Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Ayub 12

A A A
Alkitab Versi Borneo

Ayub mengakui kekuasaan dan hikmah Tuhan

1Lalu Ayub menjawab, 2"Tidak syak lagi, kamulah kalangan itu

dan hikmah akan mati bersama-samamu.

3Aku juga berakal seperti kamu,

aku tidak kurang daripada kamu.

Siapa tidak tahu akan hal-hal semacam itu?

4Aku menjadi bahan ketawa para sahabatku;

aku, orang yang berseru kepada Allah dan yang dijawab oleh-Nya.

Orang yang tulus hati dan tidak bercela menjadi bahan ketawa!

5Orang yang hidup selesa

menghina nasib malang

yang juga tersedia bagi orang yang tergelincir kakinya.

6Khemah para penyamun tidak terganggu,

dan mereka yang membangkitkan murka Allah hidup tenteram;

mereka inilah yang membawa tuhan sendiri dalam tangan.

7Tetapi tanyalah kepada haiwan-haiwan, nescaya mereka akan mengajar engkau;

kepada burung-burung di udara, nescaya akan mereka memberitahu engkau.

8Atau, berkata-katalah dengan bumi, nescaya ia akan mengajar engkau,

dan ikan-ikan di laut pun akan mengisytiharkan kepadamu.

9Siapakah antara semua itu yang tidak tahu

bahawa tangan TUHAN yang melakukan hal ini?

10Dalam tangan-Nyalah nyawa semua yang hidup

dan nafas seluruh umat manusia.

11Bukankah telinga menguji kata-kata

seperti langit-langit mulut mengecap makanan?

12'Dikatakan bahawa hikmah terdapat pada kalangan tua,

dan pengertian pada kalangan yang lanjut usia.'

13Tetapi pada Allah sahaja terdapat hikmah dan keperkasaan,

Dialah yang mempunyai pertimbangan dan pengertian.

14Jika Dia meruntuhkan, tidak ada yang dapat membina kembali.

Jika Dia menangkap seseorang, tidak ada yang dapat melepaskannya.

15Jika Dia menahan air, kering kontanglah semuanya.

Jika Dia melepaskannya, maka bumi pun ditunggangbalikkannya.

16Pada-Nya ada kekuatan dan hikmah,

Punya Dialah orang yang tertipu dan yang menipu.

17Dia menggiring para penasihat yang ditelanjangi

dan para hakim dibodohkan-Nya.

18Dia membuka belenggu para raja

dan mengikat pinggang mereka dengan pengikat.

19Dia menggiring para imam yang ditelanjangi

dan menggulingkan orang yang berkuasa.

20Dia membungkam orang yang dipercayai

dan menghapuskan pertimbangan para tua-tua.

21Dia mencurahkan penghinaan atas para bangsawan

dan melonggarkan ikat pinggang orang kuat.

22Dia menyingkapkan rahsia kegelapan

dan membawa bayang-bayang maut kepada cahaya.

23Dia membuat bangsa-bangsa menjadi besar, lalu membinasakan mereka,

Dia mengembangkan bangsa-bangsa, lalu menggiring mereka.

24Dia menghilangkan akal pemimpin bangsa-bangsa di bumi

dan membuat mereka mengembara di tanah tandus yang tidak ada jalannya.

25Mereka meraba-raba dalam kegelapan yang tidak ada terangnya.

Dia membuat mereka terhuyung-huyung seperti orang mabuk."