Alkitab Versi Borneo |
Gideon menewaskan Zebah dan Salmuna 1Maka berkatalah bani Efraim kepada Gideon, "Mengapakah kamu memperlakukan begini terhadap kami? Mengapa engkau tidak memanggil kami ketika engkau memerangi orang Midian?" Lalu mereka membantah dengan kasar terhadapnya. 2Dia menjawab kepada mereka, "Apa sangat perbuatanku dalam hal ini berbanding dengan kamu? Bukankah hasil pemetikan susulan bani Efraim lebih baik daripada tuaian buah anggur bani Abiezer? 3AAllah telah menyerahkan Oreb dan Zeeb, kedua-dua orang raja Midian itu ke dalam tanganmu; apa sangat pencapaianku jika dibandingkan dengan kamu?" Setelah dia berkata demikian, redalah marah mereka terhadapnya. 4Ketika Gideon serta pasukan tiga ratus orang warga itu tiba di Sungai Yordan lalu menyeberangi sungai itu dalam keadaan letih namun masih mengejar musuh, 5berkatalah dia kepada bani Sukot, "Tolong berikan roti kepada warga yang mengikuti aku ini, kerana mereka keletihan, dan aku sedang mengejar Zebah dan Salmuna, raja-raja Midian." 6Namun demikian, para pemimpin bani Sukot menempelaknya, "Sudahkah Zebah dan Salmuna berada dalam tanganmu sehingga harus kami berikan roti kepada tenteramu?" 7Lantas Gideon menjawab, "Kalau begitu, setelah TUHAN menyerahkan Zebah dan Salmuna ke dalam tanganku, aku akan membanting tubuhmu dengan onak dan duri dari gurun." 8Maka berjalanlah dia dari Sukot ke Penuel, dan berkata begitu juga kepada bani Penuel, tetapi mereka itu juga menjawab sama seperti bani Sukot. 9Maka berkatalah dia juga kepada bani Penuel, "Apabila aku selamat kembali, aku akan merobohkan menara ini." 10Ketika itu, Zebah dan Salmuna berada di Karkor bersama-sama bala tentera mereka seramai kira-kira lima belas ribu orang, yakni antara orang dari sebelah timur yang masih hidup setelah terkorbannya seratus dua puluh ribu orang askar yang bersenjatakan pedang. 11Maralah Gideon melalui laluan kalangan yang diam di dalam khemah di sebelah timur Nobah dan Yogbeha, lalu menyerang tentera itu yang tidak menyedari mereka bakal diserang.i 12Zebah dan Salmuna melarikan diri namun Gideon mengejar dan berjaya menawan kedua-dua orang raja Midian, iaitu Zebah dan Salmuna serta menumpaskan seluruh tentera musuh itu. 13Maka kembalilah Gideon anak Yoas dari medan perang melalui kawasan curam di Heres. 14Dia menangkap seorang muda bani Sukot. Setelah disoal pemuda itu menulis untuknya nama para pemimpin serta tua-tua bani Sukot, kesemuanya seramai tujuh puluh tujuh orang. 15Pergilah Gideon menemui bani Sukot sambil berkata, "Inilah Zebah dan Salmuna yang menjadi penyebab kamu mencela aku dengan berkata, 'Sudahkah Zebah dan Salmuna itu dalam tanganmu, sehingga kami harus memberikan roti kepada tenteramu yang keletihan itu?' " 16Dihimpunkannya para tua-tua kota itu, dan diambilnya onak dan duri gurun lalu dibantingnya tubuh orang Sukot dengan onak dan duri itu. 17Menara Penuel dirobohkannya dan warga kota itu dibunuhnya. 18Kemudian dia bertanya kepada Zebah dan Salmuna, "Bagaimanakah rupa orang yang telah kamu bunuh di Tabor itu?" Jawab mereka, "Mereka itu serupa dengan engkau, masing-masing mirip seperti anak raja." 19Berkatalah Gideon, "Mereka itu saudara-saudaraku, anak-anak ibuku! Demi TUHAN yang hidup, jika kamu membiarkan mereka hidup, aku tidak akan membunuh kamu." 20Dia berkata kepada Yeter, anak sulungnya, "Bangunlah, bunuhlah mereka." Akan tetapi, pemuda itu tidak menghunus pedangnya kerana dia yang masih muda mentah itu berasa takut. 21Maka katalah Zebah dan Salmuna, "Bangunlah dan lakukanlah sendiri kerana seperti orangnya, demikian pula kekuatannya." Maka bangunlah Gideon membunuh Zebah dan Salmuna, kemudian diambilnya hiasan berbentuk bulan sabit pada leher kesemua unta mereka. Kegemilangan Gideon seterusnya 22Berkatalah orang Israel kepada Gideon, "Jadilah pemerintah kami, baik engkau mahupun anakmu dan cucumu, kerana engkaulah yang telah menyelamatkan kami daripada kuasa orang Midian." 23Tetapi Gideon menjawab, "Aku tidak akan memerintah kamu dan juga anakku tidak akan memerintah kamu tetapi TUHAN yang memerintah kamu." 24Selanjutnya, kata Gideon kepada mereka, "Satu hal sahaja yang kuminta daripadamu. Baiklah kamu masing-masing memberikan anting-anting daripada jarahannya." (Orang Midian itu biasa memakai anting-anting emas. Mereka sama seperti orang Ismael).
25Mereka menjawab, "Kami pasti memberikannya dengan senang hati." Lalu dihamparkan sehelai kain dan masing-masing melemparkan anting-anting daripada jarahannya ke atas kain itu. 26Adapun jumlah berat anting-anting emas yang dimintanya itu seribu tujuh ratus syikal emas, namun ada lagi perhiasan bentuk bulan sabit, perhiasan telinga dan pakaian kain warna ungu yang dipakai oleh raja-raja Midian, dan belum terhitung kalung pada leher unta-unta mereka. 27Maka Gideon membuat efod daripada semua barang itu dan menempatkannya di kotanya, di Ofra. Di sanalah orang Israel melacurkan diri dengan menyembah efod itu; dan efod itulah yang menjadi jerat bagi Gideon dan seisi rumahnya. 28Maka orang Midian tunduk kepada orang Israel dan tidak dapat menegakkan kepala mereka lagi. Amanlah negeri itu selama empat puluh tahun dalam zaman Gideon. Kematian Gideon 29Lalu Yerubaal anak Yoas berangkat dan mendiami rumahnya sendiri. 30Gideon mempunyai tujuh puluh orang anak lelaki, semua anak kandungnya, kerana dia mempunyai ramai isteri. 31Gundiknya yang tinggal di Sikhem juga melahirkan seorang anak lelaki yang dinamakan Abimelekh. 32Gideon anak Yoas mati setelah lanjut usianya. Dia dikuburkan di dalam makam Yoas, ayahnya, di Ofra kota bani Abiezer. 33Setelah Gideon mati, orang Israel berbuat mungkar melacurkan diri dengan menyembah Baal dan menjadikan Baal-Berit sebagai tuhan mereka. 34Orang Israel tidak lagi mengingati betapa TUHAN, Allah mereka telah melepaskan mereka daripada cengkaman penganiayaan semua musuh di sekeliling mereka, 35ataupun menunjukkan kebaikan kepada keturunan Yerubaal iaitu Gideon, setimpal dengan segala jasa baiknya kepada orang Israel.