Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Yesaya 36

A A A
Alkitab Versi Borneo

Yerusalem dikepung oleh Raja Sanherib

1Pada tahun keempat belas pada zaman Raja Hizkia, majulah Sanherib, raja Asyur, menyerang semua kota berkubu di Yehuda, lalu menawannya. 2Kemudian raja Asyur mengutus Rabshakehi dari Lakhis menemui Raja Hizkia di Yerusalem, dengan sebuah pasukan yang besar. Dia mengambil tempat dekat dengan saluran kolam atas, di jalan raya yang menuju Padang Benatu. 3Lalu keluarlah Elyakim anak Hilkia, ketua istana, Sebna, jurutulis negara, dan Yoah anak Asaf, pencatat sejarah, untuk menemui Rabshakeh. 4Kata Rabshakeh kepada mereka, "Katakanlah kepada Hizkia, 'Beginilah titah raja agung, iaitu raja Asyur: Keyakinan seperti apakah yang kaupegang ini? 5Kaufikir rancangan rapi dan kekuatan untuk berperang memadai dengan kata-kata sahaja? Sekarang, siapakah yang kauandalkan sehingga engkau memberontak terhadap aku? 6AKetahuilah, engkau berharap kepada Mesir, tongkat buluh yang patah terkulai itu. Mesir akan menusuk tembus tangan orang yang bertopang kepadanya. Demikianlah Firaun, raja Mesir itu, bagi semua orang yang mengandalkannya.

7Tetapi jika engkau berkata kepadaku, "Kami mengandalkan TUHAN, Allah kami," bukankah Dia itu yang bukit-bukit pemujaan-Nya dan mazbah-mazbah-Nya telah disingkirkan oleh Hizkia, berkata kepada orang Yehuda dan Yerusalem, "Kamu harus sujud menyembah di hadapan mazbah ini sahaja"? 8Maka sekarang, marilah bertaruh dengan tuanku, raja Asyur: Aku akan memberikan dua ribu ekor kuda kepadamu kalau engkau sanggup menyediakan penunggang-penunggangnya! 9Bagaimanakah mungkin engkau dapat menangkis hingga mundur seorang perwira biarpun daripada antara pegawai tuanku yang paling kecil, sedangkan engkau berharap kepada Mesir untuk rata dan pasukan berkuda? 10Tambahan pula, masakan aku maju di luar kehendak TUHAN untuk menyerang negeri ini dan memusnahkannya? TUHAN telah berfirman kepadaku: Majulah, seranglah negeri itu dan musnahkannyalah!' "

11Lalu Elyakim, Sebna, dan Yoah berkata kepada Rabshakeh, "Harap tuan bercakap kepada hamba-hambamu ini dalam bahasa Aram, kerana kami memahami bahasa itu. Janganlah tuan berkata-kata kepada kami dalam bahasa Ibrani, kerana rakyat yang berada di atas tembok itu dapat mendengarnya."

12Tetapi kata Rabshakeh, "Adakah tuanku mengutus aku untuk menyampaikan kata-kata ini hanya kepada tuanmu dan kepadamu? Bukankah juga kepada orang yang duduk di atas tembok itu yang akan makan tahi dan minum air kencing mereka sendiri bersama-sama kamu?"

13Kemudian Rabshakeh berdiri lalu berseru dengan suara nyaring dalam bahasa Ibrani, katanya, "Dengarlah titah raja agung, iaitu raja Asyur! 14Beginilah titah sang raja: Jangan biarkan Hizkia menipu kamu, kerana dia tidak sanggup melepaskan kamu. 15Jangan biarkan Hizkia mengajak kamu berharap kepada TUHAN dengan berkata, 'TUHAN pasti melepaskan kita. Kota ini tidak akan diserahkan ke dalam tangan raja Asyur.' 16Jangan dengarkan Hizkia, kerana beginilah titah raja Asyur: Adakanlah perjanjian damai denganku dan temuilah aku, maka setiap orang daripada kamu akan makan hasil pokok anggur dan pokok ara masing-masing serta minum air perigi masing-masing, 17sampai aku datang dan membawa kamu ke sebuah negeri seperti negerimu, iaitu sebuah negeri yang mempunyai gandum dan air anggur, roti serta kebun anggur. 18Jangan sampai Hizkia memujuk kamu dengan berkata, 'TUHAN akan melepaskan kita.' Pernahkah tuhan bangsa-bangsa melepaskan negeri masing-masing daripada tangan raja Asyur? 19Di manakah tuhan-tuhan negeri Hamat dan Arpad? Di manakah tuhan-tuhan negeri Sefarwaim? Adakah mereka telah melepaskan Samaria daripada tanganku? 20Siapakah antara tuhan negeri-negeri itu yang telah melepaskan negerinya daripada tanganku, sehingga TUHAN dapat melepaskan Yerusalem daripada tanganku?"

21Tetapi mereka berdiam diri sahaja dan tidak menjawabnya walau sepatah kata pun, kerana ada perintah raja yang berbunyi, "Jangan menjawab dia!" 22Lalu Elyakim anak Hilkia, ketua istana, Sebna, jurutulis negara, dan Yoah anak Asaf, pencatat sejarah, pergi menghadap Hizkia dengan pakaian yang dikoyakkan. Mereka menyampaikan perkataan Rabshakeh kepada raja itu.