Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Yesaya 34

A A A
Alkitab Versi Borneo

Hukuman terhadap bangsa-bangsa termasuk Edom

1Datang dekatlah wahai bangsa-bangsa untuk mendengar! Wahai suku-suku bangsa, perhatikanlah!

Biarlah bumi dan segala isinya mendengar,

dunia dan segala yang dihasilkannya!

2TUHAN murka kepada segala bangsa

dan marah kepada seluruh tentera mereka.

Dia mengkhususkan mereka untuk ditumpaskan dan menyerahkan mereka untuk disembelih.

3Orang yang terbunuh akan dicampakkan

dan bangkai mereka akan menimbulkan bau busuk.

Gunung-ganang akan dibanjiri oleh darah mereka.

4ASemua penguasa langit akan hancur lumat,

dan langit akan digulung seperti gulungan kitab.

Seluruh cakerawala mereka akan gugur seperti daun luruh dari pokok anggur,

seperti daun luruh dari pokok ara.

5BPedang-Ku sudah kenyang di langit.

Lihat, ia turun ke atas Edom untuk menghakimi bangsa yang Kukhususkan untuk ditumpaskan.

6Pedang TUHAN sudah berlumuran darah, menebal oleh lemak,

oleh darah anak-anak domba

dan kambing-kambing jantan,

oleh lemak buah pinggang domba-domba jantan,

kerana TUHAN mengadakan upacara korban di Bozra

dan penyembelihan besar-besaran di Tanah Edom.

7Lembu liar akan rebah bersama-sama korban itu,

lembu jantan muda bersama dengan lembu jantan yang kuat.

Negeri mereka akan mabuk darah dan debunya menebal oleh lemak,

8kerana TUHAN menetapkan hari pembalasan,

tahun pembalasan atas permusuhan terhadap Sion.

9Sungai-sungai Edom akan berubah menjadi gegala dan debunya menjadi belerang.

Negerinya akan menjadi gegala yang menyala-nyala,

10Csiang dan malam tidak akan dipadam,

asapnya naik untuk selama-lamanya.

Negeri itu akan menjadi reruntuhan turun-temurun,

tidak ada yang akan melintasinya lagi untuk selama-lamanya.

11Burung undan dan landak akan mendudukinya,

burung hantu dan burung gagak akan tinggal di dalamnya.

Allah akan merentangkan tali pengukur kekacauan

dan batu duga kehampaan terhadapnya.

12Para bangsawannya tidak punya apa-apa lagi di sana yang dapat disebut kerajaan.

Semua penguasanya telah habis.

13Duri akan tumbuh di puri-purinya,

jelatang dan rumput duri di kubu-kubunya.

Negeri itu akan menjadi tempat serigala dan kediaman burung unta.i

14Binatang-binatang gurun akan bertemu dengan anjing-anjing hutan,

dan kambing liar akan berseru memanggil kawannya.

Di sana pun hantu malam akan menetap dan mendapat tempat untuk berehat.

15Di sana burung hantu akan bersarang dan bertelur, menetaskan telur dan menghimpun anak-anaknya di bawah naungannya.

Di sana pun burung-burung dendang akan berkumpul dengan pasangan masing-masing.

16Selidikilah kitab TUHAN dan bacalah:

Satu pun daripada semua ini tidak akan ketinggalan

dan seekor pun tidak akan kehilangan pasangannya,

kerana Dia sendiri memerintahkan demikian dan roh-Nya sendiri menghimpun mereka.

17Dia telah menetapkan bahagian mereka, dan tangan-Nya membahagi-bahagikan negeri itu kepada mereka dengan tali pengukur.

Mereka akan mendudukinya untuk selama-lamanya

dan menetap di situ turun-temurun.