Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Imamat 10

A A A
Alkitab Versi Borneo

Kematian Nadab dan Abihu

1Pada suatu hari, anak Harun iaitu Nadab dan Abihu, mengambil pendupaan masing-masing lalu menyalakan api di dalamnya, dan membubuh dupa di atas api itu. Mereka mempersembahkan api haram yang tidak diperintahkan itu di hadapan Tuhan. 2Maka keluarlah api dari hadirat Tuhan menghanguskan mereka, sehingga mereka mati di hadapan Tuhan. 3Kata Musa kepada Harun, "Inilah yang difirmankan Tuhan, 'Melalui orang yang rapat dengan-Ku,

Aku akan menyatakan kesucian-Ku,

dan di hadapan seluruh umat Aku akan dimuliakan.' "

Harun pun berdiam diri.

4Kemudian Musa memanggil Misael dan Elsafan, anak-anak Uziel, bapa saudara Harun, dan berkata kepada mereka, "Datanglah ke mari dan angkatlah saudara-saudara sepupumu ini dari depan tempat suci ke luar perkhemahan." 5Mereka pun datang dan mengangkat kedua-dua jenazah yang masih memakai tunik itu ke luar perkhemahan, seperti yang dikatakan oleh Musa.

6Berkata pula Musa kepada Harun serta kepada Eleazar dan Itamar, iaitu dua orang lagi anak Harun, "Jangan menguraikan rambut kepalamu dan jangan koyakkan pakaianmu, supaya jangan kamu mati dan supaya murka Tuhan tidak menimpa seluruh umat. Tetapi para saudaramu, iaitu seluruh keturunan kaum Israel, boleh berkabung atas sebab api yang telah dinyalakan oleh Tuhan itu. 7Jangan pula pergi dari depan pintu Khemah Pertemuan supaya jangan kamu mati, kerana minyak tahbis Tuhan mengurapi kamu." Lalu mereka berbuat menurut arahan Musa itu.

8Tuhan berfirman kepada Harun, 9"Baik kamu mahupun anak-anakmu tidak boleh minum apa-apa air anggur atau apa-apa minuman yang memabukkan ketika kamu masuk ke dalam Khemah Pertemuan, supaya jangan kamu mati. Ini suatu peraturan tetap yang berkuat kuasa seterusnya bagi kamu turun-temurun, 10supaya kamu dapat membezakan antara yang suci dengan yang biasa, antara yang najis dengan yang suci yakni tidak najis, 11dan supaya kamu dapat mengajar kepada orang Israel segala ketetapan yang difirmankan Tuhan kepada mereka dengan perantaraan Musa."

12AMusa berkata kepada Harun, dan juga kepada Eleazar dan Itamar, anak Harun yang masih hidup, "Ambillah persembahan bahan makanan yang tersisa daripada korban bakaran bagi Tuhan, dan makanlah tanpa ragi di tepi mazbah, kerana itu bahagian teramat suci. 13Hendaklah kamu memakannya di tempat yang suci, kerana itulah peruntukanmu dan peruntukan tetap anak-anakmu daripada korban bakaran untuk Tuhan kerana demikianlah yang diperintahkan kepadaku. 14BHendaklah kamu berserta anak-anakmu, baik lelaki mahupun perempuan, memakan daging dada persembahan unjukan dan daging paha persembahan khusus itu di tempat yang suci, kerana semua itu dikurniakan sebagai bahagianmu serta anak-anakmu daripada korban kedamaian orang Israel. 15Hendaklah mereka membawa paha persembahan khusus dan dada persembahan unjukan itu berserta lemak korban bakaran untuk diunjukkan sebagai persembahan unjukan di hadapan Tuhan. Itulah bahagianmu dan bahagian anak-anakmu sebagai sesuatu yang menjadi hakmu selama-lamanya, seperti yang diperintahkan oleh Tuhan."

16Kemudian Musa berusaha menyiasat apa yang terjadi kepada kambing jantan korban penghapus dosa itu, tetapi ternyata kambing itu sudah dibakar. Maka marahlah dia kepada Eleazar dan Itamar, anak Harun yang masih hidup itu, katanya, 17C"Mengapakah kamu tidak memakan korban penghapus dosa itu di tempat yang suci? Bukankah korban itu teramat suci dan telah dikurniakan kepadamu supaya kamu dapat memikul kesalahan umat serta mengadakan pendamaian demi mereka di hadapan Tuhan? 18Lihat, darahnya tidak dibawa masuk ke dalam Tempat Suci. Seharusnya kamu memakannya di tempat yang suci seperti yang aku perintahkan."

19Kata Harun kepada Musa, "Sesungguhnya, pada hari ini mereka telah mempersembahkan korban penghapus dosa dan korban bakaran mereka di hadapan Tuhan, tetapi hal-hal seperti tadilah yang terjadi kepadaku. Jika pada hari ini aku juga memakan korban penghapus dosa itu, akankah Tuhan meredainya?" 20Ketika Musa mendengar hal itu, dia menerimanya dengan baik.