Alkitab Versi Borneo |
Yefta menyelamatkan Israel 1Yefta ialah seorang pahlawan yang gagah perkasa tetapi dia anak seorang perempuan sundal. Ayah Yefta ialah Gilead. 2Isteri Gilead juga melahirkan anak-anak lelaki untuknya. Setelah anak-anak isterinya itu besar, mereka mengusir Yefta dan berkata kepadanya, "Engkau tidak dapat mewarisi pusaka dalam rumah bapa kami kerana engkau anak lelaki daripada perempuan lain." 3Yefta pun lari meninggalkan para saudaranya itu lalu menetap di Tanah Tob; di sana penjahat berkumpul bersama-samanya dan pergilah mereka bersama dengannya. 4Tidak lama selepas itu, bani Amon berperang melawan orang Israel. 5Ketika bani Amon memerangi orang Israel, kalangan tua-tua Gilead pergi menjemput Yefta dari Tanah Tob. 6Kata mereka kepada Yefta, "Marilah menjadi ketua kami semoga kita boleh berperang melawan bani Amon." 7Tetapi Yefta menjawab para tua-tua Gilead itu, "Bukankah kamu membenci aku dan mengusir aku daripada keluargaku? Mengapa kini sewaktu kamu terdesak kamu datang kepadaku?" 8Maka berkatalah para tua-tua Gilead kepada Yefta, "Memang kami mendatangi kamu supaya kamu mengikuti kami untuk berperang melawan bani Amon, dan engkau akan menjadi pemimpin yang mengetuai kami dan seluruh warga Gilead." 9Maka Yefta menjawab para warga tua-tua Gilead, "Jika kamu membawa aku kembali untuk berperang melawan bani Amon, dan andainya TUHAN menyerahkan mereka kepadaku, adakah aku akan menjadi ketua kamu?"
10Maka para pemimpin Gilead itu berkata kepada Yefta, "Demi TUHAN yang mendengar dan menjadi saksi antara kita, kami pasti melakukan seperti yang kamu katakan itu." 11Yefta mengikut para warga tua-tua Gilead, lalu mereka mengangkatnya untuk menjadi ketua dan panglima mereka. Lalu Yefta membawa seluruh perkaranya itu ke hadapan TUHAN, di Mizpa.
12Seterusnya Yefta mengirim utusan yang bertanya kepada raja bani Amon, "Apakah urusanmu dengan aku, sehingga engkau datang untuk memerangi negeriku?" 13Raja bani Amon menjawab kepada utusan Yefta, "Ketika keluar dari Mesir, orang Israel telah merampas tanahku, dari Sungai Arnon sampai ke Sungai Yabok dan ke Sungai Yordan. Sekarang, kembalikanlah semuanya itu secara damai." 14Maka Yefta mengirim utusan semula kepada raja bani Amon 15dengan pesan, "Beginilah kata Yefta: orang Israel tidak merampas tanah orang Moab atau tanah bani Amon. 16Sebabnya ketika keluar dari Mesir, orang Israel melintasi gurun sampai ke Laut Merah dan tiba di Kadesh. 17AKetika itu orang Israel mengirim utusan kepada raja negeri Edom dengan permintaan, "Izinkanlah kami melintasi negerimu ini." Tetapi raja negeri Edom tidak mahu mendengar. Mereka juga mengirim utusan kepada raja negeri Moab, tetapi raja itu juga menolak. Oleh itu, orang Israel tinggal di Kadesh. 18BKemudian mereka melintasi gurun lalu mengelilingi Tanah Edom dan Tanah Moab dan sampai di sebelah timur Tanah Moab. Mereka berkhemah di seberang Sungai Arnon, tetapi tidak masuk daerah Moab, kerana Sungai Arnon ialah sempadan daerah Moab. 19CLalu orang Israel mengirim utusan kepada Sihon, raja bani Amori, raja di Hesbon, dan orang Israel meminta kepadanya, "Izinkanlah kami melintasi negerimu sampai ke tempat tujuan kami." 20Tetapi Sihon tidak mempercayai orang Israel yang hendak melintasi daerahnya itu. Oleh itu, dia mengerahkan seluruh pasukannya. Dia berkhemah di Yahas, lalu berperang melawan orang Israel. 21Tetapi TUHAN, Allah Israel, menyerahkan Sihon dengan seluruh rakyatnya ke dalam tangan orang Israel, dan orang Israel mengalahkan mereka lalu mendiami seluruh tanah orang Amori yang tinggal di negeri itu. 22Maka orang Israel memiliki daerah bani Amori dari Sungai Arnon sampai ke Sungai Yabok dan dari gurun sampai ke Sungai Yordan. 23Sekarang TUHAN, Allah Israel, telah merampas milik orang Amori bagi Israel, umat-Nya. Apakah engkau hendak memiliki tanah itu pula? 24Bukankah engkau akan memiliki apa yang diberi oleh Kamos, tuhanmu?i Demikianlah kami memiliki segala yang direbut bagi kami oleh TUHAN, Allah kami. 25DLagipun, adakah engkau lebih baik daripada Balak anak Zipor, raja Moab? Pernahkah dia menentang orang Israel atau pernahkah dia berperang dengan mereka? 26Ketika orang Israel tinggal di Hesbon dan desa-desanya, di Aroer dan desa-desanya, dan di semua kota di sepanjang kedua-dua pinggir Sungai Arnon selama tiga ratus tahun, mengapa pada waktu itu engkau tidak mendapatkan semula kesemua kota dan desa itu? 27Jadi aku tidak bersalah terhadap engkau, melainkan engkau yang bersalah terhadap aku dengan berperang melawan aku. Semoga TUHAN yang menjadi hakim pada hari ini antara orang Israel dengan bani Amon." 28Tetapi raja bani Amon tidak mempedulikan semua pesan Yefta yang disampaikan kepadanya. Petaka nazar Yefta
29Lalu Roh TUHAN turun ke atas Yefta. Dia berjalan melintasi daerah Gilead dan Manasye, lalu melintasi Mizpa di Gilead, dan dari Mizpa di Gilead dia melintas ke daerah bani Amon. 30Maka bersumpahlah Yefta kepada TUHAN, katanya, "Jika Engkau menyerahkan bani Amon itu ke dalam tanganku, 31maka apa saja yang keluar dari pintu rumahku untuk menemui aku ketika aku pulang dengan selamat daripada bani Amon, akan menjadi milik TUHAN. Lalu, aku akan mempersembahkannya sebagai korban bakaran."
32Lalu Yefta menyeberang untuk berperang melawan bani Amon, dan TUHAN menyerahkan mereka ke dalam tangannya. 33Dia menumpaskan bani Amon secara besar-besaran dan membunuh umat di dua puluh buah kota dari Aroer sampai ke Minit dan sampai ke Abel-Keramim. Demikianlah bani Amon ditakluki di depan orang Israel. 34Kepulangan Yefta ke rumahnya di Mizpa disambut oleh anak perempuannya dengan memukul rebana sambil menari-nari. Itulah anaknya yang tunggal dan selain dia, Yefta tiada lagi anak baik lelaki mahupun perempuan. 35ESejurus sahaja melihat anaknya, Yefta mengoyakkan bajunya, sambil berkata: "Wahai, anakku, engkau membuat hatiku hancur luluh dan engkaulah yang membawa petaka kepadaku. Aku telah membuka mulut dan bernazar kepada TUHAN, dan tidak dapat kutarik balik kata-kataku."
36Tetapi anaknya menjawab, "Jika bapa telah membuka mulut bernazar kepada TUHAN, maka tunaikanlah dan buatlah kepadaku selaras dengan nazar bapa itu, kerana TUHAN telah melakukan pembalasan terhadap musuh bapa, bani Amon itu, bagi pihak bapa." 37Berkatalah dia lagi kepada ayahnya, "Tunaikanlah nazar bapa tetapi izinkanlah aku masa selama dua bulan supaya aku pergi ke pergunungan dan menangisi keperawananku bersama-sama teman-temanku." 38Maka jawab Yefta, "Pergilah," dan dibiarkan anak gadisnya itu pergi selama dua bulan lamanya bersama-sama teman-temannya menangisi keperawanannya di pergunungan. 39Setelah dua bulan berlalu, kembalilah dia kepada ayahnya, maka ayahnya melakukan kepadanya apa yang telah dinazarkannya itu atas gadis yang tidak pernah kenal akan lelaki itu. Maka hal itu menjadi adat di Israel, 40bahawa dari tahun ke tahun para anak gadis orang Israel akan pergi selama empat hari setahun untuk meratapi dan memperingati anak gadis Yefta, orang Gilead itu.