Alkitab Versi Borneo |
Tentang Babel 1AFirman yang disampaikan Tuhan mengenai Babel, iaitu mengenai tanah orang Kasdim, dengan perantaraan Nabi Yeremia, 2"Beritahukanlah dalam kalangan bangsa, khabarkanlah, dan angkatlah panji-panji. Khabarkan dan jangan sembunyikan, katakanlah, 'Babel telah direbut. Dewa Bel malu, Dewa Merodakh ketakutan. Patung-patungnya malu, berhala-berhalanya terkejut.' 3Sebuah bangsa akan maju menyerangnya dari sebelah utara, mereka akan menjadikan negerinya tandus, tidak ada lagi penduduknya. Baik manusia mahupun haiwan, semuanya lari pergi. 4Pada waktu itu dan pada saat itu," demikianlah firman Tuhan, "orang Israel akan datang bersama-sama bani Yehuda. Mereka akan berjalan sambil menangis, dan mencari hadirat Tuhan, Allah mereka. 5Mereka akan menanyakan jalan ke Sion, wajah mereka terarah ke sana: 'Mari kita mengikatkan diri kepada Tuhan dalam perjanjian kekal yang tidak akan dapat dilupakan.' 6Umat-Ku seperti domba yang hilang. Gembala-gembalanya membiarkan mereka berkeliaran, tersesat di pergunungan. Mereka berjalan dari gunung ke bukit, mereka lupa akan tempat peristirahatan mereka. 7Semua orang yang mendapati mereka memangsakan mereka. Kata lawan-lawan mereka, 'Kami tidak bersalah, kerana mereka telah berdosa kepada Tuhan, tempat kebenaran, Tuhan, pengharapan nenek moyang mereka.' 8BLarilah dari tengah-tengah Babel, keluarlah dari tanah orang Kasdim. Jadilah seperti kambing jantan yang memimpin kawanannya. 9Sesungguhnya, Aku akan menggerakkan dan membangkitkan sekumpulan bangsa besar dari tanah utara terhadap Babel. Mereka akan mengatur barisan melawan dia, dari sanalah dia akan direbut. Anak-anak panah mereka seperti kesateria yang cukup mahir, yang tidak akan kembali dengan tangan kosong. 10Tanah Kasdim akan menjadi jarahan, semua yang menjarahnya akan puas hati mereka," demikianlah firman Tuhan. 11"Kerana kamu bergembira dan bersuka ria, wahai penjarah harta pusaka-Ku, kerana kamu melompat-lompat seperti lembu betina muda di padang rumput dan meringkik seperti kuda jantan, 12maka ibumu akan menjadi sangat malu, dia yang melahirkan kamu akan mendapat cela. Lihat, dia akan menjadi yang terakhir daripada bangsa-bangsa – suatu padang tandus, tanah gersang, dan gurun. 13Kerana murka Tuhan, tanah itu tidak akan dihuni lagi, melainkan akan menjadi tempat yang sunyi sepi belaka. Setiap orang yang melintasi Babel akan tercengang dan melontarkan cemuh kerana segala hukumannya. 14Aturlah barisan penyerang mengelilingi Babel, wahai para pelentur busur! Panahlah dia, jangan sayang akan anak panahmu, kerana dia telah berdosa terhadap Tuhan. 15Soraklah dia dari segala arah! Dia telah menyerahkan diri, dinding-dinding penyangganya roboh, tembok-temboknya runtuh. Kerana hal ini merupakan pembalasan daripada Tuhan, adakanlah pembalasan terhadapnya! Lakukanlah terhadap dia sebagaimana yang telah dilakukannya. 16Lenyapkanlah dari Babel orang yang menabur benih, dan orang yang memegang sabit pada musim menuai. Untuk menghindari pedang yang mengamuk itu, setiap orang akan kembali kepada bangsanya, setiap orang akan melarikan diri ke negerinya. 17Israel bak domba yang tercerai-berai, dihalau oleh singa-singa. Mula-mula raja Asyur memangsakannya, dan yang belakangan ini, Nebukadnezar, raja Babel, menghancurkan tulang-tulangnya." 18Oleh sebab itu beginilah firman Tuhan alam semesta, Allah Israel, "Sesungguhnya, Aku akan menghukum raja Babel dan negerinya, sebagaimana Aku menghukum raja Asyur. 19Aku akan mengembalikan Israel ke padang ragutnya, dan dia akan merumput di atas Karmel serta Basan. Jiwanya akan puas di atas Pergunungan Efraim dan di Gilead. 20Pada waktu itu dan pada saat itu," demikianlah firman Tuhan, "kesalahan Israel akan dicari tetapi tidak akan ada, begitu pula dosa Yehuda tetapi tidak akan didapati, kerana Aku akan mengampuni orang yang Kujadikan saki-baki. 21Maju, seranglah Tanah Merataim! Seranglah tanah itu dan juga penduduk Pekod. Bunuh dan tumpaskan mereka," demikianlah firman Tuhan, "lakukanlah selaras dengan semua yang Kuperintahkan kepadamu. 22Gemuruh bunyi peperangan di negeri, suatu kehancuran yang besar! 23Betapa patah dan hancur paluan yang memukul seluruh bumi itu! Betapa Babel menjadi kengerian di antara bangsa-bangsa! 24Aku memasang jerat bagimu dan engkau pun tertangkap, wahai Babel, tanpa kausedari. Engkau didapati dan ditangkap juga, kerana engkau telah menentang Tuhan. 25Tuhan telah membuka tempat persenjataan-Nya dan mengeluarkan senjata-senjata murka-Nya, kerana Tuhan, Allah alam semesta, mempunyai suatu pekerjaan di tanah orang Kasdim. 26Datanglah, serang dia dari segala jurusan.
Bukalah jelapang-jelapangnya,
timbunlah dia seperti tompokan barli,
dan tumpaskanlah dia.
Jangan ada yang tersisa daripadanya. 27Bunuhlah semua lembu jantannya, biarlah semuanya rebah untuk dibantai. Malangnya mereka, kerana harinya telah tiba, iaitu masa penghukuman mereka. 28Terdengar suara orang yang melarikan diri dan yang terselamat dari Tanah Babel, memberitahukan di Sion tentang pembalasan Tuhan, Allah kita, pembalasan kerana Bait Suci-Nya. 29CKerahkanlah para pemanah menyerang Babel, semua pelentur busur! Berkhemahlah mengepung dia, jangan ada yang terselamat. Balaslah dia setimpal dengan perbuatannya, lakukanlah terhadapnya sebagaimana yang telah dilakukannya, kerana dia bersikap angkuh terhadap Tuhan, terhadap Yang Maha Suci, yang disembah orang Israel. 30Oleh sebab itu pemudanya akan rebah di tempat-tempat umumnya, semua pejuangnya akan ditumbangkan pada hari itu," demikianlah firman Tuhan. 31"Sesungguhnya, Aku akan menjadi lawanmu, wahai engkau yang angkuh," demikianlah firman Tuhan, Allah alam semesta, "kerana waktumu telah tiba, iaitu saat Aku akan menghukum engkau. 32Si angkuh itu akan tersandung dan jatuh, tidak ada yang mengangkatnya. Aku akan menyalakan api di kota-kotanya, yang akan melahap semua yang ada di sekelilingnya." 33Beginilah firman Tuhan alam semesta, "Orang Israel dan bani Yehuda sama-sama ditindas. Semua yang menawan mereka mencengkeram mereka, dan tidak mahu melepaskan mereka. 34Namun demikian, Penebus mereka kuat. Tuhan alam semesta, ialah nama-Nya. Dia pasti memperjuangkan perkara mereka supaya Dia dapat memberikan ketenangan bagi bumi dan kegemparan bagi penduduk Babel." 35"Pedang terhunus terhadap orang Kasdim," demikianlah firman Tuhan, "terhadap penduduk Babel, terhadap pembesar dan terhadap orang yang bijak. 36Pedang terhunus terhadap para peramal pembohong, sehingga mereka menjadi bodoh. Pedang terhunus terhadap kesaterianya, sehingga mereka menjadi kecut hati. 37Pedang terhunus terhadap kuda-kudanya, terhadap rata-ratanya, dan terhadap segala bangsa campuran yang ada di tengah-tengahnya, sehingga mereka menjadi seperti perempuan. Pedang terhunus terhadap perbendaharaannya, sehingga semuanya dirampas. 38Kemarau menimpa perairannya, sehingga menjadi kering, kerana negeri itu penuh patung ukiran. Mereka menjadi gila dengan berhala mereka. 39DOleh sebab itu binatang gurun dan anjing hutan akan tinggal di sana. Burung untai pun akan tinggal di dalamnya. Negeri itu tidak akan dihuni lagi untuk seterusnya dan tidak akan didiami lagi turun-temurun. 40ESebagaimana Sodom, Gomora, dan kota-kota tetangganya ketika ditunggangbalikkan Allah," firman Tuhan, "demikianlah tidak ada orang yang akan tinggal di sana dan tidak ada anak manusia yang akan tinggal sebagai pendatang di dalamnya. 41Lihat, sebuah pasukan datang dari sebelah utara. Sebuah bangsa yang besar serta ramai rajanya akan digerakkan dari hujung bumi. 42Mereka memegang busur dan lembing. Mereka bengis dan tidak berbelas kasihan. Suara mereka menderu seperti laut dan mereka menunggangi kuda. Seperti orang hendak berperang, mereka mengatur barisan untuk menyerang engkau, wahai puteri Babel. 43Raja Babel mendengar khabar tentang mereka, lalu patahlah semangatnya. Kesesakan mencengkamnya. Dia kesakitan seperti perempuan yang sedang bersalin. 44Sesungguhnya, seperti singa datang dari belukar Sungai Yordan ke padang ragut yang subur, demikianlah secara tiba-tiba Aku akan membuat mereka lari dari sana. Sesiapa yang terpilih akan Kuangkat untuk memerintah mereka. Kerana siapakah seperti Aku? Siapakah yang berani menentang Aku? Siapakah gerangan gembala yang dapat bertahan di hadapan-Ku? 45Oleh sebab itu dengarlah rancangan yang ditetapkan Tuhan menentang Babel dan rancangan yang dibuat-Nya menentang tanah orang Kasdim: Sesungguhnya, yang terkecil daripada kawanan domba itu pun akan diseret. Sesungguhnya, padang ragut mereka sendiri akan tercengang kerana mereka. 46Bumi gempa kerana bunyi penawanan Babel. Teriakan mereka terdengar dalam kalangan bangsa."