pakaiannya, membasuh dirinya dengan air, dan dia menjadi najis sampai waktu maghrib. 8Jika orang yang mengeluarkan lelehan itu meludahi orang yang suci, maka orang yang diludahi itu harus mencuci pakaiannya, membasuh dirinya dengan air, dan dia menjadi najis sampai waktu maghrib. 9Najis jugalah setiap pelana yang ditunggangi orang yang mengeluarkan lelehan itu. 10Maka sesiapa menyentuh barang yang pernah ada di bawah orang itu menjadi najis sampai waktu maghrib, dan sesiapa yang mengangkatnya harus mencuci pakaiannya, membasuh dirinya dengan air, lalu dia menjadi najis sampai waktu maghrib. 11Jika orang yang mengeluarkan lelehan itu menyentuh orang lain tanpa terlebih dahulu mencuci tangannya dengan air, maka orang yang disentuh itu harus mencuci pakaiannya, membasuh dirinya dengan air, dan dia menjadi najis sampai waktu maghrib. 12Bahkan jika orang yang mengeluarkan lelehan itu menyentuh belanga tanah, maka belanga itu harus dipecahkan, jika disentuhnya mana-mana perkakas kayu, hendaklah perkakas itu dicuci dengan air.

Peraturan Kesucian bagi lelehan tubuh lelaki

13Apabila orang itu sudah suci daripada lelehannya, maka hendaklah dia melalui tujuh hari untuk penyuciannya. Hendaklah dia mencuci pakaiannya, membasuh tubuhnya dengan air segar, dan dia pun menjadi suci. 14Pada hari kelapan hendaklah dia mengambil dua ekor burung tekukur atau dua ekor anak burung merpati lalu datang ke pintu Khemah Pertemuan, ke hadapan Tuhan, dan menyerahkan burung-burung itu kepada imam. 15Hendaklah imam mempersembahkannya, seekor sebagai korban penghapus dosa, dan yang seekor lagi sebagai korban bakaran. Hendaklah imam mengadakan pendamaian demi orang itu di hadapan Tuhan kerana lelehannya itu.

16Jika seorang lelaki mengeluarkan maninya, hendaklah dia membasuh sekujur tubuhnya dengan air, dan dia menjadi najis sampai waktu maghrib. 17Setiap pakaian dan setiap benda daripada kulit yang terkena mani itu harus dicuci dengan air dan menjadi najis sampai waktu maghrib. 18Demikian pula jika seorang lelaki tidur dengan seorang perempuan lalu lelaki itu mengeluarkan maninya, maka kedua-duanya harus membasuh diri dengan air dan mereka menjadi najis sampai waktu maghrib.

Lelehan daripada tubuh perempuan

19Jika seorang perempuan mengeluarkan lelehan darah daripada tubuhnya, maka dia dalam keadaan haid selama tujuh hari dan sesiapa pun yang menyentuhnya menjadi najis sampai waktu maghrib. 20Najislah segala sesuatu yang mengalas tempat tidurnya pada waktu dia sedang haid, dan najis jugalah segala sesuatu yang mengalas tempat duduknya. 21Sesiapa yang menyentuh tempat tidurnya hendaklah mencuci pakaiannya, membasuh dirinya dengan air, dan dia menjadi najis sampai waktu maghrib. 22Demikian pula sesiapa yang menyentuh tempat yang diduduki perempuan itu juga perlu mencuci pakaiannya, membasuh dirinya dengan air, dan dia menjadi najis sampai waktu maghrib. 23Begitu juga jika seseorang menyentuh segala sesuatu yang ada di atas tempat tidur atau di atas apa-apa pun yang mengalas tempat duduk perempuan itu, maka najislah dia sampai waktu maghrib. 24Najislah selama tujuh hari seseorang lelaki yang meniduri perempuan itu lalu terkena lelehan haidnya, dan setiap tempat tidur yang mengalas tidur lelaki itu juga menjadi najis.

25Jika seorang perempuan mengeluarkan lelehan darah selama beberapa hari di luar masa haidnya, atau jika dia mengeluarkan lelehan lebih lama daripada masa haidnya, maka kenajisannya berlangsung selama dia mengeluarkan lelehan itu. Dia menjadi najis sebanyak bilangan hari haidnya. 26Najislah setiap tempat tidur yang ditidurinya selama dia mengeluarkan lelehan itu yakni sama seperti tempat tidur pada masa haidnya, demikian jugalah setiap tempat yang mengalas duduknya menjadi najis, sama seperti kenajisan haidnya. 27Hendaklah sesiapa sahaja yang menjadi najis kerana menyentuh barang-barang itu mencuci pakaiannya, membasuh dirinya dengan air, dan dia menjadi najis sampai waktu maghrib.

Peraturan kesucian bagi lelehan tubuh perempuan

28Akan tetapi, jika perempuan itu sudah suci daripada lelehannya, hendaklah dia mengira untuk dirinya tempoh selama tujuh hari untuk penyuciannya dan selepas itu sucilah dia. 29Pada hari kelapan hendaklah dia mengambil dua ekor burung tekukur atau dua ekor anak burung merpati lalu datang ke pintu Khemah Pertemuan, ke hadapan Tuhan, dan menyerahkan burung-burung itu kepada imam. 30Hendaklah imam mempersembahkan seekor sebagai korban penghapus dosa, dan yang seekor lagi sebagai korban bakaran. Hendaklah imam mengadakan pendamaian bagi orang itu di hadapan Tuhan atas sebab lelehannya yang najis itu.

31Hendaklah kamu memisahkan orang Israel daripada kenajisannya dengan cara demikian, supaya jangan mereka mati dalam keadaan bernajis atas sebab menajiskan Khemah Suci-Ku yang ada di tengah-tengah mereka itu.

32Itulah hukum tentang orang yang mengeluarkan lelehan, tentang lelaki yang terpancut maninya sehingga dia menjadi najis kerananya, 33dan tentang perempuan yang bernajis dalam tempoh haidnya, tentang lelaki dan perempuan yang mengeluarkan lelehan, dan tentang lelaki yang meniduri perempuan yang bernajis.' "