Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Yesaya 33

A A A
Alkitab Versi Borneo

Allah ialah Penolong dan Raja di Sion

1Malangnya engkau, wahai pemusnah, yang belum pernah dimusnahkan; dan engkau, wahai pengkhianat,

yang belum pernah dikhianati!

Setelah engkau selesai memusnahkan,

engkau pun akan dimusnahkan;

setelah engkau usai berkhianat,

engkau pun akan dikhianati.

2Ya TUHAN, kasihanilah kami.

Kami menantikan Engkau!

Jadilah kekuatan kami tiap-tiap pagi,

dan penyelamatan kami pada masa kesesakan.

3Suku-suku bangsa melarikan diri mendengar bunyi gemuruh,

dan bangsa-bangsa tercerai-berai apabila Engkau diagungkan.

4Orang mengumpulkan jarahan seperti belalang pemusnah mengumpulkan makanan.

Seperti serbuan kawanan belalang,

demikianlah mereka menyerbunya.

5TUHAN ditinggikan, kerana Dia bersemayam di tempat yang tinggi.

Dia memenuhi Sion dengan keadilan dan perbenaran.i

6Pada zamanmu akan ada keamanan,

kelimpahan penyelamatan,

kebijaksanaan, dan pengetahuan.

Takut kepada TUHAN, itulah harta Sion.

7Lihat, para pahlawan mereka berseru-seru di jalan,

para utusan perdamaian menangis getir.

8Jalan-jalan raya sunyi,

tidak ada lagi orang yang melintas di jalan.

Perjanjian diingkari,

kota-kota dipandang hina,

dan manusia tidak diendahkan.

9Bumi berkabung dan merana.

Lebanon mendapat aib dan menjadi layu,

Saron menjadi seperti gurun,

Basan dan Karmel meluruhkan daun.

10"Sekarang Aku akan bertindak," demikianlah firman TUHAN,

"sekarang Aku akan ditinggikan,

sekarang Aku akan dijunjung!

11Kamu mengandung sekam,

dan melahirkan tunggul jerami.

Nafasmu seperti api yang menghanguskan dirimu sendiri.

12Bangsa-bangsa akan dibakar menjadi abu, seperti semak duri yang ditebaskan lalu dibakar habis."

13Wahai kamu yang jauh,

dengarlah apa yang telah Kulakukan!

Wahai kamu yang dekat,

akuilah keperkasaan-Ku!

14Orang berdosa di Sion ketakutan.

Kegentaran mencengkam para munafik.

"Siapakah antara kita dapat tinggal dalam api yang membakar selama-lamanya?

Sesiapa antara kita dapat tinggal dalam api yang membakar dengan kekal ini?"

15Orang yang hidup dalam kebenaran dan yang bercakap jujur,

yang menolak laba hasil pemerasan,

yang mengebaskan tangannya supaya tidak menerima rasuah,

yang menutup telinganya supaya tidak mendengar rancangan penumpahan darah,

dan yang memejamkan matanya supaya tidak melihat kejahatan,

16dialah yang akan mendiami tempat yang tinggi.

Kota bentengnya ialah kubu-kubu pertahanan di bukit batu.

Makanannya tersedia, air minumnya terjamin.

17Matamu akan memandang raja dalam keindahannya dan melihat negeri yang terbentang jauh.

18Hatimu akan merenungkan kengerian yang sudah berlalu:

"Di manakah si tukang kira ufti?

Di manakah tukang kira dan tukang timbang sukat?

Di manakah orang yang mengira menara?"

19Engkau tidak akan melihat bangsa yang garang itu lagi,

bangsa yang bahasanya sulit

sehingga tidak dapat difahami,

yang patah-patah bicaranya

sehingga tidak ada yang mengerti.

20Pandanglah Sion, kota tempat hari perayaan kita!

Matamu akan melihat Yerusalem,

tempat kediaman yang aman,

khemah yang tidak akan berpindah-pindah.

Pancang-pancangnya tidak akan dicabut untuk seterusnya

dan semua talinya tidak akan putus.

21Sesungguhnya, di sana TUHAN akan menyertai kita dengan kebesaran-Nya,

di tempat yang penuh sungai dan aliran air yang lebar.

Perahu dayung tidak akan melaluinya

dan kapal besar tidak akan melintasinya.

22Sesungguhnya, TUHAN ialah hakim kita,

TUHAN ialah pemerintah kita,

TUHAN ialah raja kita,

Dia akan menyelamatkan kita.

23Tali-temalimu sudah longgar,

tidak dapat menguatkan tiang layar dengan teguh,

tidak dapat membentangkan layar.

Pada waktu itu orang akan membahagi-bahagikan hasil jarahan yang besar,

orang tempang pun akan mengambil rampasan.

24Tidak ada penduduk Sion yang akan berkata, "Aku sakit."

Rakyat yang tinggal di situ akan diampuni kesalahan mereka.