Alkitab Versi Borneo |
Kota-kota perlindungan
1ATUHAN berfirman kepada Yosua, 2"Katakanlah kepada orang Israel demikian, 'Tentukanlah bagimu kota-kota perlindungan yang telah Kufirmankan kepadamu dengan perantaraan Musa, 3supaya orang yang membunuh seseorang tanpa sengaja dan tanpa ada niat sebelumnya dapat melarikan diri ke sana. Kota-kota itu akan menjadi tempat perlindungan bagimu terhadap orang yang hendak menuntut balasan darah. 4Hendaklah orang itu melarikan diri ke salah sebuah daripada kota-kota itu, lalu berdiri di depan pintu gerbang kota dan memaparkan perkaranya kepada para tua-tua kota itu. Kemudian mereka harus membawanya masuk ke dalam kota dan memberinya tempat supaya dia dapat tinggal bersama-sama mereka. 5Jika orang yang menuntut balasan darah itu mengejarnya, mereka tidak boleh menyerahkan pembunuh ke tangannya, kerana dia telah membunuh sesamanya tanpa ada niat dan tanpa membenci orang itu sebelumnya. 6Hendaklah dia tinggal di kota itu sampai dia dihadapkan kepada majlis umat untuk diadili, dan sampai imam besar yang hidup pada masa itu meninggal. Setelah itu, barulah pembunuh itu boleh pulang ke rumahnya di kotanya, iaitu ke kota asalnya sebelum dia melarikan diri.' " 7Kemudian mereka mengkhususkan Kedesh di Galilea, di pergunungan Naftali; Sikhem di pergunungan Efraim; dan Kiryat-Arba, iaitu Hebron, di pergunungan Yehuda. 8Di seberang Sungai Yordan, di sebelah timur Yerikho, mereka menentukan Bezer di gurun, di dataran tinggi, daripada suku Ruben; Ramot di Gilead daripada suku Gad; dan Golan di Basan daripada suku Manasye. 9Itulah kota-kota yang ditentukan bagi seluruh orang Israel dan bagi para pendatang yang tinggal di tengah-tengah mereka, supaya sesiapa pun yang membunuh seseorang secara tidak sengaja dapat melarikan diri ke sana dan tidak dibunuh oleh orang yang menuntut balasan darah sebelum dia dihadapkan kepada majlis umat.