Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Yohanes 4

A A A
Alkitab Versi Borneo

Yesus bercakap dengan perempuan Samaria

1Ketika Yesus mengetahui orang Farisi telah mendengar berita bahawa Dia mendapat dan membaptis lebih ramai murid berbanding dengan Yohanes, 2(sebenarnya para murid Yesus yang membaptis, bukan Yesus), 3Dia pun meninggalkan Yudea lalu pulang ke Galilea semula. 4Dalam perjalanan-Nya itu, Yesus semestinya melalui Samaria.

5ADi Samaria, Yesus sampai di bandar Sikhar, berdekatan dengan sebidang tanah yang dahulu diberikan oleh Yakub kepada anaknya Yusuf. 6Di situ ada sebuah perigi Yakub. Oleh sebab berasa letih setelah berjalan jauh, Yesus duduk berehat di tepi perigi itu. Waktu itu kira-kira jam keenam.i

7Kemudian datanglah seorang perempuan Samaria untuk menimba air. Lalu Yesus berkata kepadanya, "Berilah Aku minum." 8Murid-murid Yesus telah pergi ke bandar untuk membeli makanan.

9BPerempuan Samaria itu menjawab, "Bagaimana Tuan seorang Yahudi meminta minum daripadaku, seorang perempuan Samaria?" (Orang Yahudi tidak berurusan dengan orang Samaria.)

10Yesus menjawab, "Kalaulah kamu mengetahui pemberian Allah, dan siapakah Dia yang berkata kepadamu, 'Berilah Aku minum,' tentulah kamu pula akan meminta daripada-Nya dan Dia akan mengurniaimu air hidup."

11Perempuan itu berkata, "Tuan tidak ada timba. Perigi ini sangat dalam. Bagaimana mungkin Tuan mendapatkan air hidup itu? 12Adakah Tuan lebih besar daripada moyang kami, Yakub, yang mewariskan perigi ini kepada kami? Dia, anak-anaknya dan binatang ternakannya minum air dari perigi ini."

13Yesus berkata, "Sesiapa yang minum air dari perigi ini akan dahaga semula; 14tetapi sesiapa minum air yang Kuberikan kepadanya nanti tidak akan dahaga lagi selama-lamanya. Air yang akan Kuberikan itu akan menjadi mata air dalam dirinya dan memberinya hidup yang kekal."

15Perempuan itu berkata, "Tuan, berikanlah air itu kepadaku, supaya aku tidak dahaga lagi dan tidak perlu lagi datang ke perigi ini mengambil air."

16Yesus menjawab, "Pergilah dahulu, bawa suamimu ke mari."

17Perempuan itu berkata, "Aku tidak ada suami."

Yesus pun berkata, "Memang benar engkau tidak ada suami sekarang. 18Kamu telah berkahwin lima kali. Lelaki yang tinggal denganmu sekarang bukan suamimu. Benarlah katamu itu."

19Perempuan itu berkata, "Tahulah aku sekarang, Tuan ini seorang nabi. 20Nenek moyang kami menyembah Allah di gunung ini, tetapi bangsa Tuan berkata tempat orang menyembah Allah hanya di Yerusalem."

21Yesus berkata, "Hai perempuan, percayalah, akan sampai saatnya kamu menyembah Bapa bukan lagi di gunung ini atau di Yerusalem. 22Kamu menyembah apa yang tidak kamu kenal; sebaliknya, kami menyembah apa yang kami kenal kerana penyelamatan datang daripada orang Yahudi. 23Akan sampai saatnya, malah sudah pun sampai, penyembah sejati akan menyembah Bapa dalam roh dan kebenaran; kerana Bapa menghendaki penyembah yang sedemikian. 24Allah itu Roh, maka orang yang menyembah Dia harus menyembah-Nya dalam roh dan kebenaran."

25Perempuan itu berkata, "Aku tahu Mesias yang disebut Kristus akan datang. Apabila Dia datang, Dia akan memberitahu kami segala-galanya."

26Yesus berkata kepada perempuan itu, "Akulah Dia yang sekarang bercakap denganmu."

27Pada ketika itu para murid Yesus pulang ke situ. Mereka hairan melihat Yesus bercakap dengan seorang perempuan tetapi seorang pun tidak bertanya kepada perempuan itu, "Apa hajatmu?" atau kepada Yesus, "Mengapa Engkau bercakap dengan perempuan ini?"

28Perempuan itu pun meninggalkan bekas airnya di situ lalu pergi ke bandar memberitahu orang di sana apa yang telah berlaku. 29Perempuan itu berkata, "Marilah lihat seorang yang menyebutkan kepadaku segala yang telah kulakukan. Mungkinkah orang itu Kristus?" 30Dengan demikian, orang di bandar pun pergi mendapatkan Yesus.

31Sementara itu, para murid Yesus menggesa-Nya, "Rabbi, makanlah."

32Yesus menjawab, "Aku ada makanan yang tidak kamu ketahui."

33Lalu para murid Yesus tertanya-tanya sesama sendiri, "Adakah sesiapa datang membawakan-Nya makanan tadi?"

34Yesus berkata, "Makanan-Ku itu melaksanakan kehendak Dia yang mengutus-Ku dan menyelesaikan pekerjaan-Nya. 35Bukankah kamu berkata, 'Empat bulan lagi barulah tiba musim menuai?' Tetapi Aku berkata kepadamu, lihatlah ladang yang sudah menguning, sedia untuk dituai. 36Orang yang menuai akan menerima upah dan mendapat hasil untuk hidup kekal. Dengan demikian, penyemai benih dan penuai akan bergembira bersama-sama. 37Dalam hal ini benarlah pepatah, 'Ada yang menyemai, ada pula yang menuai.' 38Aku menyuruhmu menuai ladang yang bukan hasil usahamu. Orang lain yang mengerjakannya, kamu yang mendapat hasilnya."

39Pada masa itu ramai orang Samaria percaya kepada Yesus setelah mendengar perempuan itu berkata, "Dia menyebutkan kepadaku segala yang telah kulakukan." 40Oleh yang demikian, ketika orang Samaria datang menemui Yesus, mereka mengajak-Nya tinggal bersama mereka. Yesus pun tinggal di situ selama dua hari.

41Lebih ramai lagi orang yang percaya kepada Yesus kerana kata-kata-Nya. 42Mereka berkata kepada perempuan itu, "Sekarang kami percaya bukanlah kerana kata-katamu tetapi kerana kami telah mendengar kata-kata-Nya sendiri dan kami tahu Dialah Kristus, Penyelamat dunia."

43Selepas tinggal dua hari di Samaria, Yesus ke Galilea pula, 44Ckerana Yesus sendiri bersaksi bahawa seorang nabi tidak mendapat penghormatan di negerinya sendiri. 45DSetiba-Nya di Galilea, orang Galilea menyambut-Nya. Mereka telah melihat segala yang dilakukan-Nya di Yerusalem pada masa Perayaan Paskah dahulu. Pada ketika itu, mereka juga berada di sana.

Yesus menyembuhkan anak pegawai kerajaan

46ESelepas itu, Yesus pulang ke Kana di Galilea, iaitu tempat Dia mengubah air menjadi air anggur. Seorang pegawai kerajaan di situ mempunyai anak lelaki yang sedang sakit di Kapernaum. 47Apabila pegawai itu mendengar tentang kedatangan Yesus ke Galilea dari Yudea, dia pun pergi berjumpa dengan Yesus. Dia meminta Yesus datang ke Kapernaum untuk menyembuhkan anaknya yang sakit tenat dan hampir maut. 48Tetapi Yesus berkata, "Kalau kamu semua tidak melihat mukjizat dan hal-hal luar biasa, tidaklah kamu percaya."

49Pegawai itu merayu, "Tuan, datanglah segera sebelum anakku mati."

50Yesus pun berkata, "Pergilah, anakmu akan sembuh."

Pegawai itu percaya akan kata-kata Yesus lalu pergi. 51Dalam perjalanannya ke rumah, hambanya datang memberitahu bahawa anaknya itu telah sembuh. 52Apabila pegawai itu bertanya bila anaknya mula pulih, mereka menjawab, "Kelmarin, pada jam ketujuh,ii dia tidak demam lagi."

53Bapa anak itu teringat bahawa pada waktu itulah Yesus telah berkata, "Anakmu akan sembuh." Dengan demikian, pegawai itu dan seluruh keluarganya percaya kepada Yesus.

54Itulah mukjizat Yesus yang kedua dilakukan-Nya di Galilea setelah tiba di situ dari Yudea.