Alkitab Versi Borneo |
Tentang bani Amon 1AMengenai bani Amon. Beginilah firman Tuhan, "Adakah Israel tidak punya anak? Adakah ia tidak punya ahli waris? Lalu mengapa Milkom mewarisi Gad dan umatnya tinggal di kota-kotanya? 2Maka sesungguhnya, waktunya akan datang" demikianlah firman Tuhan, "bahawa Aku akan memperdengarkan tempik sorak peperangan menentang Raba, kota bani Amon. Kota itu akan menjadi timbunan puing yang sunyi sepi dan kampung-kampungnya akan dibakar habis. Maka Israel akan memiliki orang yang dahulu memilikinya," demikianlah firman Tuhan. 3"Meraung-raunglah, wahai Hesbon, kerana Ai dirosakkan! Berteriaklah, wahai puteri-puteri Raba, lilitkanlah kain perkabungan, merataplah dan berjalanlah ke sana ke mari di balik tembok, kerana Milkom akan diangkut ke tempat pembuangan dengan para imam dan pemukanya sekali gus. 4Mengapakah engkau bermegah atas lembah-lembahmu yang berkelimpahan, wahai anak perempuan yang tidak setia? Dia bergantung pada hartanya dan berkata, 'Siapakah yang berani datang menyerang aku?' 5Sesungguhnya, Aku akan mendatangkan kengerian atasmu," demikianlah firman Tuhan, Allah alam semesta, "daripada semua orang di sekelilingmu. Kamu akan dihalau, setiap orang ke arah hadapannya. Tidak ada yang mengumpulkan orang pelarian itu. 6Tetapi setelah itu Aku akan memulihkan keadaan bani Amon," demikianlah firman Tuhan. Tentang Edom 7BMengenai Edom. Beginilah firman Tuhan alam semesta, "Tidak adakah lagi kebijaksanaan di Teman? Adakah telah hilang nasihat orang yang berkebijaksanaan? Adakah sudah lenyap kebijaksanaan mereka? 8Larilah, berpalinglah, tinggallah di dalam lubang-lubang yang dalam, wahai penduduk Dedan, kerana Aku akan mendatangkan kemalangan atas Esau pada waktu Aku menghukum dia. 9Jika pemetik buah anggur datang kepadamu, bukankah mereka masih akan meninggalkan sisa-sisa pemetikan? Jika pada malam pencuri datang kepadamu, bukankah mereka akan mengambil sebanyak yang diperlukan mereka. 10Tetapi Aku telah melucuti Esau. Aku telah membuka tempat-tempat persembunyiannya, sehingga dia tidak dapat menyembunyikan diri. Keturunannya, saudaranya, dan jiran tetangganya binasa. Dia pun tidak ada lagi. 11Tinggalkanlah anak-anak yatimmu, Aku akan membiarkan mereka hidup. Biarlah balu-balumu mempercayai Aku." 12Beginilah firman Tuhan, "Sesungguhnya, orang yang tidak ditentukan untuk minum dari cawan itu pun telah meminumnya, masakan engkau bebas sama sekali daripada hukuman? Engkau tidak akan terlepas daripada hukuman, melainkan pasti meminumnya juga. 13Aku telah bersumpah demi diri-Ku," demikianlah firman Tuhan, "bahawa Bozra akan menjadi kengerian, celaan, kerosakan, dan kutukan. Segala kotanya akan menjadi reruntuhan yang kekal." 14Aku telah mendengar pesanan daripada Tuhan, seorang duta telah diutus kepada bangsa-bangsa dengan pesanan, "Berkumpullah dan seranglah dia! Bersiaplah untuk berperang! 15Sesungguhnya, Aku akan menjadikan engkau kecil di antara bangsa dan dihina antara kalangan manusia. 16Kehebatanmu menipu engkau, begitu pula keangkuhan hatimu, wahai engkau yang berdiam di benteng-benteng bukit batu, yang menduduki tempat tinggi di bukit-bukit. Sekalipun engkau membuat sarangmu tinggi seperti burung rajawali, Aku akan menurunkan engkau dari sana," demikianlah firman Tuhan. 17"Edom akan menjadi kengerian. Setiap orang yang melintasinya akan tercengang dan melontarkan cemuhan kerana segala hukumannya. 18CSebagaimana Sodom, Gomora, dan kota-kota tetangganya ketika ditunggangbalikkan," firman Tuhan, "demikianlah tidak ada orang yang akan tinggal di sana dan tidak ada anak manusia yang akan tinggal sebagai pendatang di dalamnya. 19Sesungguhnya, seperti singa datang dari belukar Sungai Yordan ke padang ragut yang subur, demikianlah secara tiba-tiba Aku akan membuat mereka lari dari sana. Sesiapa yang terpilih akan Kuangkat untuk memerintah mereka. Kerana siapakah seperti Aku? Siapakah yang berani mendakwa Aku? Siapakah gerangan gembala yang dapat bertahan di hadapan-Ku? 20Oleh sebab itu dengarlah rancangan yang ditetapkan Tuhan menentang Edom dan rancangan yang dibuat-Nya menentang penduduk Teman: Sesungguhnya, yang terkecil daripada kawanan domba itu pun akan diseret. Sesungguhnya, padang ragut mereka sendiri akan tercengang kerana mereka. 21Bumi gempa kerana bunyi kejatuhan mereka. Bunyi teriakannya terdengar di Laut Merah. 22Lihat, dia membumbung dan terbang cepat seperti burung rajawali, mengembangkan sayapnya atas Bozra. Pada waktu itu hati para kesateria Edom akan seperti hati perempuan yang sedang sakit bersalin." Tentang Damsyik 23DMengenai Damsyik. "Hamat dan Arpad bingung, kerana mereka mendengar khabar buruk. Mereka cemas, resah seperti laut, tidak dapat tenang. 24Damsyik menjadi lemah, ia berpaling untuk melarikan diri, rasa cemas mencengkamnya. Kesesakan dan kesakitan melilitnya seperti perempuan yang sedang bersalin. 25Bagaimanakah orang tidak meninggalkan kota yang terpuji itu, kota kegirangan-Ku? 26Oleh sebab itu pemudanya akan roboh di tempat-tempat umumnya, semua pejuang akan dibisukan pada waktu itu," demikianlah firman Tuhan alam semesta. 27"Aku akan menyalakan api di tembok Damsyik, yang akan melahap puri-puri Benhadad." Tentang Suku-suku Bangsa Arab 28Mengenai Kedar dan kerajaan-kerajaan Hazor yang dikalahkan oleh Nebukadnezar, raja Babel. Beginilah firman Tuhan, "Bersiaplah dan seranglah Kedar, binasakanlah bani Timur! 29Khemah dan kawanan domba mereka akan dirampas. Kain khemah, segala alat kelengkapan, dan unta mereka akan diambil. Orang akan berseru kepada mereka, 'Kegentaran dari segala jurusan!' 30Larilah, larilah cepat-cepat, tinggallah di lubang-lubang yang dalam, wahai penduduk Hazor," demikianlah firman Tuhan, "kerana Nebukadnezar, raja Babel, telah memutuskan untuk menentang kamu dan telah membuat rancangan menentang kamu. 31Ayuh maju, seranglah bangsa yang hidup tenang, yang tinggal dengan aman," demikianlah firman Tuhan, "yang tidak berpintu gerbang atau berpalang pintu, dan berdiam sendirian! 32Unta mereka akan menjadi rampasan, ternakan mereka yang banyak itu akan menjadi jarahan. Aku akan menyerakkan ke segala mata angin orang yang dipotong tepi rambutnya. Aku akan mendatangkan kemalangan kepada mereka daripada segala pihak," demikianlah firman Tuhan. 33"Hazor akan menjadi sarang kawanan serigala, tempat yang sunyi sepi untuk selama-lamanya. Tidak ada orang yang akan tinggal di sana, tidak ada anak manusia yang akan tinggal sebagai pendatang di dalamnya." Tentang Elam 34Firman Tuhan datang kepada Nabi Yeremia mengenai Elam pada permulaan pemerintahan Zedekia, raja Yehuda: 35"Beginilah firman Tuhan alam semesta: Sesungguhnya, Aku akan mematahkan busur Elam, kekuatannya yang utama. 36Aku akan mendatangkan keempat-empat mata angin dari keempat-empat penjuru langit terhadap Elam. Aku akan menyerakkan mereka ke segala mata angin itu. Tidak ada bangsa yang tidak akan kedatangan orang Elam yang terhalau itu. 37Aku akan membuat Elam kecut hati di hadapan musuh-musuhnya dan di hadapan orang yang mengancam nyawanya. Aku akan mendatangkan malapetaka kepada mereka, iaitu murka-Ku yang menyala-nyala," demikianlah firman Tuhan. "Aku akan menyuruh pedang mengejar mereka sehingga Aku menghancurkan mereka. 38Aku akan menempatkan arasy-Kui di Elam dan membinasakan dari sana raja serta para pembesar," demikianlah firman Tuhan. 39"Namun demikian, pada kemudian hari Aku akan memulihkan keadaan Elam," demikianlah firman Tuhan.