Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Yeremia 19

A A A
Alkitab Versi Borneo

Pengajaran daripada kendi yang pecah

1Beginilah firman Tuhan, "Pergilah, belilah sebuah kendi daripada tanah liat buatan tukang periuk. Bawalah bersama-samamu tua-tua bangsa ini dan tua-tua daripada kalangan imam, 2Alalu pergilah ke Lembah Ben-Hinom yang terletak di depan Pintu Gerbang Beling. Serukanlah di sana firman yang akan Kusampaikan kepadamu. 3Katakanlah, 'Dengarlah firman Tuhan, wahai raja-raja Yehuda dan penduduk Yerusalem. Beginilah firman Tuhan alam semesta, Allah Israel: Sesungguhnya, Aku akan mendatangkan malapetaka terhadap tempat ini sehingga sesiapa pun yang mendengarnya akan berdenging telinganya. 4Itu terjadi kerana mereka telah meninggalkan Aku dan membuat tempat ini menjadi asing. Mereka telah membakar dupa kepada tuhan-tuhan lain yang tidak dikenal oleh mereka sendiri, oleh nenek moyang mereka, dan oleh raja-raja Yehuda. Mereka telah memenuhi tempat ini dengan darah orang yang tidak bersalah. 5BMereka membina bukit-bukit pemujaan bagi Baal untuk membakar habis anak-anak mereka sebagai korban bakaran bagi Baal – suatu hal yang tidak pernah Kuperintahkan atau Kufirmankan, dan yang tidak pernah timbul dalam hati-Ku. 6Oleh sebab itu ketahuilah, waktunya akan datang, demikianlah firman Tuhan, bahawa tempat ini tidak lagi akan disebut Tofet atau Lembah Ben-Hinom, tetapi Lembah Pembunuhan. 7Di tempat ini Aku akan menggagalkan rancangan Yehuda dan Yerusalem. Aku akan membuat mereka tewas oleh pedang di depan musuh-musuh mereka dan oleh tangan orang yang mengancam nyawa mereka. Aku akan memberikan mayat mereka sebagai makanan bagi burung-burung di udara dan binatang-binatang di bumi. 8Aku akan membuat kota ini menjadi kengerian dan cemuhan. Setiap orang yang melintasinya akan tercengang dan melontarkan cemuhan kerana segala hukumannya. 9Aku akan membuat mereka begitu terdesak sehingga mereka memakan daging anak-anak mereka, baik lelaki mahupun perempuan. Setiap orang akan memakan daging kawannya dalam pengepungan dan kesesakan yang ditimbulkan oleh musuh-musuh mereka serta orang yang mengancam nyawa mereka.'

10Setelah itu, pecahkanlah kendi-kendi itu di hadapan mata orang yang pergi bersama-samamu. 11Katakan kepada mereka, 'Beginilah firman Tuhan alam semesta: Demikianlah Aku akan memecahkan bangsa ini dan kota ini sama seperti orang memecahkan bejana buatan tukang periuk sehingga tidak dapat diperbaik lagi. Tofet akan menjadi tempat menguburkan orang hingga tidak ada tempat untuk menguburkan lagi. 12Begitulah akan Kulakukan terhadap tempat ini dan terhadap penduduknya, demikianlah firman Tuhan. Aku akan membuat kota ini seperti Tofet. 13Rumah di Yerusalem dan rumah raja-raja Yehuda akan menjadi najis seperti tempat Tofet, iaitu semua rumah yang bumbungnya menjadi tempat membakar dupa bagi segala benda langit dan tempat mencurahkan persembahan minuman kepada tuhan lain."

14Setelah Yeremia pulang dari Tofet, tempat Tuhan mengutusnya untuk bernubuat, dia berdiri di pelataran Bait Tuhan dan berkata kepada seluruh rakyat, 15"Beginilah firman Tuhan alam semesta, Allah Israel, 'Sesungguhnya, Aku akan mendatangkan segala malapetaka yang pernah Kufirmankan terhadap kota ini dan terhadap semua kampungnya, kerana mereka telah mengeraskan hati dan tidak mendengar firman-Ku.' "