Alkitab Versi Borneo |
Raja Hizkia dan para utusan dari Babel 1Pada waktu itu, Merodakh-Baladan anak Baladan, raja Babel, mengirim surat serta pemberian kepada Hizkia, kerana dia mendengar bahawa Hizkia sakit dan telah sembuh. 2Hizkia bergembira atas kedatangan mereka. Diperlihatkannya kepada mereka gedung harta bendanya, perak dan emas, rempah-ratus dan minyak yang berharga, seluruh gedung persenjataannya dan segala sesuatu yang terdapat dalam perbendaharaannya. Tidak ada barang dalam istana dan seluruh daerah kekuasaannya yang tidak diperlihatkan kepada mereka oleh Hizkia. 3Setelah itu, Nabi Yesaya datang menghadap Raja Hizkia dan bertanya kepadanya, "Apakah yang dikatakan orang itu? Dari manakah mereka datang?" Jawab Hizkia, "Mereka datang dari negeri yang jauh, dari Babel." 4Tanya Yesaya lagi, "Apakah yang dilihat mereka di dalam istanamu?" Jawab Hizkia, "Segala sesuatu yang ada dalam istanaku telah dilihat mereka. Tidak ada barang dalam perbendaharaanku yang tidak kuperlihatkan kepada mereka." 5Lalu kata Yesaya kepada Hizkia, "Dengarlah firman TUHAN alam semesta, 6'Sesungguhnya, akan datang harinya apabila segala sesuatu yang ada dalam istanamu dan yang disimpan oleh nenek moyangmu sampai hari ini akan diangkut ke Babel. Tidak ada barang yang akan ditinggalkan,' demikianlah firman TUHAN. 7ASelain itu, daripada kalangan anak yang akan dilahirkan bagimu, iaitu keturunanmu, beberapa orang akan diambil untuk menjadi sida-sida di istana raja Babel." 8Kata Hizkia kepada Yesaya, "Firman TUHAN yang kausampaikan itu baik." Kerana fikirnya, "Kedamaian dan keamanan akan wujud pada zamanku!"