Alkitab Versi Borneo |
Pembaharuan perjanjian di Sikhem 1Kemudian Yosua mengumpulkan semua suku Israel di Sikhem. Dia memanggil para tua-tua Israel, para ketuanya, para hakimnya, dan para pegawainya, lalu mereka berdiri di hadapan Allah. 2AKata Yosua kepada seluruh bangsa itu, "Beginilah firman TUHAN, Allah Israel, 'Dahulukala nenek moyangmu, iaitu Terah, ayah Abraham dan Nahor, tinggal di seberang Sungai Efrat dan beribadat kepada tuhan-tuhan lain. 3CLalu Aku mengambil bapa leluhurmu, Abraham, dari seberang Sungai Efrat dan memimpin dia untuk menjelajahi seluruh Tanah Kanaan serta menjadikan keturunannya ramai. Aku mengurniakan Ishak kepadanya, 4Fdan kepada Ishak Kukurniakan Yakub dan Esau. Kepada Esau Kukurniakan Gunung Seir menjadi miliknya, manakala Yakub dan anak-anaknya pergi ke Mesir. 5GKemudian Aku mengutus Musa dan Harun. Aku mengazabkan Mesir dengan apa yang Kulakukan antara mereka, lalu Aku membawa kamu keluar. 6HSetelah Aku membawa nenek moyangmu keluar dari Mesir, sampailah kamu di tepi laut. Lalu orang Mesir mengejar nenek moyangmu dengan semua rata dan pasukan berkuda mereka ke Laut Merah. 7Apabila para leluhurmu berseru kepada TUHAN, maka Dia mendatangkan kegelapan yang memisahkan antara kamu dengan orang Mesir dan membuat air laut untuk melandai serta meliputi mereka. Matamu sendiri melihat apa yang Kulakukan di Mesir.
Setelah itu, lama kamu tinggal di gurun. 8ILalu Kubawa kamu ke negeri bani Amori yang tinggal di seberang Sungai Yordan. Mereka berperang melawan kamu dan Aku menyerahkan mereka ke dalam tanganmu sehingga kamu telah dapat menduduki negeri mereka sementara Aku memusnahkan mereka dari hadapanmu. 9JSetelah itu Balak anak Zipor, raja Moab, bangkit berperang melawan orang Israel. Disuruhnya orang memanggil Bileam anak Beor untuk mengutuk kamu. 10Tetapi Aku tidak sudi mendengar permohonan Bileam sehingga dia sebaliknya memohonkan berkat bagi kamu. Demikianlah Aku melepaskan kamu daripada tangannya. 11LLalu kamu menyeberangi Sungai Yordan dan sampai di Yerikho. Warga Yerikho berperang melawan kamu, begitu pula bani Amori, bani Feris, bani Kanaan, bani Het, bani Girgasi, bani Hewi, dan bani Yebus, tetapi Aku menyerahkan mereka ke dalam tanganmu. 12MAku melepaskan serangga penyengat mendahului kamu supaya mereka diusir dari hadapanmu, seperti kedua-dua raja bani Amori itu. Jadi, semua kemenangan itu bukan hasil pedangmu dan bukan oleh busur panahmu. 13NAku mengurniakan kepadamu tanah yang tidak kamu kerjakan dengan bersusah payah dan kota-kota yang tidak kamu dirikan, lalu kamu tinggal di dalamnya. Kamu makan dari kebun-kebun anggur dan kebun-kebun zaitun yang tidak kamu tanam. 14Oleh itu, takutlah kepada TUHAN dan beribadatlah kepada-Nya dalam ketulusan dan kesetiaan. Singkirkanlah segala tuhan berhala yang disembah nenek moyangmu di seberang Sungai Efrat dan juga di Mesir, dan beribadatlah kepada TUHAN. 15Jika menurutmu tidak baik beribadat kepada TUHAN, pilihlah hari ini kepada siapa kamu akan beribadat: Apakah kepada tuhan-tuhan yang disembah nenek moyangmu di seberang Sungai Efrat atau kepada tuhan-tuhan bani Amori yang negeri mereka sekarang kamu huni? Tetapi kami, iaitu aku dan keluargaku, akan beribadat kepada TUHAN!"
16Jawab bangsa itu, "Kami tidak akan sekali-kali meninggalkan TUHAN untuk beribadat kepada tuhan-tuhan lain! 17TUHAN, Allah kita, Dialah yang telah memimpin kita dan nenek moyang kita keluar dari Tanah Mesir, dari tempat perhambaan. Dialah yang telah mengadakan tanda-tanda yang besar di hadapan mata kita dan yang telah memelihara kita di sepanjang jalan yang kita tempuh serta di antara segala bangsa yang kita lalui. 18TUHAN mengusir dari hadapan kita segala bangsa, iaitu bani Amori yang tinggal di negeri ini. Oleh sebab itu kami juga akan beribadat kepada TUHAN, kerana Dialah Allah kami."
19Kata Yosua kepada bangsa itu, "Kamu tidak sanggup beribadat kepada TUHAN, kerana Dialah Allah yang kudus. Dia Allah yang cemburu. Dia tidak akan mengampunkan pelanggaranmu atau dosa-dosamu. 20Apabila kamu meninggalkan TUHAN dan beribadat kepada tuhan bangsa asing, maka Dia akan berpaling menentang kamu dan mendatangkan malapetaka kepadamu, serta menghapuskan kamu, setelah Dia berbuat baik kepadamu."
21Kata bangsa itu kepada Yosua, "Tidak, kami akan beribadat kepada TUHAN sahaja."
22Maka kata Yosua kepada bangsa itu, "Kamu menjadi saksi bagi dirimu sendiri bahawa kamu telah memilih TUHAN untuk beribadat kepada-Nya." Jawab mereka, "Kamilah saksi."
23Kata Yosua, "Sekarang, singkirkanlah segala tuhan bangsa asing yang ada antara kamu dan palingkan hatimu agar sepenuhnya berpusat kepada TUHAN, Allah Israel sahaja."
24Kata bangsa itu kepada Yosua, "Kami akan beribadat kepada TUHAN, Allah kita, dan mematuhi-Nya."
25Demikianlah pada hari itu Yosua mengikat perjanjian dengan bangsa itu serta membuat suatu ketetapan dan peraturan bagi mereka di Sikhem. 26Yosua menulis hal-hal itu dalam kitab yang berisi hukum Allah, lalu mengambil sebuah batu besar dan mendirikannya di situ, di bawah pokok oak, di tempat suci TUHAN. 27Kata Yosua kepada seluruh bangsa itu, "Lihat, batu ini menjadi saksi terhadap kita, kerana telah mendengar segala firman yang disampaikan TUHAN kepada kita. Batu ini akan menjadi saksi terhadap kamu, supaya kamu tidak mengingkari Allahmu." 28Sesudah itu Yosua melepaskan bangsa itu pergi ke tanah pusaka milik masing-masing. Yosua dan Imam Eleazar Meninggal dan Dimakamkan
29Sesudah peristiwa-peristiwa itu, Yosua anak Nun, hamba TUHAN itu meninggal pada usia seratus sepuluh tahun. 30ODia dimakamkan di daerah harta pusakanya, iaitu di Timnat-Serah, pergunungan Efraim, di sebelah utara Gunung Gaas. 31Orang Israel beribadat kepada TUHAN sepanjang umur Yosua dan sepanjang umur para tua-tua yang hidup lebih lama daripada Yosua, dan yang mengetahui segala perbuatan yang dilakukan TUHAN bagi orang Israel.
32PTulang-tulang Yusuf, yang dahulu dibawa keluar oleh orang Israel dari Mesir, dimakamkan di Sikhem, di sebidang tanah yang dibeli Yakub daripada bani Hamor, ayah Sikhem itu, dengan harga seratus keping wang perak. Tanah itu menjadi harta pusaka bani Yusuf. 33Eleazar anak Harun juga meninggal dan dimakamkan di bukit yang diberikan kepada Pinehas, anaknya, di pergunungan Efraim.