Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Hakim-Hakim 3

A A A
Alkitab Versi Borneo

Penduduk asal yang dibiarkan tinggal di Kanaan

1Inilah bangsa-bangsa yang dibiarkan TUHAN tinggal di situ untuk menjadi ujian kepada orang Israel, iaitu orang Israel yang tidak mengalami satu perang bani Kanaan pun 2agar keturunan orang Israel yang belum pernah mengalami perang diajar mengenai peperangan. 3Bangsa-bangsa itu ialah lima orang raja bani Filistin dan bani Kanaan, bani Sidon dan bani Hewi, yang mendiami pergunungan Lebanon, dari Gunung Baal-Hermon merentas ke Hamat. 4Mereka di situ sebagai ujian bagi orang Israel demi mengetahui sama ada mereka mentaati segala perintah TUHAN yang diberikan melalui Musa kepada nenek moyang mereka. 5Maka orang Israel bermastautin dalam kalangan bani Kanaan, bani Het, bani Amori, bani Feris, bani Hewi dan bani Yebus. 6Mereka mengahwini anak perempuan bangsa-bangsa itu dan menyerahkan anak perempuan mereka kepada lelaki bangsa-bangsa itu. Mereka juga menyembah tuhan-tuhan mereka.

Otniel

7Lalu orang Israel berbuat jahat di mata TUHAN dan mereka melupakan TUHAN, Allah mereka dan menyembah Baal dan Asyera. 8Atas amarah TUHAN terhadap orang Israel, mereka terjual kepada Kusyan-Risyataim, raja Aram-Mesopotamia yang menguasai orang Israel selama lapan tahun. 9Apabila orang Israel berteriak meminta pertolongan daripada TUHAN, maka TUHAN membangkitkan Otniel, anak Kenas adik Kaleb, untuk menjadi penyelamat bagi orang Israel. 10Roh TUHAN turun ke atas dia dan dia menjadi hakim kepada orang Israel. Dalam peperangannya, TUHAN menyerahkan Kusyan-Risyataim, raja Aram, ke dalam tangannya lantas dia berjaya menumpaskan Kusyan-Risyataim. 11Amanlah negeri itu selama empat puluh tahun. Kemudian meninggallah Otniel anak Kenas.

Ehud

12Orang Israel berbuat jahat lagi di mata TUHAN. Lalu TUHAN memberikan kuasa kepada Eglon, raja Moab untuk menundukkan orang Israel kerana mereka berbuat jahat di mata TUHAN. 13Lalu Eglon yang bergabung dengan bani Amon dan orang Amalek mara lalu menewaskan orang Israel serta menguasai kota pokok kurma itu. 14Tertakluklah orang Israel selama lapan belas tahun di bawah pemerintahan Eglon, raja Moab.

15Maka orang Israel berseru meminta pertolongan TUHAN lalu TUHAN membangkitkan bagi mereka seorang penyelamat daripada bani Benyamin, iaitu Ehud, anak Gera, seorang yang kidal. Melaluinya, orang Israel mengirimkan ufti kepada Eglon, raja Moab. 16Ehud pun membuat pedang sepanjang sehasta yang bermata dua yang dilekapkan pada pangkal paha kanannya, di bawah jubahnya. 17Lalu dia mempersembahkan ufti kepada Eglon, raja Moab yang berbadan amat gemuk itu. 18Selepas menyerahkan ufti itu, Ehud menyuruh para pembawa ufti itu untuk beredar dari situ. 19Akan tetapi, dia sendiri berpaling daripada patung-patung berhala di Gilgal itu sambil berkata, "Tuanku, saya ada membawa pesan rahsia untuk tuanku."

Kata Eglon, "Diam. Nanti dahulu!" Kemudian semua pengiringnya keluar meninggalkannya.

20Ehud masuk dan menghampiri raja yang duduk bersendirian di bilik rumah peranginan itu. Berkatalah Ehud, "Ada firman Allah yang perlu aku sampaikan kepada tuanku." Lalu dia bangun dari tempat duduknya. 21Lantas tangan kiri Ehud menghunus pedang dari pangkal paha kanannya dan terus menusukkan pedang itu ke dalam perut raja, 22sehingga hulunya juga tertimbus. Lemak meliputi mata pedang yang tidak dicabut, malah hujungnya menembusi belakang Eglon. 23Keluarlah Ehud ke serambi lalu pintu bilik atas itu ditutup dan dikuncinya. 24Setelah dia beredar, datanglah para hamba raja melihat bilik atas yang terkunci itu, lalu berkatalah mereka, "Pasti tuanku sedang melegakan dirinya di bilik yang dingin itu." 25Setelah lama menunggu, mereka bingung lagi bimbang apabila raja terus tidak membuka pintu bilik atas itu. Lalu mereka mengambil kunci dan membuka pintu lantas menemukan tuan mereka yang tersungkur mati di lantai.

26Semasa mereka berlengah-lengah itu, Ehud berjaya pergi dari situ dan setelah melalui patung-patung berhala itu, dia meloloskan diri ke arah Seira. 27Setibanya di sana ditiupnyalah sangkakala di wilayah pergunungan Efraim, lalu keluarlah orang Israel beramai-ramai mendatanginya. Lalu berdirilah Ehud di hadapan khalayak itu. 28Dia pun mencanangkannya kepada mereka, "Ikutlah aku kerana TUHAN telah menyerahkan bani Moab, musuhmu, ke dalam tanganmu." Lalu mereka mengikuti dia lantas menguasai tempat-tempat penyeberangan Sungai Yordan ke Moab dan tidak membenarkan sesiapa pun menyeberang. 29Pada waktu itu mereka menghapuskan kira-kira sepuluh ribu orang bani Moab, semuanya tegap dan tangkas belaka, seorang pun tidak terlepas. 30Maka tumpaslah Moab pada hari itu di tangan orang Israel, dan amanlah bumi itu selama lapan puluh tahun.

Samgar

31Selepas itu, tampil pula Samgar anak Anat yang turut menyelamatkan orang Israel dengan menumpaskan enam ratus orang bani Filistin dengan sebatang tongkat penggiring lembu.