Alkitab Versi Borneo |
Yeremia dimasukkan ke dalam perigi 1Sefaca anak Matan, Gedalya anak Pasyhur, Yukhal anak Selemya, dan Pasyhur anak Malkia mendengar perkataan yang disampaikan Yeremia kepada seluruh rakyat, 2"Beginilah firman Tuhan: Sesiapa yang tetap tinggal di kota ini akan mati oleh pedang, oleh bencana kebuluran, dan oleh wabak penyakit. Tetapi siapa keluar mendapatkan orang Kasdim akan tetap hidup. Nyawanya akan seperti barang jarahan bagi dirinya sendiri. Dia akan tetap hidup. 3Beginilah firman Tuhan: Kota ini pasti diserahkan ke dalam tangan pasukan raja Babel yang akan merebutnya." 4Lalu para pembesar itu berkata kepada raja, "Orang ini harus dihukum mati. Dengan menyampaikan perkataan-perkataan itu, dia mematahkan semangat saki-baki pejuang di kota ini dan seluruh rakyat. Sungguh, orang ini tidak mengikhtiarkan kesejahteraan bagi bangsa ini melainkan malapetaka." 5Kata Raja Zedekia, "Baiklah, dia ada dalam kuasamu, kerana raja tidak dapat berbuat apa-apa menentang kamu." 6Maka mereka mengambil Yeremia dan menurunkannya dengan tali ke dalam perigi milik Malkia, anak raja, yang terletak di pelataran penjagaan. Di perigi itu tidak ada air, hanya lumpur, sehingga Yeremia terperosok ke dalam lumpur. Yeremia ditolong oleh Ebed-Melekh 7Ebed-Melekh, seorang sida-sida bangsa Kush yang tinggal di istana raja, mendengar bahawa Yeremia dimasukkan ke dalam perigi. Pada waktu itu raja sedang duduk di Pintu Gerbang Benyamin. 8Maka keluarlah Ebed-Melekh dari istana dan berbicara kepada raja, 9"Ya Tuanku Raja, mereka itu telah berbuat jahat dalam segala hal yang dilakukan mereka terhadap Nabi Yeremia. Mereka memasukkannya ke dalam perigi. Dia akan mati kelaparan di tempat itu kerana tidak ada lagi roti di kota." 10Lalu raja memberikan perintah kepada Ebed-Melekh, orang Kush itu, "Bawalah tiga puluh orang dari sini dan angkatlah Nabi Yeremia dari perigi itu sebelum dia mati." 11Maka Ebed-Melekh membawa tiga puluh orang masuk ke dalam istana raja, ke ruang di bawah perbendaharaan. Dari sana diambil mereka pakaian-pakaian usang dan buruk, lalu diturunkan mereka dengan tali kepada Yeremia di dalam perigi itu. 12Kata Ebed-Melekh, orang Kush itu, kepada Yeremia, "Kepitlah pakaian-pakaian usang dan buruk itu di bawah ketiakmu sebagai ganjal tali." Maka Yeremia pun berbuat demikian. 13Lalu mereka menarik dan mengangkat Yeremia dari dalam perigi itu dengan tali. Kemudian Yeremia tinggal di pelataran penjagaan itu. Pembicaraan terakhir dengan Raja Zedekia 14Raja Zedekia menyuruh orang untuk membawa Nabi Yeremia menghadap dia di pintu ketiga di Bait Tuhan. Kata raja kepada Yeremia, "Aku mahu menanyakan sesuatu kepadamu. Jangan sembunyikan apa-apa daripadaku." 15Jawab Yeremia kepada Zedekia, "Apabila aku memberitahukannya kepadamu, bukankah engkau akan menjatuhkan hukuman mati terhadapku? Apabila aku memberikan nasihat kepadamu, engkau tidak akan mendengar aku." 16Maka Raja Zedekia bersumpah secara diam-diam kepada Yeremia, katanya, "Demi Tuhan yang hidup, yang menjadikan nyawa kita ini, aku tidak akan menjatuhkan hukuman mati atasmu dan tidak akan menyerahkan engkau ke dalam tangan orang yang mengancam nyawamu itu." 17Kata Yeremia kepada Zedekia, "Beginilah firman Tuhan, Allah alam semesta, Allah Israel, 'Jika engkau mahu keluar menyerah kalah kepada para perwira raja Babel, maka nyawamu akan terpelihara dan kota ini tidak akan dibakar habis. Engkau dan keluargamu akan tetap hidup. 18Tetapi jika engkau tidak mahu keluar menyerah kalah kepada perwira raja Babel, maka kota ini akan diserahkan ke dalam tangan orang Kasdim dan mereka akan membakarnya habis. Engkau tidak akan terselamat daripada tangan mereka." 19Kata Raja Zedekia kepada Yeremia, "Aku khuatir kepada orang Yehuda yang telah membelot kepada orang Kasdim. Jangan-jangan aku diserahkan ke dalam tangan mereka lalu mereka mempermainkan aku." 20Jawab Yeremia, "Mereka tidak akan menyerahkan engkau. Patuhilah Tuhan dalam hal yang kusampaikan kepadamu, maka keadaanmu akan baik dan nyawamu akan terpelihara. 21Tetapi jika engkau menolak untuk keluar, inilah firman yang dinyatakan Tuhan kepadaku: 22Sungguh, semua perempuan yang masih tinggal di istana raja Yehuda akan digiring keluar menghadap para perwira raja Babel. Perempuan-perempuan itu akan berkata: 'Engkau dipujuk dan dikalahkan oleh sahabat-sahabatmu. Ketika kakimu terperosok ke dalam lumpur, mereka mundur.' 23Semua isterimu dan anakmu akan digiring keluar ke hadapan orang Kasdim. Engkau sendiri tidak akan terselamat daripada tangan mereka, melainkan akan ditangkap oleh tangan raja Babel. Dengan demikian engkau akan menyebabkan kota ini dibakar habis." 24Kata Zedekia kepada Yeremia, "Jangan beritahu siapa-siapa pun pembicaraan ini, supaya engkau tidak mati. 25Apabila para pembesar mendengar bahawa aku telah berbicara dengan engkau, lalu mereka mendatangimu dan berkata, 'Beritahulah kami apa yang telah kaukatakan kepada raja dan apa yang dikatakan raja kepadamu. Jangan sembunyikan daripada kami, supaya engkau tidak kami bunuh,' 26maka katakanlah kepada mereka, 'Aku menyampaikan permohonanku kepada raja, supaya aku tidak dikembalikannya ke rumah Yonatan untuk mati di sana.' " 27Semua pembesar itu memang datang kepada Yeremia dan bertanya kepadanya, tetapi dia menjawab mereka selaras dengan semua perkataan yang dipesankan raja tadi. Mereka pun berhenti berbicara dengan dia, kerana perkara itu tidak diketahui siapa-siapa pun. 28AYeremia tinggal di pelataran penjagaan sampai hari Yerusalem ditawan.