Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Yeremia 15

A A A
Alkitab Versi Borneo
1BTuhan berfirman kepadaku, "Sekalipun Musa dan Samuel menghadap hadirat-Ku, hati-Ku tidak akan tertuju kepada bangsa ini. Nyahkanlah mereka dari hadirat-Ku, biarlah mereka pergi! 2CNanti, apabila mereka bertanya kepadamu, 'Ke manakah kami harus pergi?' jawablah mereka, 'Beginilah firman Tuhan, "Yang ke maut, ke mautlah!

Yang ke pedang, ke pedanglah!

Yang ke bencana kebuluran, ke bencana kebuluranlah!

Yang ke tempat penawanan, ke tempat penawananlah!"

3"Aku akan menentukan empat bencana terhadap mereka," demikianlah firman Tuhan, "pedang untuk membunuh, anjing untuk menyeret-nyeret, burung di udara dan binatang di bumi untuk membaham serta memusnahkan. 4DAku akan menjadikan mereka suatu bahan kengerian bagi semua kerajaan di bumi kerana hal yang dilakukan Manasye anak Hizkia, raja Yehuda, di Yerusalem."

Kengerian yang ditimbulkan perang

5"Siapakah yang akan berbelas kasihan terhadap engkau, wahai Yerusalem?

Siapakah yang akan berdukacita kerana engkau?

Siapakah yang akan singgah bertanyakan khabarmu?

6Engkau telah menolak Aku,"

demikianlah firman Tuhan,

"engkau berpaling pergi.

Oleh sebab itu Aku menghulurkan tangan-Ku untuk melawan dan membinasakan engkau.

Aku tidak lagi berbelas kasihan.

7Aku menampi mereka dengan nyiru di pintu-pintu gerbang negeri itu.

Aku membuat mereka kehilangan anak, Aku membinasakan umat-Ku.

Mereka tidak juga bertaubat daripada perilaku mereka.

8Aku membuat bilangan balu mereka lebih banyak daripada pasir di laut.

Aku mendatangkan pembinasa pada tengah hari

kepada ibu anak-anak muda.

Dengan tiba-tiba Aku menimpakan terhadap mereka

kesakitan dan kegerunan.

9Meranalah perempuan yang sudah tujuh kali bersalin,

dan menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Mataharinya terbenam sedangkan hari masih siang,

dia mendapat malu dan cela.

Sisa mereka akan Kuserahkan kepada pedang

di depan musuh-musuh mereka,"

demikianlah firman Tuhan.

Pergelutan jiwa Yeremia

10Malangnya aku, ya ibuku,

kerana engkau melahirkan aku,

seorang yang menjadi pokok perbantahan,

seorang yang menjadi pokok pertengkaran bagi seluruh negeri.

Aku tidak memberi hutang,

dan juga aku tidak berhutang,

tetapi mereka semua mengutuk aku.

11Firman Tuhan, "Sesungguhnya, Aku akan membebaskan engkau demi yang baik.

Aku akan membuat musuhmu bermohon kepadamu

pada masa kesusahan dan pada masa kesesakan.

12Dapatkah orang mematahkan besi, iaitu besi dari utara, atau gangsa?

13Harta kekayaanmu dan perbendaharaanmu akan Kuserahkan sebagai rampasan,

tanpa harga, kerana segala dosamu di seluruh daerahmu.

14Aku akan membuat musuh-musuhmu membawanya ke negeri yang tidak kaukenali,

kerana dalam murka-Ku telah tercetus api yang akan menyala terhadapmu."

15Engkau Maha Mengetahui, ya Tuhan,

ingatlah dan lawatlah kiranya aku.

Adakanlah pembalasan bagiku terhadap orang yang mengejar aku.

Jangan cabut nyawaku,

kerana Engkau panjang sabar.

Ketahuilah bahawa aku menanggung celaan kerana Engkau.

16Ketika kudapati firman-Mu,

aku menikmatinya.

Firman-Mu ialah kegirangan bagiku dan kesukaan hatiku,

kerana nama-Mu telah diserukan atasku ya Tuhan, Allah alam semesta.

17Aku tidak pernah duduk dalam kumpulan orang yang bersenda gurau atau bersuka ria.

Kerana tekanan tangan-Mu aku duduk sendirian,

sebab Engkau telah memenuhi aku dengan geram.

18Mengapa deritaku terus berlanjutan dan lukaku sangat parah,

tidak mahu sembuh?

Sungguh, Engkau seperti sungai yang menipu bagiku,

air yang tidak dapat diharapkan.

19Oleh sebab itu beginilah firman Tuhan, "Jika engkau mahu bertaubat,

maka Aku akan memulihkan engkau sehingga engkau dapat mengabdikan diri kepada-Ku.

Jika engkau mengutarakan apa yang berharga,

bukan apa yang hina,

maka engkau akan menjadi penyambung lidah bagi-Ku.

Orang akan kembali kepadamu,

tetapi engkau tidak perlu kembali kepada mereka.

20Terhadap bangsa ini Aku akan menjadikan engkau tembok berkubu daripada gangsa.

Mereka akan berperang melawan engkau tetapi tidak akan menewaskan engkau,

kerana Aku menyertai engkau untuk menyelamatkan dan melepaskan engkau,"

demikianlah firman Tuhan.

21"Aku akan melepaskan engkau daripada tangan orang jahat,

Aku akan menebus engkau daripada genggaman orang kejam."