Alkitab Versi Borneo |
Nyanyian Debora dan Barak 1Pada hari itu menyanyilah Debora dan Barak anak Abinoam, demikian: 2Pujilah TUHAN, kerana pemimpin memegang teraju pimpinan di Israel dan para warganya menawarkan diri dengan sukarela. 3Dengarlah, wahai raja-raja!
Pasanglah telingamu, ya para pemuka!
Aku, ya aku juga mahu menyanyikan puji-pujian kepada TUHAN, Allah Israel. 4Ya TUHAN, ketika Engkau maju dari Seir, ketika Engkau mara dari daerah Edom,
gempalah bumi ini dan tirislah langit, malah awan menitiskan airnya. 5ABergegar gunung-ganang di hadapan TUHAN, Tuhan Sinai,
di hadapan TUHAN, Allah Israel. 6Dalam zaman Samgar anak Anat, dan dalam zaman Yael, sunyi suasana jalan raya maka para pengembara melalui jalan yang berbelit-belit. 7Tiada kepimpinan lagi di Israel sehingga aku, Debora, bangkit sebagai seorang ibu di Israel. 8Lalu mereka memilih tuhan-tuhan baru, maka terjadilah perang di pintu gerbang. Namun begitu, dalam kalangan empat puluh ribu orang di Israel tiada sebuah perisai ataupun sebilah tombak yang kelihatan. 9Hatiku tertuju kepada para panglima Israel, yang daripada kalangan umat ini, menawarkan diri mereka dengan sukarela. Terpujilah TUHAN! 10Nyanyikanlah wahai kamu, yang menunggang keldai putih, kamu yang duduk di atas ambal, dan kamu yang berjalan di jalan itu! 11Suara mereka mengatasi suara orang di tempat-tempat penimbaan air,
ketika mereka mendendangkan kemuliaan perbuatan TUHAN yang adil, dan perbuatan baik para pahlawan-Nya di Israel.
Pada waktu itu turunlah umat TUHAN ke pintu gerbang. 12Bangunlah, bangunlah, Debora! Bangunlah, bangunlah, nyanyikanlah suatu lagu! Bangkitlah, Barak, dan pimpinlah para tawananmu, wahai anak Abinoam! 13Lalu umat TUHAN, umat yang terselamat, turun sebagai pahlawan, mendatangi para bangsawan yang masih ada. 14Datanglah mereka, daripada suku Efraim yang berakar umbi menentang Amalek, diikuti suku Benyamin, dan daripada suku Makhir, turunlah para panglima dan daripada suku Zebulon, warga pembawa cokmar kuasa. 15Juga para pemimpin suku Isakhar menyertai Debora, dan seperti Isakhar, demikianlah Naftali menyertai Barak. Mereka menyusul dia dan menyerbu masuk ke lembah. Namun demikian, suku Ruben membuat banyak pertimbangan. 16Mengapakah engkau duduk antara kandang domba untuk mendengar siulan memanggil kawanan ternak? Dalam kalangan suku Ruben, masih banyak pertimbangan mereka! 17Bani Gilead terus diam di seberang Sungai Yordan; dan mengapakah bani Dan mendiami kapal-kapal? Bani Asyer pula di pesisir pantai dan kekal di dermaga. 18Bani Zebulon pula bangsa yang berani mempertaruhkan nyawa mereka, demikian juga bani Naftali, di tempat-tempat tinggi di padang. 19Raja-raja datang dan berperang. Kemudian raja-raja Kanaan berperang di Taanakh dekat mata air di Megido, tetapi mereka tidak merampas wang. 20Dari langit bintang-bintang yang melalui peredarannya turut memerangi Sisera. 21Sungai Kison menghanyutkan musuh, Kison, sungai yang terkenal dari dahulukala itu. Majulah sekuat tenaga, wahai jiwaku! 22Ketika itu kedengaranlah derap kaki kuda yang dipacu. 23"Kutuklah kota Meros," sabda Malaikat TUHAN,
"kutuklah habis-habisan penduduknya, kerana mereka tidak datang sebagai pahlawan demi membantu TUHAN untuk memerangi musuh." 24Diberkatilah Yael, isteri Heber, orang Keni itu, melebihi perempuan-perempuan lain, dan diberkatilah dia melebihi perempuan-perempuan di dalam khemah. 25Air diminta orang itu, tetapi susu diberikannya; di dalam cawan yang indah dan disajikannya dadih. 26Tangannya dihulurkan untuk mengambil pancang khemah dan tangan kanannya mengambil tukul tukang lalu dia menukul serta menghancurkan kepala Sisera setelah diremukkan dan ditembusinya pelipis Sisera. 27Dekat kakinya orang itu rebah, tewas tergolek. Pada kakinya orang itu tunduk, rebah tewas dan musnah. 28Dari jendela, ibu Sisera menjenguk dan berseru, "Mengapakah ratanya tidak kunjung datang? Mengapakah derap kuda ratanya belum kedengaran?" 29Yang paling bijak antara puterinya menjawabnya, dan dia sendiri juga mengulang sebut kata-katanya itu, 30"Bukankah mereka mendapat jarahan dan membahagi-bahaginya, gadis seorang dua untuk setiap pahlawan. Rampasan kain berwarna sehelai dua untuk Sisera, kain sulaman aneka warna sehelai dua untuk leher para penjarah?" 31"Demikianlah semoga binasa semua musuh-Mu, ya TUHAN!
Tetapi orang yang mengasihi-Nya semoga bagaikan matahari terbit dalam kemegahannya."
Lalu amanlah negeri itu selama empat puluh tahun.