Alkitab Versi Borneo |
Tentang orang Filistin 1AFirman Tuhan datang kepada Nabi Yeremia mengenai orang Filistin, sebelum Firaun mengalahkan Gaza. 2Beginilah firman Tuhan, "Lihat, air meluap dari utara menjadi sungai yang menghanyutkan, meliputi negeri dan segala isinya, kota serta penduduknya. Manusia akan menjerit dan seluruh penduduk negeri akan meraung-raung 3mendengar bunyi derap kuku kudanya, mendengar deru rata-ratanya, gemuruh roda-rodanya. Ayah tidak berani menoleh ke belakang kepada anak mereka, semangat mereka patah, 4kerana waktunya telah tiba untuk membinasakan semua orang Filistin dan untuk melenyapkan semua penolong yang masih tinggal di Tirus dan Sidon. Sesungguhnya, Tuhan akan membinasakan orang Filistin, saki-baki orang Pulau Kaftor. 5Gaza menjadi gondol, Askelon dimusnahkan. Wahai orang yang tersisa di lembahnya, berapa lama lagi engkau menoreh-noreh diri? 6Ah, pedang Tuhan, berapa lama lagi baru engkau berhenti? Masuklah ke dalam sarungmu, tenanglah dan diamlah! 7Bagaimanakah dia dapat berhenti, sedangkan Tuhan telah memberinya perintah? Ke Askelon dan ke tepi laut, ke sanalah Dia menetapkannya."