Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Yosua 22

A A A
Alkitab Versi Borneo

Pulangnya suku-suku sebelah Timur

1Yosua memanggil bani Ruben, bani Gad, dan separuh suku Manasye, 2Alalu berkata kepada mereka, "Kamu telah berpegang teguh pada semua yang diperintahkan kepadamu oleh Musa, hamba TUHAN itu, dan telah menuruti kata-kataku dalam segala hal yang kuperintahkan kepadamu. 3Kamu tidak meninggalkan para saudaramu selama ini sampai hari ini, melainkan berpegang teguh pada kewajipan yang diperintahkan TUHAN, Allahmu. 4Sekarang TUHAN, Allahmu, telah memberikan ketenteraman kepada para saudaramu, seperti yang dijanjikan-Nya kepada mereka. Maka kembalilah kamu ke perkhemahanmu, ke tanah milikmu yang telah diberikan kepadamu oleh Musa, hamba TUHAN itu, di seberang Sungai Yordan. 5Hanya, ingatlah baik-baik, lakukanlah perintah dan hukum yang disampaikan kepadamu oleh Musa, hamba TUHAN itu, iaitu mencintai TUHAN, Allahmu, hidup menurut segala jalan-Nya, berpegang teguh pada segala perintah-Nya, berpaut kepada-Nya, serta beribadat kepada-Nya dengan segenap hatimu dan segenap jiwamu." 6Sesudah itu Yosua memohonkan berkat bagi mereka dan melepaskan mereka pergi. Lalu pulanglah mereka ke perkhemahan mereka. 7Harta pusaka di Basan telah diberikan oleh Musa kepada setengah suku Manasye manakala kepada setengah suku yang lagi satu pula, harta pusaka diberikan oleh Yosua antara saudara mereka di sebelah barat Sungai Yordan. Ketika Yosua melepaskan mereka itu pergi ke perkhemahan mereka dan memohonkan berkat bagi mereka, 8berkatalah dia kepada mereka, "Pulanglah ke perkhemahanmu dengan kekayaan yang banyak, ternak yang sangat banyak, perak, emas, gangsa, besi, dan pakaian yang sangat banyak. Bagikanlah juga jarahan daripada musuh-musuhmu itu kepada para saudaramu."

Mazbah suku-suku sebelah Timur

9Bani Ruben, bani Gad, dan setengah suku Manasye itu pulang meninggalkan orang Israel di Silo, Tanah Kanaan, untuk pergi ke Tanah Gilead, tanah milik mereka yang ditawan mereka menuruti firman TUHAN yang disampaikan dengan perantaraan Musa.

10Setelah sampai di wilayah dekat Sungai Yordan di Tanah Kanaan, bani Ruben, bani Gad, dan setengah suku Manasye itu membangunkan sebuah mazbah yang amat besar tersergam di sana, di tepi Sungai Yordan. 11Lalu orang Israel mendengar khabar yang mengatakan, "Ketahuilah, bani Ruben, bani Gad, dan setengah suku Manasye telah membangunkan sebuah mazbah yang menghadap Tanah Kanaan di wilayah dekat Sungai Yordan, di daerah bahagian orang Israel." 12Setelah orang Israel mendengar hal itu, berkumpullah seluruh umat Israel di Silo untuk maju demi memerangi suku-suku sebelah timur itu.

13Orang Israel mengirim Pinehas anak Imam Eleazar sebagai utusan kepada bani Ruben, bani Gad, dan setengah suku Manasye di Tanah Gilead itu 14berserta sepuluh orang pemimpin yang masing-masingnya pemimpin kaum keluarga daripada setiap suku Israel dan juga ketua kaum keluarga antara kaum orang Israel. 15Sesampainya mereka di tempat bani Ruben, bani Gad, dan setengah suku Manasye di Tanah Gilead itu, berkatalah mereka kepada warga suku-suku itu, 16B"Beginilah kata seluruh umat TUHAN, 'Kemungkaran apa ini yang kamu lakukan terhadap Allah Israel, sehingga sekarang kamu berhenti mengikuti TUHAN dan membangunkan sebuah mazbah untuk menderhakai TUHAN pada hari ini? 17CTidakkah cukup kedurjanaan di Peor itu bagi kita? Sampai hari ini kita belum juga berjaya menyucikan diri daripada hal itu sekalipun bencana wabak telah menimpa umat TUHAN. 18Sungguhkah hari ini kamu mahu berhenti mengikuti TUHAN? Jika hari ini kamu menderhaka terhadap TUHAN, tentulah esok Dia akan murka kepada seluruh umat Israel. 19Akan tetapi, jika tanah milikmu itu najis, menyeberang sajalah ke mari, ke tanah milik TUHAN, tempat Khemah Suci TUHAN berada, dan menetaplah di tengah-tengah kami. Janganlah menderhaka terhadap TUHAN dan janganlah memberontak terhadap kami dengan mendirikan mazbah selain mazbah bagi TUHAN, Allah kita. 20DBukankah Akhan anak Zerah telah berbuat mungkar dalam hal barang-barang yang dikhususkan untuk dimusnahkan itu, sehingga murka menimpa seluruh umat Israel? Betapa bukan dia sahaja yang binasa kerana kesalahannya itu.' "

21Jawab bani Ruben, bani Gad, dan setengah suku Manasye itu kepada para ketua kaum orang Israel, 22"TUHAN, Allah segala allah! TUHAN, Allah segala allah! Dia tahu dan biarlah orang Israel pun mengetahuinya! Jika hal ini merupakan penderhakaan atau kemungkaran terhadap TUHAN, janganlah kami dibiarkan selamat pada hari ini. 23Jika kami mendirikan mazbah untuk berhenti mengikuti TUHAN, atau untuk mempersembahkan korban bakaran dan persembahan bahan makanan di atasnya, ataupun untuk mempersembahkan korban kedamaian di atasnya, biarlah TUHAN sendiri yang menuntut balas. 24Sesungguhnya, hal ini kami lakukan kerana kami khuatir kalau-kalau pada hari kelak anak-anakmu berkata kepada anak-anak kami, 'Apakah urusanmu dengan TUHAN, Allah Israel? 25Sungai Yordan ini telah ditentukan TUHAN menjadi sempadan antara kami dengan kamu, hai bani Ruben dan bani Gad! Kamu tidak mempunyai bahagian dalam TUHAN.' Dengan demikian anak-anakmu mungkin membuat anak-anak kami tidak lagi takut kepada TUHAN. 26Oleh sebab itu kami berkata, 'Mari kita bangunkan sebuah mazbah' bukan untuk korban bakaran dan bukan untuk korban sembelihan, 27melainkan untuk menjadi saksi antara kami dengan kamu, serta antara keturunan kita kelak, bahawa kami tetap beribadat kepada TUHAN di hadirat-Nya dengan korban bakaran kami, korban sembelihan kami, dan korban kedamaian kami. Dengan demikian anak-anakmu tidak boleh berkata kepada anak-anak kami pada kemudian hari, 'Kamu tidak mempunyai bahagian dalam TUHAN.' 28Oleh sebab itu kata kami, 'Nanti, jika mereka berkata kepada kita atau kepada keturunan kita pada kemudian hari, maka kita akan menjawab, "Lihatlah tiruan mazbah TUHAN yang dibuat oleh nenek moyang kami, bukan untuk korban bakaran dan bukan untuk korban sembelihan, melainkan untuk menjadi saksi antara kami dengan kamu." ' 29Kami tidak akan sekali-kali menderhaka terhadap TUHAN serta berhenti mengikuti TUHAN pada hari ini dengan mendirikan mazbah untuk korban bakaran, persembahan bahan makanan, atau korban sembelihan selain mazbah TUHAN, Allah kita, yang terletak di depan Khemah Suci-Nya!"

30Setelah Imam Pinehas dan para pemimpin umat, iaitu ketua kaum-kaum orang Israel yang menyertainya, mendengar kata-kata yang diucapkan oleh bani Ruben, bani Gad, dan bani Manasye, maka hal itu dipandang baik oleh mereka. 31Lalu kata Pinehas anak Imam Eleazar kepada bani Ruben, bani Gad, dan bani Manasye, "Pada hari ini kami tahu bahawa TUHAN hadir di tengah-tengah kita, kerana kamu tidak melakukan kemungkaran ini terhadap TUHAN. Dengan demikian kamu melepaskan orang Israel daripada hukuman TUHAN."

32Kemudian Pinehas anak Imam Eleazar berserta para pemimpin itu kembali dari tempat bani Ruben dan bani Gad di Tanah Gilead kepada orang Israel di Tanah Kanaan, dan menyampaikan khabar itu kepada mereka. 33Hal itu pun dipandang baik oleh orang Israel. Orang Israel memuji Allah dan tidak lagi berkata hendak mara serta memerangi mereka untuk memusnahkan tanah tempat tinggal bani Ruben dan Gad.

34Bani Ruben dan bani Gad menamai mazbah itu Mazbah Saksi, kerana kata mereka, "Inilah saksi antara kita bahawa TUHAN itulah Allah."