Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Yeremia 28

A A A
Alkitab Versi Borneo

Hananya, nabi sesat

1APada tahun itu juga, pada awal zaman pemerintahan Zedekia raja Yehuda, iaitu tahun keempat pada bulan kelima, Nabi Hananya anak Azur yang berasal dari Gibeon berkata kepadaku dalam Bait Tuhan, di hadapan mata para imam dan seluruh rakyat, 2"Beginilah firman Tuhan alam semesta, Allah Israel, 'Aku telah mematahkan kuk raja Babel. 3Dalam dua tahun ini Aku akan mengembalikan ke tempat ini segala alat kelengkapan Bait Tuhan yang telah diambil dari tempat ini oleh Nebukadnezar, raja Babel, dan yang dibawanya ke Babel. 4Aku juga akan mengembalikan ke tempat ini Yekhonya anak Yoyakim, raja Yehuda, dengan semua orang buangan dari Yehuda yang dibawa ke Babel,' demikianlah firman Tuhan, 'kerana Aku akan mematahkan kuk raja Babel.' "

5Lalu Nabi Yeremia menjawab Nabi Hananya di hadapan mata para imam dan seluruh rakyat yang hadir di Bait Tuhan. 6Nabi Yeremia berkata, "Amin! Semoga Tuhan berbuat demikian. Semoga Tuhan menepati hal-hal yang kamu nubuatkan itu dengan mengembalikan segala alat kelengkapan Bait Tuhan dan semua orang buangan dari Babel ke tempat ini. 7Hanya, cubalah dengar perkataan yang kusampaikan kepadamu dan kepada seluruh rakyat ini. 8Para nabi yang ada sebelum aku dan sebelum engkau sejak dahulukala telah bernubuat mengenai peperangan, malapetaka, dan wabak penyakit yang akan melanda banyak negeri serta kerajaan besar. 9Nabi yang menubuatkan kedamaian hanya akan diakui sebagai nabi yang benar-benar diutus Tuhan jika kata-kata ucapannya menjadi kenyataan."

10Kemudian Nabi Hananya mengambil kuk dari tengkuk Nabi Yeremia lalu mematahkannya. 11Di depan mata seluruh rakyat Hananya berkata demikian, "Beginilah firman Tuhan, 'Begitulah akan Kupatahkan kuk Nebukadnezar, raja Babel, dari tengkuk segala bangsa dalam dua tahun ini.' " Nabi Yeremia pun pergi meneruskan perjalanannya.

12Lalu datanglah firman Tuhan kepada Yeremia setelah Nabi Hananya mematahkan kuk daripada tengkuk Nabi Yeremia, 13"Pergilah dan katakanlah kepada Hananya, 'Beginilah firman Tuhan, "Engkau telah mematahkan kuk daripada kayu, tetapi engkau akan membuat kuk daripada besi sebagai gantinya." 14Beginilah firman Tuhan alam semesta, Allah Israel, "Aku telah memasang kuk daripada besi pada tengkuk segala bangsa ini, supaya mereka takluk kepada Nebukadnezar, raja Babel. Mereka akan takluk kepadanya. Bahkan binatang liar pun telah Kuserahkan kepadanya.' "

15Kemudian Nabi Yeremia berkata kepada Nabi Hananya, "Dengarlah, wahai Hananya! Tuhan tidak mengutus engkau, tetapi engkau telah membuat rakyat ini mempercayai dusta. 16Oleh sebab itu beginilah firman Tuhan, 'Sesungguhnya, Aku akan mengusir engkau dari muka bumi. Pada tahun ini juga engkau akan mati, kerana engkau mengajarkan pembelotan terhadap Tuhan.' "

17Maka matilah Nabi Hananya pada tahun itu juga pada bulan ketujuh.