Alkitab Versi Borneo |
Berita pembebasan 1"Hiburkanlah, hiburkanlah umat-Ku," demikian firman Allahmu. 2"Bicaralah untuk menenangkan hati Yerusalem
dan serukanlah kepadanya
bahawa peperangannya sudah berakhir,
bahawa kesalahannya telah diampunkan,
dan bahawa ia telah menerima hukuman daripada tangan TUHAN
dua kali lipat ganda atas segala dosanya." 3ABAda suara yang berseru,
"Sediakanlah jalan untuk TUHAN di gurun,
luruskanlah jalan raya bagi Allah kita di belantara! 4Setiap lembah harus ditinggikan, setiap gunung dan bukit harus direndahkan. Tanah yang berbukit-bukit harus dijadikan rata dan yang berlereng-lereng dijadikan dataran. 5Maka kemuliaan TUHAN akan dinyatakan
dan semua manusia akan melihatnya bersama-sama,
kerana TUHAN sendiri telah berfirman." 6CAda suara yang berkata, "Berserulah!" Jawab Yesaya, "Apakah yang harus kuserukan?" "Semua manusia umpama rumput dan segala kemuliaannya umpama bunga di padang. 7Rumput layu dan bunga gugur
apabila TUHAN menghembusnya dengan nafas-Nya.
Sesungguhnya, bangsa itu seperti rumput. 8Rumput layu dan bunga luruh, tetapi firman Allah kita kekal selama-lamanya." 9Naikilah gunung yang tinggi, wahai engkau yang membawa khabar baik ke Sion! Angkatlah suaramu kuat-kuat, wahai engkau yang membawa khabar baik ke Yerusalem! Angkatlah suaramu, jangan takut! Katakanlah kepada kota-kota Yehuda, "Lihat, itu Allahmu!" 10DLihat, Tuhan ALLAH datang dengan kekuatan,
dan dengan tangan-Nya Dia akan berkuasa.
Lihat, pahala yang dibawa-Nya bersama,
dan ganjaran-Nya ada di hadapan-Nya. 11EDia menggembala kawanan domba-Nya seperti seorang gembala. Dia mengumpulkan anak domba dengan tangan-Nya dan mendukung mereka rapat ke dada-Nya. Dia akan membimbing induk-induk domba yang menyusu dengan lembut. Tidak ada yang setara dengan Allah
12Siapakah yang menyukat air di telapak tangannya, yang mengukur langit dengan jengkal,
yang memuat debu tanah di dalam takaran,
yang menimbang gunung-gunung dengan timbangan
dan bukit-bukit dengan neraca? 13FSiapakah yang mengetahui fikiran TUHAN,
atau mengarahkan-Nya sebagai penasihat-Nya? 14Kepada siapakah Dia meminta nasihat untuk mendapat pemahaman dan siapakah yang mengajar-Nya jalan keadilan? Siapakah yang mengajar-Nya pengetahuan dan memberitahukan jalan pengertian kepada-Nya? 15Sesungguhnya, bangsa-bangsa seperti setitik air dalam timba dan dianggap seperti debu pada neraca. Sesungguhnya, Dia mengangkat pulau-pulau seperti debu halus. 16Lebanon tidak cukup untuk dijadikan kayu api dan binatang-binatangnya tidak cukup untuk dijadikan korban bakaran. 17Segala bangsa seperti tidak ada di hadapan-Nya, mereka dianggap-Nya hampa dan sia-sia. 18GDengan siapakah kamu hendak menyamakan Allah? Dengan gambarani apakah kamu hendak membandingkan Dia? 19Patung ukiran? Tukang besi menuangnya, lalu tukang emas menyalutnya dengan emas dan membuat rantai perak untuknya. 20Orang yang terlalu miskin untuk memberikan persembahan semacam itu memilih kayu yang tidak lekas lapuk. Dicarinya tukang yang ahli untuk menegakkan patung ukiran yang tidak akan goyah. 21Tidakkah kamu tahu? Tidakkah kamu dengar? Tidakkah diberitahukan kepadamu sejak mula-mula lagi? Tidakkah kamu mengerti sejak bumi diletakkan dasarnya? 22Dialah yang bertakhta di atas bulatan bumi, yang penduduknya seperti belalang. Dialah yang membentangkan langit seperti tirai dan merentangkannya seperti khemah kediaman. 23Dialah yang meniadakan para penguasa dan yang membuat para hakim di bumi seperti sia-sia sahaja. 24Belum lama mereka ditanam, belum lama mereka ditabur, belum lama batangnya berakar di tanah, Dia pun menghembus mereka sehingga mereka layu dan diterbangkan badai seperti tunggul jerami. 25"Dengan siapa kamu hendak menyamakan Aku sehingga Aku sejajar dengannya?" demikianlah firman Yang Maha Suci. 26Layangkanlah pandang ke langit dan lihatlah: siapakah yang mencipta benda-benda itu? Dialah yang mengeluarkan cakerawala angkasa menurut jumlahnya dan menyebutkan nama kesemuanya. Kerana besar keperkasaan-Nya dan hebat kuasa-Nya, tidak ada satu pun yang hilang. 27Mengapakah engkau berkata begini, wahai Yakub,
dan berbicara begini, wahai Israel,
"Jalan hidupku tersembunyi daripada TUHAN dan hak aku dijauhkan Allahku"? 28Tidakkah kautahu, tidakkah kaudengar?
TUHAN ialah Allah yang kekal,
yang menciptakan hujung-hujung bumi.
Dia tidak akan menjadi letih ataupun penat, pengertian-Nya tiada hadnya. 29Dia memberikan kekuatan kepada yang letih, dan menambah tenaga kepada mereka yang tidak berdaya. 30Orang muda menjadi letih dan penat, para teruna jatuh tersandung. 31Tetapi mereka yang menanti-nantikan TUHAN akan mendapat kekuatan baru.
Mereka akan terbang tinggi dengan sayap seperti burung rajawali.
Mereka akan berlari dan tidak menjadi penat,
mereka akan berjalan dan tidak menjadi lesu.