Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Yesaya 57

A A A
Alkitab Versi Borneo
1Orang benar binasa,

tetapi tiada sesiapa yang ambil peduli.

Orang salih kehilangan nyawa,

dan tidak ada yang faham

bahawa orang benar itu kehilangan nyawanya supaya terhindar daripada malapetaka.

2Dia memasuki kedamaian.

Orang yang hidup lurus mendapat ketenteraman di peristirahatan terakhirnya.

3"Tetapi kamu, datanglah dekat ke mari, wahai anak-anak daripada perempuan penenung,

wahai keturunan penzina dan perempuan sundal!

4Terhadap siapakah kamu bermain-main?

Terhadap siapakah kamu mengangakan mulut dan menjulurkan lidah?

Bukankah kamu ini anak-anak derhaka, keturunan pendusta?

5Kamu terbakar oleh nafsu di antara pokok oak,

di bawah setiap pokok yang rimbun.

Kamu menyembelih anak-anak di lembah-lembah,

di bawah celah-celah bukit batu.

Penyembahan berhala sebagai perzinaan

6Berhala kamu ada di antara batu licin di lembah,

hanya itulah bahagianmu!

Kepada mereka juga engkau mencurahkan persembahan minuman dan memberikan persembahan bahan makanan.

Masakan Aku berlapang hati melihat hal-hal ini?

7Engkau menaruh pembaringanmu di atas gunung yang tinggi dan menjulang.

Ke sana juga engkau naik untuk mempersembahkan korban sembelihan.

8Engkau memasang lambang berhalamu di balik pintu dan di tiang pintu.

Ya, engkau meninggalkan Aku dan menelanjangi dirimu,

engkau menaiki tempat tidurmu dan memperluasnya.

Engkau mengikat perjanjian dengan mereka,

engkau menyukai tempat tidur mereka dan memandangi aurat mereka.

9Engkau pergi menghadap Molokh dengan membawa minyak,

dan engkau memperbanyak wangianmu.

Engkau mengutus duta-dutamu sampai ke tempat yang jauh,

dan merendahkan dirimu sampai ke alam kubur.

10Engkau penat kerana perjalananmu jauh,

tetapi engkau tidak berkata,

"Aku putus asa!"

Engkau mendapat kekuatan baru,

sebab itu engkau tidak menjadi lemah.

11Terhadap siapakah engkau khuatir dan takut sehingga engkau berdusta dan tidak mengingati Aku atau memperhatikan Aku?

Bukankah Aku berdiam diri lama sekali sehingga engkau tidak takut kepada-Ku?

12Aku akan menyatakan perbenaranmui dan perbuatan-perbuatanmu,

tetapi semua itu tidak akan berfaedah bagimu.

13Apabila engkau berseru-seru,

biarlah kumpulan berhalamu melepaskan engkau.

Mereka semua akan diterbangkan angin, akan dilenyapkan oleh hembusan nafas.

Tetapi siapa yang berlindung kepada-Ku akan mewarisi negeri ini dan memiliki gunung-Ku yang suci."

Kata-kata penghiburan

14Dan Dia akan berkata,

"Bukalah, bukalah, persiapkanlah jalan!

Angkatlah batu sandungan dari jalan umat-Ku!"

15Kerana beginilah firman Yang Maha Tinggi dan Yang Maha Mulia,

yang bersemayam dalam kekekalan dan yang suci nama-Nya,

"Aku bersemayam di tempat yang tinggi dan suci,

tetapi juga bersama-sama orang yang hancur hati dan rendah hati,

untuk menyegarkan semangat orang yang rendah hati dan untuk menyegarkan hati yang hancur.

16Aku tidak mahu berbantah untuk selama-lamanya,

dan Aku tidak mahu terus-menerus murka,

nanti semangat orang menjadi lemah di hadapan-Ku,

begitu pula nafas manusia yang Kujadikan.

17Aku murka kerana kesalahannya dalam hal ketamakan.

Aku menghukum dia,

menyembunyikan diri-Ku, dan murka,

tetapi dia terus murtad di jalan yang dipilih hatinya.

18Aku telah melihat jalan-jalannya itu,

tetapi Aku akan menyembuhkan dan memimpin dia.

Aku akan memulihkan dia dengan penghiburan.

Pada bibir orang yang berkabung

19Aakan Kuciptakan puji-pujian.

Damai, damai sejahtera bagi setiap orang yang jauh dan yang dekat,"

demikianlah firman TUHAN,

"Aku akan menyembuhkan dia."

20Tetapi orang fasiq seperti laut yang bergelora kerana tidak dapat tenang,

dan airnya menimbulkan pasir serta lumpur.

21B"Tidak ada kedamaian bagi orang fasiq,"

demikianlah firman Allahku.