Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Ayub 13

A A A
Alkitab Versi Borneo

Ayub membela diri di hadapan Allah

1"Sesungguhnya, mataku sudah melihat semua itu,

telingaku sudah mendengar dan memahaminya.

2Apa yang kamu ketahui, kuketahui juga,

aku tidak kurang daripada kamu.

3Namun demikian, aku hendak berbicara kepada Yang Maha Kuasa,

aku ingin berperkara dengan Allah.

4Tetapi kamu, kamu yang menutupi kebohongan,

kamu semua tabib yang tidak berguna!

5Andai kamu berdiam diri sahaja,

itu akan menjadi hikmahmu.

6Dengarlah pembelaanku dan perhatikanlah bantahan bibirku.

7Patutkah kamu berbicara tidak benar atas nama Allah,

dan mengucapkan dusta bagi Dia?

8Apakah kamu hendak memihak kepada-Nya?

Apakah kamu hendak berbantah bagi Allah?

9Adakah kamu akan baik-baik sahaja kalau Dia memeriksa kamu?

Dapatkah kamu menipu Dia seperti menipu manusia?

10Pasti Dia akan menegur kamu

jika kamu memihak secara sembunyi-sembunyi.

11Bukankah keluhuran-Nya akan membuatmu gentar,

dan ketakutan terhadap-Nya akan menimpa kamu?

12Mana-mana peringatanmu ialah pepatah-pepatah daripada debu,

pembelaan dirimu ialah pembelaan daripada tanah liat.

13Diamlah, biarkan aku berbicara,

dan biarkanlah apa-apa pun yang akan terjadi kepada diriku.

14Untuk apa aku membahayakan diriku,

dan menatang nyawaku di tanganku?

15Sekalipun Dia membunuhku, aku mahu tetap berharap kepada-Nya.

Hanya, aku hendak membela perilakuku di hadapan-Nya.

16Itulah juga yang akan mendatangkan penyelamatan bagiku,

kerana orang munafik tidak akan datang menghadap-Nya.

17Dengarlah baik-baik kata-kataku,

biarlah akuanku sampai kepada-Mu.

18Lihatlah, aku telah menyusun perkaraku,

dan aku tahu bahawa aku akan didapati benar.

19Siapakah yang mahu bertelingkah dengan aku?

Jika demikian aku akan berdiam diri dan putus nyawa.

20Hanya, kabulkan bagiku dua hal ini,

maka aku tidak akan menyembunyikan diri dari hadirat-Mu:

21jauhkanlah tangan-Mu daripadaku

dan janganlah kedahsyatan-Mu membuat aku takut.

22Kemudian panggillah, dan aku akan menjawab,

atau biarkan aku berbicara, dan Engkau menjawab aku.

23Sebanyak manakah kesalahan dan dosaku?

Beritahulah aku pelanggaran dan dosaku.

24Mengapa Engkau menyembunyikan hadirat-Mu,

dan menganggap aku musuh-Mu?

25Akankah Engkau menyeksa sehelai daun yang diterbangkan angin,

dan memburu tunggul jerami yang kering?

26Engkau menulis hal-hal yang pahit menentang aku,

dan membuat aku mewarisi kesalahan masa mudaku.

27AEngkau memasung kakiku,

dan mengawasi segala pergerakanku.

Engkau memasang batas di sekitar telapak kakiku.

28Atas manusia yang sudah seperti barang lapuk yang membusuk,

seperti pakaian yang dimakan gegat."