Alkitab Versi Borneo |
Janji pemulihan keadilan Yerusalem dan Yehuda 1Ketika Yeremia masih terkurung di pelataran penjagaan, datanglah firman Tuhan kepadanya untuk kali keduanya demikian, 2"Beginilah firman Tuhan yang menjadikan bumi – Tuhan, yang membentuk dan menegakkannya; Tuhan nama-Nya: 3'Berserulah kepada-Ku, maka Aku akan menjawab engkau dan menyatakan kepadamu hal-hal yang besar dan tidak terselami, iaitu hal-hal yang tidak kauketahui.' 4Beginilah firman Tuhan, Allah Israel, mengenai rumah-rumah di kota ini dan mengenai gedung-gedung istana raja Yehuda yang dirobohkan untuk digunakan untuk menghadapi tambak-tambak pengepung dan pedang, 5'Orang akan datang memerangi orang Kasdim dan kota ini akan dipenuhi mayat manusia yang Kumusnahkan dalam murka-Ku dan dalam amarah-Ku. Aku telah menyembunyikan hadirat-Ku dari kota ini kerana segala kejahatan mereka. 6Sesungguhnya, Aku akan mendatangkan kesihatan dan kesembuhan bagi kota ini. Aku akan menyembuhkan mereka dan menyatakan kepada mereka kesejahteraan serta kebenaran yang berlimpah-limpah. 7Aku akan memulihkan keadaan Yehuda dan keadaan Israel lalu membangunkan mereka seperti sebelumnya. 8Aku akan menyucikan mereka daripada segala kesalahan yang dilakukan mereka dengan berdosa terhadap Aku. Aku akan mengampunkan segala kesalahan yang dilakukan mereka dengan berdosa dan menderhaka terhadap Aku. 9Bagi-Ku kota ini akan menjadi pokok kegirangan yang ternama, terpuji, dan terhormat di depan segala bangsa di bumi yang akan mendengar segala kebaikan yang Kulakukan terhadapnya. Mereka akan takut dan gementar kerana segala kebaikan dan segala kesejahteraan yang Kulakukan terhadapnya.' 10Beginilah firman Tuhan, 'Di tempat ini, yang kamu katakan telah rosak, tanpa manusia dan tanpa haiwan – di kota-kota Yehuda dan di jalan-jalan Yerusalem yang sunyi, tanpa manusia, tanpa penduduk, dan tanpa haiwan – akan terdengar lagi 11Asuara kegirangan dan suara kegembiraan, suara pengantin lelaki dan suara pengantin perempuan, suara orang yang membawa korban syukur ke Bait Tuhan sambil berkata, "Mengucap syukurlah kepada Tuhan alam semesta, kerana Tuhan itu baik, kasih-Nya kekal selama-lamanya!" Aku akan memulihkan keadaan negeri ini seperti sebelumnya,' demikianlah firman Tuhan. 12Beginilah firman Tuhan alam semesta, 'Di tempat ini, yang telah rosak, tanpa manusia dan haiwan, dan di segala kotanya akan ada lagi padang ragut bagi para gembala untuk membaringkan kawanan domba. 13Di kota-kota pergunungan, di kota-kota dataran rendah, di kota-kota Tanah Negeb, di Tanah Benyamin, di sekeliling Yerusalem, dan di kota-kota Yehuda, kawanan domba akan berlalu lagi di bawah tangan orang yang menghitungnya,' demikianlah firman Tuhan." Perjanjian dengan keturunan Daud dan keturunan Lewi 14B"Sesungguhnya, waktunya akan datang," demikianlah firman Tuhan, "bahawa Aku akan menepati janji yang baik yang telah Kufirmankan kepada keturunan kaum Israel dan keturunan kaum Yehuda. 15Pada waktu itu dan pada saat itu Aku akan menumbuhkan Tunas yang benar bagi Daudi.
Dia akan menegakkan keadilan dan perbenaranii di negeri. 16Pada masa itu Yehuda akan diselamatkan dan Yerusalem akan berdiam dengan aman. Inilah nama yang akan disebutkan kepadanya, 'Tuhan sumber perbenaran kita.' " 17CBeginilah firman Tuhan, 'Tidak akan terputus keturunan Daud yang duduk di atas takhta kerajaan keturunan kaum Israel. 18DTidak akan terputus di hadapan-Ku keturunan imam bani Lewi yang mempersembahkan korban bakaran, membakar persembahan bahan makanan, dan mengolah korban sembelihan sepanjang masa.' " 19Firman Tuhan datang kepada Yeremia demikian, 20"Beginilah firman Tuhan, 'Jika kamu dapat membatalkan perjanjian-Ku dengan siang dan dengan malam, sehingga siang dan malam tidak datang lagi pada waktunya, 21barulah perjanjian-Ku dengan hamba-Ku Daud dapat dibatalkan sehingga tidak ada keturunannya yang memerintah di atas takhtanya. Begitu juga perjanjian-Ku dengan para imam bani Lewi, iaitu orang yang menyelenggarakan ibadat di hadapan-Ku. 22Seperti benda langit tidak terhitung dan pasir laut tidak tertakung, demikianlah Aku akan memperbanyak keturunan hamba-Ku Daud dan bani Lewi yang menyelenggarakan ibadat di hadapan-Ku." 23Firman Tuhan datang kepada Yeremia demikian, 24"Tidakkah kauperhatikan apa yang diucapkan bangsa ini? Mereka berkata, 'Tuhan telah menolak kedua-dua kaum yang dipilih-Nya.' Mereka menista umat-Ku sehingga tidak lagi menganggapnya sebagai sebuah bangsa. 25Beginilah firman Tuhan, 'Jika tidak Kubuat perjanjian dengan siang dan malam, dan tidak Kubuat ketetapan mengenai langit dan bumi, 26barulah Aku akan menolak keturunan Yakub dan hamba-Ku Daud, sehingga tidak ada seorang pun daripada keturunannya yang akan diangkat untuk berkuasa atas keturunan Abraham, Ishak, dan Yakub. Akan tetapi, Aku akan memulihkan keadaan mereka dan mengasihani mereka.' "